Ini sambungannya...

AWAL pagi itu, aku menunggu bas sendirian tanpa Asyraf tentunya. Di dalam bas, telefon bimbitku berbunyi. Ada SMS darinya.

 

Kakak, saya terlewat bangun pagi ni. Saya cuba sampai ofis on time. Tapi, kalau lewat dari 8.30 pagi, kakak tolong fotokopikan dokumen dalam fail merah atas meja saya, boleh tak? Buatkan tiga salinan. Saya belanja makan lunch nanti.

 

Keningku terangkat. Aku fikir dia bermalam di rumah Cik Puan Suhaila. Rupanya tak. Kasihan dengan permintaannya, segera kusetujui sahaja.

Dia sampai ketika aku sedang menghadap mesin fotokopi. Dah siap dua salinan, tinggal yang terakhir. “Sorry, kakak! Malam tadi balik lewat.” Dia mengadu.

Dating ke?” Sengaja kusoal begitu. Berdikit-dikit mengutip maklumat.

Dia menggeleng. “Karaoke dengan bos…”

Aku terdiam. Andai berkaraoke dengan bos tak dianggap dating, itu bermakna, dia bukanlah anak ikan bos, ya tak? Masih tak sanggup nak beria mengorek rahsia, lalu aku diamkan sahaja. “Neslo dah ada atas meja. Pergi minum dulu. Akak siapkan dokumen ni…”

Thank you, kakak. I love you!” balasnya terus berlalu pergi.

LOVE you? Aku kerut dahi.

 

WAKTU makan tengahari akhirnya berlalu dengan janji yang dimungkiri. Bagi aku itu ‘no hal!’. Aku tahu dia sibuk. Bos dia orang penting. Lebih baik aku tak menyemak kepala otak dia asalkan dia tak menyemak kepala otakku.

Mila yang baru masuk pejabat menyerahkan aku sesuatu. “Nah! Baca…” suruhnya.

Aku kerut dahi.

“Majalah… Ada isu pasal anak ikan…”

Aku geleng. “Asyraf bukan anak ikan,” kataku yakin.

“Qis! Semalam cik puan ajak team Encik Faizul pergi karaokelah… Company menang tender. Cik puan celebrate… Awak tahu cik puan ajak siapa lagi?”

Aku angguk. Sebut pasal karaoke, tentulah Asyraf.

“Dia ajak Asyraf. Both of them asyik menyanyi lagu cinta. Berduet memanjang…” cerita Mila lagi. Wajahnya jelak semacam. “Awak sendiri nampak macamana Asyraf layan datin hari tu…”

“Itu mungkin mama atau mak cik dia,” kataku tegas. “Dia peluk dan cium tangan perempuan tu!”

“Awak tengok ni!” arah Mila. Muka depan majalah yang tertera perkataan, ‘Anak ikan: Layanan Istimewa Dalam Rahsia…’

Aku geleng.

“Asyraf berlakon aje depan kita…” Mila menerka. Suaranya perlahan tetapi tonasinya ditekankan. Beria dia mahu aku percaya. “Pura-pura salam dan hormat orang tua, walhal…”

Hatiku panas. “Kalau awak ada dua orang kekasih dan salah seorangnya bekerja kat ofis ni, mungkin tak awak suruh kekasih awak yang lagi satu tu datang ke sini juga?” soalku berani.

“Memanglah tak,” jawab Mila sedikit menikus. Terkejut dia dengan nada suaraku yang sedikit tinggi. “Tapi awak tak ingat gaya Asyraf yang terkejut. Cepat-cepat aje dia bawa datin tu keluar…”

Aku terdiam. Tiada fakta lebih dari itu yang berada di pihakku. Majalah Mila tetap kutolak. Kesal sebenarnya aku dengan sikap Asyraf. Aku beria menutup aibnya, dia pulak macam orang tak pandai jaga diri. Kalau itu mama atau mak ciknya, apa salahnya jika diperkenalkan pada kami yang tercongok tak sampai tiga depa dari dia dan tetamunya. Macamana ni?

Kesalku bertambah-tambah kerana hingga ke tengah malam, Asyraf hilang bagai wangian bunga di taman. Dibawa angin lalu hingga tidak meninggalkan sebarang kesan. Mengikut bosnya bermesyuarat di luar seakan sudah menjadi alasan klise untuk tidak menghubungiku. Jika dulu sanggup dia menapak untuk menghantar burger buat menyejukkan hatiku yang ‘dia sangka aku merajuk’, kini tidak. Love you? Hampas!

 

AKU duduk kaku di hadapan Cik Puan Suhaila. Dia ingin bertemu denganku tanpa kutahu apa hendaknya. Biasanya, jika dia memerlukan khidmat penyambut tetamu seperti aku, tentu arahan itu akan kuterima melalui Asyraf. Ini tidak! Asyraf diminta ke Putrajaya. Atas urusan apa, aku tak pasti.

“Awak baik dengan Asyraf, kan?” soal Cik Puan Suhaila.

Aku angguk sekali. “Kawan biasa sahaja, cik puan…” Itu yang terkeluar dari bibirku. Bukan apa, bimbang andai tersalah bicara. Tak mustahil, perang dunia ketiga andai benar wanita korporat di hadapanku ini ‘kekasih’ Asyraf.

Riak wajahnya yang tenang buat aku lega.

“Tiga hari lagi birthday Asyraf…”

Aku angkat kening. Tak tahu pun pasal hal itu. Asyraf pun tak ada cakap. HR pun biasanya akan shoot satu e-mel pada awal pagi tarikh yang tersebut. Asyraf staf baru. Tentu ramai yang tak tahu.

“Dia sekarang dah jadi Special Personal Asistant saya.”

Aku angkat kening lagi. Asyraf naik pangkat, tetapi mengapa dia tidak memberitahuku? Kecil hati? Entah!

“Awak arrange lunch party, boleh? Jemput semua staf. Saya nak awak buat yang special. Hadiah untuk dia, saya dah belikan. Awak arrange decoration, food, drinks and cake sahaja. Saya dan dia ada mesyuarat awal pagi. Tapi, saya akan pastikan kami sampai ofis dalam jam 12.30 tengahari. Semua mesti dah get ready termasuk staf untuk surprisekan dia. Mampu tak awak buat semua tu?”

Itulah cara Cik Suhaila mengeluarkan arahan. Dia bercakap laju macam keretapi. Tak berhenti macam bimbang bom nak gugur sahaja. Patutlah Asyraf pernah cakap, dia tak sempat nak bernafas masa hari pertama bekerja. Itu baru satu arahan. Andai dua? Macamana pula jika dua puluh? Tentu jenuh!

Aku angguk.

Dia membuka tas tangannya. “Ini duit…” Berkeping-keping not ungu diserahkan. “Guna ni untuk uruskan semua tu ya… Makanan yang special. Asyraf suka nasi Beriyani original dari JM Beriyani. Ayam masak merah. Birthday cake mesti perisa coklat. Lagi banyak coklat, lagi dia suka…”

Aku angguk lagi. Aku percaya Asyraf menjalankan tugasnya sebagai setiausaha dan kini sebagai Special PA Cik Puan Suhaila dengan cemerlang. Aku pun tak pernah dengar komen dari staf tentang ketidakcekapan dia. Pejabat CEO memang tip top. Sebab itu, si ibu singa ini jatuh suka padanya. Hingga sanggup menaja majlis hari lahirnya. Sedangkan dengan Ida dulu, tidak pernah walau sekali. Bukan itu sahaja, semua makanan kegemaran Asyraf pun cik puan tahu. Pelik! Seingat aku, Asyraf suka nasi goreng kampung kedai mamak.

Kalut aku uruskan semuanya. Melalui panggilan telefon dan pembayaran tunai yang segera untuk perkhidmatan yang terbaik. Dekorasi bilik mesyuarat juga kubuat sendiri. Kad-kad jemputan comel buatan tangan kuhantar kepada semua staf. Sempat juga aku membelikan hadiah untuk Asyraf. Sebatang pen yang kurasakan amat sesuai diselitkan ke poket baju kemeja kerjanya. Ironinya, kesibukan itu buat aku senang hati. Terasa seperti Asyraf dekat di hati. Pelik aku dengan perasaan sendiri.

 

SURPRISE!” jerit kami bersama-sama. Asyraf yang masuk bersaingan dengan Cik Puan Suhaila terkejut besar. Jelas, rancangan yang kuatur cukup berjaya dan meriah. Makanan yang tersedia mendapat pujian dan cukup untuk semua. Dessert dan minuman buahan campuran istimewa melengkapkan keceriaan sambil teman-teman sepejabat berbual dan bergelak ketawa.

Dalam ucapan Asyraf sebelum memotong kek, dia mengharapkan umur dipanjangkan dengan ilmu yang bermanfaat serta kehidupan yang berkat. Dia mendoakan kejayaan dunia akhirat serta jodoh dengan wanita idaman menjadi kenyataan. Saat itu, secara kebetulan matanya memandang padaku. Entah mengapa aku tersipu seketika. Sayangnya, ia hanya sekilas cuma. Senyuman penuh pengharapan pula ditujukan buat Cik Puan Suhaila yang gembira di sisinya. Kegembiraanku pula terus lenyap sekelip mata.

Majlis bertambah meriah, Cik Puan Suhaila menghadiahkan Asyraf sepasang suit jenama terkenal. Aku nak sebut pun macam nak terbelit lidah. Syarikat pula menghadiahkan Asyraf sehelai tali leher dan kafling. Jabatan-jabatan lain turut menghulurkan bungkusan. Kebanyakannya dibeli secara berkongsi. Mujur, Asyraf tak perlu buka semua bungkusan. Kalau tak jenuh.

“Hadiah buat awak!” ucapku ketika berjalan di sisi meja kerjanya.

Thanks!” Bungkusan berbalut dibiarkan sahaja. Gayanya dia sekadar berbahasa. “Kakak makan kenyang tak?” soal Asyraf. Matanya sibuk memandang kertas yang sedang disusun untuk dimasukkan ke dalam fail. Dia hanya memandang padaku sekilas.

Aku mengangguk. Bohong!

“Sedap semua makanan tu kan… Pandai siapa yang uruskan…”

“Cik Puan Suhaila yang arrange!” beritahuku.

Asyraf angkat kening. “Dah agak dah. Dia memang bos yang sporting!”

Sekali lagi rasa yang tidak dijangka melanda jiwa. Aku kecewa!

 

TERMENUNG aku menghadap kaca TV. Entah apa yang dibebel dek Chef Wan dalam rancangan East Bites West di saluran Nat Geo People pun aku tak tahu. Fikiranku tidak menumpu. Nafas gelisah aku lepaskan.

“Apa hal ni? Macam ayam berak kapur aje…” soal Kak Salwa.

Aku diam. Perasaan yang berserabut dari pejabat jelas kubawa balik ke rumah. “Err… Tak ada apa…”

Party okey tak?”

Aku angguk. Semalam, Kak Salwa menggeleng melihat aku menampal kertas kecil pelbagai warna satu demi satu bersambung-sambung sehingga menjadi riben panjang untuk dijadikan hiasan di bilik mesyuarat. Dua hari sebelum itu, aku menyiapkan kad jemputan. Kad jemputan comel yang kulekatkan di hujung paruh burung origami.

“Asyraf komen apa bila tengok hadiah yang Qis beri?”

Aku terdiam lagi. Sungguh! Seingat aku, Asyraf tak teruja pun nak membuka bungkusan yang aku beri. Dia sibuk dengan kerjanya sambil bertanyakan pasal makanan.

“Dia komen apa?” soal Kak Salwa tak sabar.

“Dia kata thanks…”

“Dia tak buka untuk tengok?”

Aku tersenyum tawar. “Dia suka pen tu... Terus letak dalam poket kemeja.” Sempat aku berdalih.

“Kenapa nak tipu?” soal Kak Salwa.

“Tipu?” Merah mukaku. Terkejut.

“Qis, jangan menipu untuk lelaki yang tak pandai nak hargai kita…”

Aku sengaja pura-pura ketawa. “Kami tak ada apa-apa, Kak Wa. Kawan biasa aje. Dia dah sibuk sekarang. Kalau tak…”

“Qis…” cantas Kak Salwa.

Aku telan air liur. Pahit!

“Qis ada hati dengan dia…”

“Taklah!” sahutku pantas. Tapi, mukanya tak sanggup aku nak tengok. Tak tahu kenapa.

“Qis dah dewasa. Asyraf pun lelaki dewasa. Baik orangnya. Ada rupa pulak tu. Kamu berdua pernah rapat. Tak mustahil ada perasaan suka terselit kat celah hati…”

“Tak ada, Kak Wa,” sahutku lagi makin pantas. “Kami kawan biasa aje.”  

Kali ini Kak Salwa ketawa kecil. “Suka hatilah!” Dia terus memandang ke kaca TV. “Nak monyok, jangan lama sangat. Kesian Kak Wa.”

Segera aku menarik nafas panjang-panjang. Ingatan terhadap Asyraf aku padamkan perlahan. Tak patut aku buat Kak Salwa begini. Mana hilangnya hormatku padanya? Akhirnya, aku memaksa diri untuk tersenyum. “Kak Wa nak Milo?” soalku tanda ingin berbaik.

Kak Salwa mengangguk.

Segera kubuatkan minuman kegemarannya macam yang dia suka. Aku pula teringin nak minum neslo.

“Hujan turun lebat. Harap paip ada airlah esok…” ucap Kak Salwa penuh mengharap. “Kalau catuan air stop lagi bagus…”

Aku tahu dia kecewa. Sepatutnya hari ini, giliran kawasan rumah kami mendapat bekalan air. Tapi, nampaknya, hampa. Kami terpaksa berjimat. Bimbang sampai esok pun air tak ada. Naya aje!

“Esok lusa borang permohonan masuk U akan keluar. Qis jangan lupa tengok kat website…” beritahu Kak Salwa tiba-tiba.

Aku mengangguk. Ya! Aku bercadang untuk memohon menyambung pelajaran ke peringkat ijazah dengan diploma yang aku miliki. Kalau layak, aku nak masuk IPTA. Murah sikit yuran. Mudah dapat bantuan. Tapi, entahlah… mesti tough fight dengan budak matrikulasi dan STPM. Aduhai…

“Kenapa mengeluh?” soal Kak Salwa.

Aku kerut dahi. Mengeluh? Aku rasa aku tak mengeluh tetapi lega. “Err… Qis fikir bagus juga kalau dapat sambung belajar. Qis akan berhenti kerja dan tumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian,” jawabku perlahan. Apa yang tak terucap di bibir adalah, “Aku juga tak perlu jumpa Asyraf. Aku tak perlu sakit hati, sedih, kecewa, gembira, keliru, rindu…” Erk! Kenapa aku perlu rasa itu semua? Bukankah dia hanya teman biasa? Melihat neslo yang sudah tinggal setengah mug, hati ini semakin tak keruan.

 

AKU serius mendengar suara ayah di hujung talian. Dari satu hal ke satu hal ayah mengingatkan aku tentang itu ini. Aku faham, aku jauh dari mata. Dia tentu selalu susah hati.

“Kalau ada lelaki yang minang Qis, baik pulak budaknya, ayah terus terima,” beritahu ayah di hujung talian.

“Ayah! Qis kan nak belajar lagi…”

“Bila? Tahun lepas Qis mohon UPU, tak dapat pun…” jawab ayah buat aku terdiam. “Diploma Qis tak laku kot.”

Aku mendengus. Ayah bangkitkan isu itu kerana aku mengikuti pengajian diplomaku di kolej kecil di Kulai. “Qis yang salah. Qis salah isi borang…” dalihku.

“Kahwinlah, nak! Nanti minta izin dengan suami untuk sambung belajar. Kalau nak harap ayah, memang tak mampu. Yuran kolej swasta mahal sangat. Kalau masuk IPTA pun, entah cukup entah tak diut pinjaman PTPTN tu,” pujuk ayah seakan tidak peduli alasan yang aku berikan. “Ayah tak mahu tanggung dosa, andai Qis buat perkara tak tentu belakang ayah.”

“Qis tak ada buat perkara pelik-pelik…”

“Habis tu? Minggu dulu asyik balik kerja lambat tu kenapa?” Ayah memulangkan paku buah keras.

Aku mendengus lagi.

“Qis jaga diri baik-baik. Jaga nama baik keluarga kita. Jangan jadi sebab ayah masuk neraka, ya nak.”

Terasa panas pula mata menahan perasaan yang menyapu dada. Ayah memang pandai bab nak buat aku sendu. “Insya-ALLAH, ayah.”

“Qis dah besar. Ibu dah ajar Qis memasak dan mengurus rumah tangga. Ilmu pengetahuan pun ada. Dah sesuai jadi isteri orang. Duduk rumah. Beranak dan jaga anak. Cukup dah tiket tu untuk ke Syurga kalau diurus sebaiknya.”

Aduh! Beranak dan jaga anak? Tak terbayang…

 

SIAPA sangka kad jemputan comel yang terlekat di hujung paruh burung origamiku menarik perhatian. Ada rakan-rakan sepejabat yang menempah untuk pelbagai majlis termasuk majlis pertunangan dan akikah anak. Burung Origamiku juga ditempah untuk dijadikan bunga telur. Malah jadi hiasan atas dulang hantaran. Inilah projekku yang terkini. Projek mencari dana tambahan untuk menampung kos kehidupan bila aku sambung belajar nanti. Maklumlah, aku sudah nekad untuk berhenti kerja waktu itu. Ayah pula tak harus aku bebani.

Lebih menyeronokkan, hujung mingguku tidak berlalu sia-sia. Ada sahaja urusan dan Kak Salwa pun tak lokek masa menemaniku untuk ke Jalan TAR mencari bahan. Malah terkadang, ke rumah client menghantar tempahan. Asyraf? Origami buat aku terlupa perasaanku pada dia!

 

MINHAT dan Mila tergelak-gelak ketika berjalan masuk ke pejabat setelah mereka selesai makan tengahari. Aku sengaja buat tak tahu. Berdoa banyak-banyak dalam hati, tak mahu mereka menyinggah ke kaunter untuk berborak di sini pula.

“Sejak birthday party tu, semua orang happy. Awak aje yang monyok, Balqis…” ucap Mila.

Aku sekadar tersenyum. Malas nak layan. Hal itu sudah berlalu sebulan lalu.

“Aku tahu kenapa…” sahut Minhat.

Aku angkat kening. Mila pula tertawa.

“Malam-malam sakit urat saraf, Balqis monyok sebab Asyraf…” Entah apa angin si Minhat, tiba-tiba pula dia mahu berpantun dua kerat.

Aku geleng. “Siang bekerja malam bertapa, mood saya tak ada kena mengena dengan dia…” Sengaja aku menjawab sedemikian rupa.

“Aik! Bukan dulu kawan setia?” ejek Mila.

“Solat isya’ malam buta, kami cuma kawan biasa…” Masih berpantun.

“Kak Nab ke pasaraya, pakai kebaya tak kena gaya, di bibir kata kawan biasa, di hati dialah teman istimewa,” balas Minhat. Pantunnya dah jadi empat kerat.

Aku mendengus. Buat sakit kepala nak fikir apa nak balas.

“Pakai kebaya tak kena gaya, pakai dengan selendang Jawa, Asyraf muda awak pun muda, beranikan diri tackle aje dia…” acah Mila pula. “Tapi, berani ke kau nak challenge ‘mak ikan’ dia?”

Aku tunjuk muka cemberut.

“Pakai baju cantik-cantik, datang kenduri main terjah, mana tahu kau bernasib baik, Cik Puan Suhaila mengaku kalah…” sahut si Minhat. Seronok mungkin melihat gaya cemberutku.

Tiba-tiba pintu kaca dibuka dari luar. Jelas di mataku siapa yang masuk. Cik Puan Suhaila dan Asyraf sedang berjalan beriringan sambil berbual. Tentu ada mesyuarat di luar. Sejak pagi, mereka berdua tak nampak muka. Menariknya, Cik Puan Suhaila kini berbaju kurung. Malah bertudung! “Alhamdulillah…” ucapku.

“Hah! Mengaku pun yang kau suka Asyraf!” sergah Mila. Kuat dan jelas suaranya. “Aku dah agak kau suka anak ikan EcoPort tu!”

“Pergi berkelah di Hutan Belum, mesti balik sebelum senja, cepat toleh belakang dan senyum, kalau kau orang sayangkan kerja!” Pantas aku memberi amaran. Sedikit berbisik. Aku tidak peduli samada pasangan sejoli itu mendengar atau tidak kata-kata mereka. Yang pasti, aku tak mahu sesiapa bermasalah. Terutama aku. Kaunter ini merupakan workstationku. Silap gaya bos besar anggap aku menjadi centre of gossip di syarikat ini.

“Hai!” sapa Cik Puan Suhaila dengan mesra. Dari reaksinya, aku pasti apa yang Mila katakan tadi tidak sampai ke telinganya.

Mila dan Minhat menoleh dengan bulat mata.

“Selamat tengahari, cik puan! Encik Asyraf!” ucapku pantas. Sempat juga aku memandang pada Asyraf yang turut tersenyum. Kupandang juga kocek baju kemejanya. Ada sebatang pen di situ. Tetapi bukan yang aku beri. Nampak rupanya, pen itu jauh lebih mahal. “Cik puan dan Encik Asyraf dah makan?” soalku berbahasa. Strictly professional!

“Dah, Balqis,” jawab Cik Puan Suhaila. “Kamu semua dah makan?”

Aku segera angguk. Mila dan Minhat juga. Asyraf pula terus ke pigeon hole surat CEO. Memang banyak surat yang Cik Puan Suhaila terima hari ini. Satu-satu dibeleknya.  

“Saya masuk dulu, cik puan!” ucap Mila lalu terus masuk ke dalam. Minhat juga tergesa menurut.

“Err… Encik Asyraf, ni ada bungkusan untuk Cik Puan Suhaila,” beritahuku pada Asyraf. Sebuah bungkusan yang agak besar aku serahkan. Tak muat nak letakkan di pigeon hole. Bungkusan dari luar negara dan nampak macam benda mahal. Sebab itu, aku simpan dalam laci berkunci.

“Bungkusan dari mana?” soal Cik Puan Suhaila. Teruja gayanya.

“I rasa dari brother you, bos!” beritahu Asyraf. Dia sudah membelek nama pengirim yang tertulis di atasnya.

“You bukakan ya. Tengok apa dia hantar,” pinta si bos. “I harap dia tak salah belikan barang yang I kirim.”

“Insya-ALLAH, tak salah lagi…” jawab Asyraf. “I sendiri yang guide masa dia beli barang tu. Harrods ada sale, perfume special edition tu ada …”

Aku diam sahaja. Tak tahu cerita hujung pangkal. Sekadar memasang telinga mendengar mereka ber I-I dan you-you berdua. Lagipun, mereka nampaknya bagai tidak mengendahkan aku di sini.

Really?!” Nampaknya Cik Puan Suhaila terharu.

“Yes, you will love it… Believe me!” sahut Asyraf gembira.

“Okey… Kalau I suka, I akan beri you bunga.”

“Bunga?!”

Cik Puan Suhaila ketawa. “Ha’ah! I nak beri you bunga.”

“I lelakilah…”

Aku telan air liur. Amboi! Seronok betul kalau dapat bunga.

“Hei! Lelaki pun boleh dapat bunga apa…” sela Cik Puan Suhaila bersahaja. “Ha! Balqis, bunga apa yang sesuai untuk saya beri pada Asyraf?” soalnya tiba-tiba.

Kini, ada dua pasang mata yang memandang padaku menanti jawapan.

Aku kerut dahi. Segera kupandang tepat ke muka Cik Puan Suhaila. Jenis soalan apakah ini? “Err… bunga telur…” jawabku tanpa berfikir panjang.

“Apa?” soal mereka berdua.

Aku garu kepala. “Eh! Salah. Bunga raya patutnya.”

Asyraf bulat mata. Cik Puan Suhaila pula ketawa. “Bunga raya?”

“Ya! Bunga raya…”

“Kenapa?” soal Asyraf.

Aku menggelabah. Inilah padahnya jika menjawab main tembak aje. Otak mula berfikir ligat. “Encik Asyraf kan lelaki. Takkan nak beri bunga ros atau lili. So, saya pilihkan bunga raya. Sebab lain, bunga raya kan bunga kebangsaan kita. Bunganya pun cantik. Pokoknya mudah hidup, tak cerewet dan mampu mengeluarkan bunga sepanjang tahun. Seolah-olah dia sanggup mengorbankan kepentingan diri untuk menghiasi bumi bertuah ini. Macam Encik Asyraf yang sanggup berbuat apa sahaja untuk Cik Puan Suhaila…” Merapu aje. Macam bodek pun ya juga.

Sebenarnya aku suka pokok bunga raya. Daunnya banyak khasiat untuk rambutku yang memang hitam, panjang dan lebat. Datanglah ke rumahku di Kulai, Johor. Habis keliling rumah ayah aku tanam dengan pokok bunga raya macam-macam warna. Kat rumah Kak Salwa pun ada pokok bunga raya. Kami tanam dalam pasu.

“I think bunga raya tak sesuai dengan I…” jawab Asyraf. “I lebih suka bunga matahari. Lebih ceria dan lebih ada kelasss…”

Asyraf dan Cik Puan Suhaila ketawa bersaing. Mereka mengejek akukah? Yalah! Aku ni tak ada kelassss… Hati aku makin kecil dalam sesaat.

“Alamak, cik puan! You dah kena get ready untuk meeting petang ni…” ucap Asyraf di hujung tawa. Kemudian, dia memandang padaku, “Cik Balqis, sediakan bilik meeting ya…” Terus sahaja mereka beredar ke pejabat CEO.

Aku mengangguk biarpun sekadar untuk diri sendiri. Bilik itu telahpun tersedia sebenarnya. Cuma kali ini, tanganku ringan sahaja menghubungi tea lady untuk memintanya menyediakan minuman buat ahli mesyuarat. Dengan apa yang berlaku tadi, aku tak ada hati nak hidangkan minuman buat geng Asyraf macam selalu.

“Thank you, babe!” ucap Asyraf lewat petang itu sebaik mesyuarat yang dipengerusikan Cik Puan Suhaila berakhir.

Babe?! Benci!

 

BIARPUN jarak bukan penghalang, masa dan kesibukan buat persahabatan kami layu tanpa sedar. Aku kini sudah kembali menjadi aku yang dulu. Sendirian dan fokus pada menyelesaikan kerja sendiri. Permintaan kraftangan semakin lebat hasil promosi Kak Salwa yang memiliki ramai teman yang kehendaknya macam-macam. Asyraf? Dia sudah gagah menyelami lautan kerjaya. Dia juga sudah tidak seperti dulu. Memang antara kami strictly professional. Cik Puan Suhaila pun nampaknya semakin sayang padanya. Malah tidak pernah marah-marah seperti dulu. Mungkin sudah cukup kasih sayang.

Vroom! Vroom! Kedengaran bunyi motor berkuasa tinggi yang menderum-derum tidak jauh dari kerusi yang aku duduki di kedai mamak. Menunggu pesanan makan malam disiapkan. Aku hanya menjeling sesaat. Perangai mamat motor yang tak semenggah takkan mampu menarik perhatianku lebih lama. Dengan helmet fullface dan jaket kulit macam orang nak racing juga tak membantu menggoyahkan hati ini.

“Kakak!” panggil satu suara selepas beberapa ketika.

Aku menoleh. Lambat-lambat. Lama tak mendengar panggilan itu. Melihat wajah polosnya, rindu datang menyapa, tapi aku pasrah. Dia bukan adikku!

“Awal balik?” tegurku.

Dia tersenyum.

Sakit pula hatiku melihat senyuman itu. Sama rasanya seperti awal-awal dulu.

“Malam ni bos ada date…” jawabnya ringkas.

Aku mendengus. Boleh itu yang disebutnya dengan senang hati. Memang dia anak ikan professional.

“Jom makan sama!” ajaknya.

Aku pandang lagi wajahnya. Polos dan lurus. Tetapi, bodoh sangatkah dia untuk menilai mana baik dan mana buruk? Mungkin inilah masanya untuk aku berkongsi apa yang tersembunyi di dalam hati. “Kakak tak makan. Temankan kamu, bolehlah. Setengah jam…”

Dia tersenyum. Pekerja digamitnya. “Nasi goreng kampung dan Darjeeling tea…”

Aku mengerut dahi. Darjeeling tea mana ada kat kedai mamak. Hai… mentang-mentanglah taste dah up grade untuk sama paras dengan selera cik puan atau datin-datin. Makin menyampah pula aku nak pandang muka si Asyraf.

Mamak yang nak ambil order pun macam blur aje. “Darjeeling tea? Apa itu? Ilek!

Asyraf menggaru kepalanya perlahan. “Mmm… Tembikai laicilah…”

“Lupa ya… kita ni kat kedai mamak?” soalku sinis sebaik si pembantu kedai pergi.

Dia tersenyum.

“Atau confuse… Terasa macam kita kat five star hotel atau six star restaurant…” sambungku lagi. Sedikit sakarstik pula.

Dia senyum lagi.

“Lagipun, Asyrafkan tak minum teh. Nanti perut kembung,” tegurku. Geram juga dengan orang yang tak pandai jaga diri.

“Rindu pulak nak lepak dengan kakak…” ucapnya selamba bagai ayat sinisku tak mengusik tangkai hatinya.

Aku tertawa kecil. Melepaskan rasa sakit hati yang bergumpal di jiwa. “Rindu sebab kecewa cik puan awak ada date? Kenapa tak call Datin Zue tu?” soalku. Straight to the point. Peluru tepat ke dada.

“Datin pun ada date…” jawabnya dengan nada kesal. Matanya mengerling aku beberapa kali. “Boring tau dia orang tu… bila ada date, kita yang ditolak ke tepi…”

Lagi besar tawa aku. Dulu, dia buat kat aku, dia tak sedar ke? Walaupun waktu itu kami sekadar kawan baik. “Asyraf memang selesa berkawan dengan perempuan yang lebih tua ya?” Dalam waktu bersendirian berfikir mengenainya, aku akhirnya membuat satu konklusi. Asyraf amat tertarik untuk rapat dengan wanita berusia. Ramai eksekutif dan setiausaha di pejabat yang muda-muda dan cuba menarik perhatiannya, tapi dia buat don’t know aje.

Asyraf mengangguk. “Tak banyak songel…”

Aku pandang padanya. Tak mustahil dia menjauhkan diri dariku kerana aku dah jadi ‘kakak’ banyak songel yang suka ambil tahu hal itu ini tentang dia. “Apa rasanya kalau ada anak muda lain mainkan mama Asyraf macam ni?”

“Macam apa?”

Aku tarik nafas dalam-dalam. “Dikacau budak muda yang menempel macam nak kikis harta…” Perlahan aje suaraku. Berat untuk menuturkannya, tapi, aku harap dia faham.

Asyraf ketawa. “Tak mungkin!” Yakin.

“Atau kakak Asyraf yang orang buat macam ni?”

 “Pun tak mungkin…”

Aku menggeleng. “What comes around goes around, Asyraf. Takkan bahagia perhubungan yang macam tu…”

Asyraf diam. Hidangan yang kini ada di hadapan matanya dipandang sahaja. “Kakak…” panggilnya berjeda. “Kenapa perbezaan umur jadi halangan cinta?”

Sudah! Itu pulak yang dia tanya. Aku pula yang menggaru kepala. Menarik nafas mencari tenang. Geram pun ya juga. “Itu asbab sahaja. Mungkin memang takdirNYA bukan jodoh… Rasulullah lebih tua dari Saidatina Khadijah adalah contoh cinta yang tak terhalang biar usia jauh berbeza.”

“Kita dah habis berusaha, tapi, kita dah macam tak mampu,” keluhnya.

“Adalah tu yang ALLAH gantikan nanti,” balasku sambil lewa. Malas nak layan nada kecewanya. Bimbang aku tergoda. Cis! Takkan aku nak tergoda. Tapi, tak mustahil apa? Dia manja dan aku rasa aku tergoda sebab nak manjakan dia. Aku rindu pada adik-adik kat kampung kot. Haih! Hujung minggu ni baik aku balik kampung. Recharge bateri kasih sayang dengan keluarga sendiri. Itu lebih afdhal. “Cepat makan! Kakak nak balik. Nak basuh baju. Esok tak ada air…”

Dia mengangguk. Hidangan di depan mata dinikmati dengan gaya biasanya. Gaya kura-kura!

Hujan renyai-renyai pula turun melengkapkan pertemuan kami. Mana mungkin aku melupakan kisah ‘malam pertama’.

“Hujanlah pulak!” rungutnya.

“Baguslah… Dah sebulan air bercatu,” jawabku tenang. “Bila ALLAH beri, kita syukur. Bila ALLAH tarik, kita redha.”

“Nanti, saya temankan kakak balik…”

“Tak payah. Kakak boleh balik sendiri,” balasku tenang. Kami dah bukan kawan baik. Aku pun tak mahu menyusahkan dia.

“Kakak bawa payung tak?” soalnya.

Aku geleng. Memang hari ini, aku ke pejabat dengan tas tangan yang kecil. Bahuku sakit, mungkin kerana asyik mengangkat air dalam baldi. Maka, aku dah tak larat nak letak beg besar-besar kat bahu. Bila hujan, padahlah! “Redah aje…” ucapku selamba. “Makan cepat!”

Dia tergelak kecil.

“Kenapa?” soalku tak faham.

“Saya rindu dengan kakak. Saya suka bila kakak cakap… cepat makan! Atau… makan cepat!” beritahunya senang hati. Sempat lagi dia mengajuk gaya aku mengeluarkan arahan.

Aku tersenyum tawar. “Jangan main-main dengan beberapa perkataan, Asyraf,” ucapku. Entah kenapa aku sedikit rimas. Dia panggil aku kakak. Itu menunjukkan dia anggap aku lebih tua. Dia pula… err… anak ikan! Betul tak betul, aku tak tahu. Tapi, aku wajar berjaga-jaga.

“Perkataan apa?” soalnya polos.

Love you, babe, rindu…” jawabku tegas. Memang itu tiga perkataan yang pernah terlafaz dek bibir Asyraf padaku.

Asyraf ketawa. “Salah?”

“Bagi kakak itu salah kalau Asyraf tak bermaksudkan. Kita hanya kawan,” ucapku perlahan. Tak naklah tunjuk yang aku macam perasan.

“Tapi, kakak special…”

Aku tersenyum tawar. “Cik Puan Suhaila… Datin Zue kan lagi special…” Nama-nama itu pula yang terpaksa aku sebut.

Dia tertawa lagi. “Dia orang kategori lain…”

Aku panas hati. “Kategori apa, Asyraf?” sergahku. “Kakak ‘mak ikan’ yang miskin. Dia orang pulak ‘mak ikan’ kategori yang kaya. Macam tu?”

Dia ternganga.

“Neraka level berapa untuk setiap kami ni? Tahu tak bila Asyraf melayan Cik Puan Suhaila macam tu, orang ofis kata apa? Bila Asyraf peluk Datin Zue kat lobi, orang ofis kata apa? Mereka kata Asyraf anak ikan!” Sedikit kuat suaraku mengharap dia nampak apa yang aku cuba sampaikan.

“Anak ikan?!” soalnya terkejut. “Ikan apa?” Polos!

“Astaghfirullah!” ucapku. Rasa nak tepuk aje dahi dia. Dahlah kurus cekeding. Patah dua pulak anak orang ni karang. Memang pandai berlakon. Memang pandai berpura-pura. “Malas nak cakap. Dah besar, kan? Fikir sendiri…” Aku terus bangun menuju ke kaunter. Aku bayar semuanya. Anggaplah ini sesi makan-makan kami yang terakhir.

Lepas itu, sengaja aku meredah hujan. Mengharap titisan hujan menyejukkan hatiku yang kepanasan. Mengharap juga ia menutup air mataku yang kini mengalir laju di pipi. Sedih kerana ini yang berlaku pada persahabatan kami. Bagi aku, Asyraf nampak polos, tidak seperti lelaki-lelaki lain yang mudah menunjuk ‘gaya’ miang. Pantang melihat gadis berdahi licin. Entah mengapa, aku tertawa dalam hati. Memanglah Asyraf tidak memandang gadis berdahi licin. Dia gemar wanita matang bertas tangan berjenama!

Sebuah motor berkuasa tinggi tiba-tiba mendekati. Bergerak perlahan menyaingiku. Mamat motor yang berhalmet fullface mengangkat visornya. “Kakak!”

Terkejut aku. Asyraf?! Sejak bila dia ada motor besar? Dia tak cakap pun.

Tanganku ditariknya. Aku pula berkeras mahu meneruskan langkah.

Stop!” arahnya tegas.

Aku berhenti dan bercekak pinggang padanya.

“Ambil ni…” suruhnya setelah memberhentikan motosikal di sisi. Jaket kulit ditutupkan di atas kepala.

Aku tarik jaketnya. “Untuk apa? Untuk elak kena hujan? Kepala ni dah basah pun, Asyraf!” jeritku. Aku campak semula jaket padanya. Terus sahaja aku melangkah pergi.

Tiba-tiba… Terkejut aku bila sesuatu disarungkan ke kepala. Helmetnya!

“Sakitlah!” marahku. Sakit hatiku lebih lagi sebenarnya.

“Pakai helmet ni sampai gate rumah,” suruhnya. Tegasnya suara Asyraf tidak pernah kudengar sebelum ini. “Nak ajak naik motor, tak nak… Itu saya faham. Tapi, suruh tutup kepala masa hujan, tak nak, itu saya tak faham!” Giliran dia pula menunjuk gila menjerit dalam hujan.

‘Untuk apa?’ soalku dalam hati. ‘Untuk apa awak tunjuk yang awak ambil berat? Dan kemudian awak campak saya ke tepi?’ Terlepas esakan yang kucuba tutup rapi.

“Kenapa marah? Kenapa menangis?” soalnya bertubi-tubi.

Aku menarik visor agar menutupi muka. Terus sahaja aku meneruskan langkah. Semakin laju. Dia pula sudah bersaingan dengan motornya yang aku tak tahu jenama apa. Melihat pagar rumah yang kian hampir, aku lega. Helmetnya aku tanggalkan dan aku serah pada dia. Wajahnya sengaja aku tak mahu pandang.

“Kakak…” panggilnya dengan nada manja dalam deruan angin yang mendinginkan malam yang renyai.

Entah kenapa, aku panggung wajah. Nampaknya, kepalaku degil tak nak ikut kata. Melihat wajahnya yang basah dek air hujan, aku simpati.

“Kakak merajuk?”

Aku geleng perlahan. “Kakak tak layak nak merajuk, Asyraf…”

 

MALAM itu aku tidur awal. Tubuh dedar rasa nak demam. Peliknya, entah jam berapa, Kak Salwa masuk membawa ubat dengan segelas air. Dalam mamai, aku hanya mampu menelan. Yang aku dengar hanya beberapa patah perkataan ringkas darinya. “Asyraf yang hantar ubat ni. Dia suruh makan…” 

Dua hari aku MC. Bersambung pula dengan cuti hujung minggu buat aku memilih untuk bertapa di dalam bilik. Empat hari aku tutup handphone. Empat hari aku tidur. Kalau boleh aku tak nak bangun. Sebab kadang-kadang rasa macam nak mati. Tapi, ajalku belum sampai. Yang sampai adalah makanan panas yang dikirim Asyraf. Burger. Burger dan burger…

“Dah makan ubat?” soal Kak Salwa sambil meletakkan plastik berisi benda yang aku boleh agak apa ke meja di sisi katil.

Aku menggeleng.

“Antibiotik kena habiskan. Bimbang virus yang lebih bahaya datang serang Qis,” nasihatnya. “‘Adik burger’ datang hantar tu untuk Qis alas perut sebelum makan ubat, katanya…”

Aku mendengus.

“Kenapa marah dengan Asyraf?”

Aku angkat bahu. Bila bersendirian, aku banyak memikirkan tentang apa yang berlaku. Aku akui, aku keliru dengan apa yang aku rasa.

“Orang yang bercinta aje yang mampu marah tanpa sebab ni…”

Terasa air mata terbit lalu jatuh ke pipi tanpa kupinta. Aku tak faham kenapa aku menangis. Ikut suka-suka hati ‘air mata’ aku aje!!!

 

HARI itu aku sampai ke pejabat lewat. Bas rosak di tengah jalan. Duit dalam purse pula tak cukup untuk aku menahan teksi bagi meneruskan perjalanan. Hanya tepat 10.45 pagi aku tiba. Pejabat pula bagai dilanda garuda.

Mila muncul tiba-tiba di kaunter. “Cik puan gaduh besar dengan ex-husband dia…”

“Hah?! Kenapa?” soalku. Tentu sekali aku terkejut. Selama aku berkerja di sini, aku tidak pernah melihat lelaki yang pernah bertahta di hati Cik Puan Suhaila.

“Cik puan nak jumpa awak, Qis!” beritahu Sally yang membantuku menjaga kaunter sementara aku sampai.

Aku kerut dahi. “Untuk apa?”

“Saya tak tahu…”

“Asyraf mana?” soalku lagi.

“Kat dalam bilik puan…” jawab Mila. Wajahnya teruja untuk ambil tahu.

Apahal ni?! Dengan fikiran berselirat, aku menapak ke pejabat CEO. Pintu kuketuk. Salam kuberi…

Asyraf yang memandang aku dulu. Bibirnya koyak senyum. Dia menepuk kusyen di sebelahnya. Aku kerut dahi. Takkan aku nak duduk tanpa arahan dari bos. Lebih-lebih lagi riak muka cik puan yang aku nampak terlalu jelas keserabutannya. Ada seorang lagi lelaki yang tidak kukenali, wajahnya tegang juga. Apa dah jadi?

Aku tarik nafas panjang-panjang. “Cik puan, maaf saya lambat. Bas rosak tengah jalan.”

“Duduk, Balqis,” arah Cik Puan Suhaila. “Perkenalkan… Ini Aliff… Ex-hubby saya.”

Segera aku duduk di sebelah Asyraf, di hadapan Encik Aliff. “Encik Aliff, saya Balqis. Apa yang saya boleh tolong cik puan dan Encik Aliff?” soalku. Ketarnya lutut jangan cakap.  

So, ini Balqis… Bakal tunang Asyraf?” soal lelaki yang berwajah serius.

Aku bulat mata.

“Ya, Abang Aliff. Ini Balqis. Bakal tunang saya,” jawab Asyraf pantas. Tenang dan yakin ayat itu meluncur dari bibirnya.

Aku pandang Asyraf. Dia pandang aku. Pandangan mata kami berbeza.

“Kami akan bertunang hujung bulan ni,” sambungnya. Suaranya berbeza buat aku tak mampu nak terus bertentangan mata. Segera aku menunduk.

True?” soal lelaki yang Asyraf panggil Encik Aliff. Dia nampaknya lebih berusia dari Asyraf tetapi seakan sedikit muda dari Cik Puan Suhaila. Matanya tajam memandang padaku.

Aku pandang pada Asyraf. Asyraf tersenyum seakan mengharap aku mengakuinya. “Err…” Jiwaku memberat.

“Balqis ni pemalu, bang. Dia tak izin saya maklum pada orang lain tentang hubungan kami selagi tak sarung cincin tunang kat jari. Maklumlah, kami sepejabat. Saya pulak kerja jaga pejabat bos,” jawab Asyraf lagi.

“You tahu hal ini, Ila?” soal Encik Aliff pada Cik Puan Suhaila.

Cik puan Suhaila mengangguk. “Asyraf is really in love with Balqis, abang,” jawabnya. “She is his first love.”

Aku bulat mata. Aku first love Asyraf? Fuh! Konspirasi peringkat tertinggi telah berlaku dan aku merupakan mangsa. Sinar Harian! Mingguan Wanita! Aku rela jadi berita utama muka depan.

Encik Aliff melurut rambutnya. Dia kelihatan keliru.

“Asyraf adalah adik bestfriend Ila. Abang ingat Safwana? Kawan Ila masa study di Manchester dulu?” soal Cik Puan Suhaila lembut. Dia bingkas bangkit lalu duduk di sebelah bekas suaminya.

Encik Aliff mengangguk.

“Asyraf ni adik Safwana. Anak Dato’ Zawawi yang bongsu. Bestfriend daddy…” beritahu cik puan. “Ila minta tolong dia untuk buat kajian tentang EcoPort sebelum dia nasihatkan cara terbaik untuk Ila susun semula operasi syarikat. He has a degree in environment engineering and master in Business Administration.”

Aku terasa sesak dada tiba-tiba. Dato’ Zawawi?! Asyraf anak dato’? Dia dan Cik Puan Suhaila sebenarnya saling kenal? Dia ada degree dan master? Ya ALLAH! Patutlah mudah benar dia diterima bekerja tanpa perlu ditemuduga sendiri oleh cik puan. Patutlah dia mudah selesa. Patutlah gaya dia confident sesangat. Habis tu? Yang dia tunjuk manja kat aku tu kenapa? Siap rela naik bas lagi. Aku pandang muka Asyraf. Penipu… Mataku mengecil tanda mahu marah. Ah! Buat apa aku marah? Dalam bilik bos pulak tu? Baik aku blah! “Saya…” Aku nak angkat punggung.

“Are we done?” soal Asyraf pada Encik Aliff. Aku tahu dia sengaja mencantas. Pada saat yang sama pergelangan tanganku yang beralas lengan baju dicapai dengan tangan kirinya. Erat genggaman itu buat aku merasakan yang aku harus mengikut kata-katanya. “Are we good?” soal Asyraf lagi.

Encik Aliff mengangguk.

Cik Puan Suhaila pula tersenyum lebar. “Asyraf settle hal dengan Balqis. Kak Ila settle hal dengan Abang Aliff…” arahnya.

“Bang, all the best. Abang tak kenal saya. Masa you all bersama sebelum ini, saya ada di UK. Tapi, Kak Ila is like a sister to me. Apa yang dia buat semua ini, untuk rapatkan hubungan kalian. Saya cuma pelakon tambahan sahaja. Please try to open your heart… bincang dengan baik. Saya percaya, abang dan Kak Ila mampu bahagia. Afifah tak sabar nak tinggal dengan papa dia macam dulu…” ucap Asyraf bersungguh.  Tangan dihulurkan pada Encik Aliff.

Lelaki berkot itu bangun, menyambut salaman malah memeluk Asyraf.

Peliknya, Asyraf tetap tidak melepaskan tanganku. Air mata Cik Puan Suhaila pula menitik satu-satu ke pipi.

Asyraf kemudiannya menarikku keluar dari bilik CEO. Beberapa orang staf yang berdiri berdekatan pintu pura-pura berbincang dan terus berlalu. Aku pasti mereka memasang telinga. Mak ikan bergaduh dengan bekas suami kerana anak ikan, tentu topik menarik. Walhal, itu semua tak benar sebenarnya.

Kami ke meja Asyraf. Dengan sebelah tangan, Asyraf mengemas semua failnya pantas. Ipad dan beberapa buku nota dimasukkan ke dalam beg sandang.

“Bila nak lepas tangan ni?” soalku geram. Tanganku, aku tarik kuat.

“Takkan lepas dah!” ucapnya. Kemudian, dia menarik aku ke kaunterku pula. “Ambil handbag Qis…”

“Qis?” Tiada lelaki yang kubenarkan memanggil aku Qis. Macam minta kiss sahaja.

Asyraf kenyit mata. “Cepat…” gesanya.

“Nak ke mana?”

“Nak bawa you jumpa mama I,” jawabnya mudah.

“I- I you-you pulak dah?” soalku sinis.

Asyraf tertawa. Telefon pejabat diangkat. Talian seseorang dihubungi. “Puan Elly, arrange somebody untuk jaga reception counter. Cik Balqis cuti hari ini…”

“Asyraf!” marahku. Pandai-pandai aje bercakap dengan ketua Jabatan HR yang tegas tu bagi pihak aku. Nak suruh aku bercuti selepas dua hari MC?

Dia pula selamba sahaja. “Hanya Puan Elly dan Kak Ila yang tahu siapa saya…”

“Habis tu, kenapa awak sibuk nak heret minah yang tak tahu siapa awak?” soalku selamba. Suara dah mula tinggi. Tentu sahaja kerana api kemarahan yang kian marak.

“Sayang sure tak nak bawa handbag?” soalnya. Soalanku diketepikan sahaja. “Jangan menyesal nanti…” Sempat dia membuat gaya ugutan.

“Sayang?” soalku tak puas hati.

Dia tersenyum senget pula. “Cepat! Driver mama dah nak sampai kat bawah!”

Aku buka laci yang berkunci. Tas tangan berwarna biru kucapai. Tak puas hati dengan caranya. Tetapi, aku tiada pilihan lain. Mata-mata staf yang lalu lalang mula memandang pada kami.

 

“KITA nak ke mana?” soalku sebaik masuk ke dalam lif. Aku harus bertegas. Banyak persoalan yang belum terjawab. Asyraf pula sibuk membelek telefon pintar di tangan. Ada beberapa orang lain di dalam lif itu buat kami terpaksa rapat ke dinding.  

“Jumpa mama saya!” jawabnya yakin. “Dia dah tunggu kat rumah.”

No!” bisikku sedikit keras. Marah hatiku dengan jawapannya yang satu lif boleh dengar.

Why?”

“Untuk apa?” soalku. Suara kami dah sama kuat. Hal keliling aku tak pandang. Gaya vogue aku dah tercampak dari tingkat 15 tadi. Jatuh ke bawah langsung pecah berderai.

“Uruskan pertunangan kita…”

Satu lif memandang ke arah kami. Segan aku jadinya. Makin tidak puas hati dengan caranya. Jika biasanya aku yang meng’conquer’ semua keputusan kami, saat ini, aku terasa seperti robot yang diperintah dan setia menurut perintah.

“I dah cakap dengan mama I!” beritahu Asyraf tenang.

Tak ada hujan tak ada ribut, nak bertunang. Dahlah sejak dua menjak ni dia asyik nak carik perasaan aku. Setakat bagi burger lima enam ketul, aku tak hairan. Banyak kolestrol buat aku gemuk adalah… Dan kalau setakat nak buktikan ‘hubungan’ ini dengan Cik Puan Suhaida dan Encik Aliff, aku tak rela. Aku tak kisah nak kena berhenti kerja. “Hei! You ingat I anak kucing?” marahku.

Nope!” jawab Asyraf yakin sambil memandang padaku. “Qis… Atau Balqis… Anak manja Tuan Haji Baharuddin yang tinggal di Kampung Melayu Kulai, Johor. Orang panggil ayah you Cikgu Din. Mak you orang panggil Cikgu Su. Jiran you sebelah kanan namanya Uncle Wong. Jiran sebelah kiri pulak namanya Cikgu Salbiah. Rumah you dua tingkat. Empat bilik. Adik beradik tujuh orang, you anak nombor empat. You ada diploma dan tengah tunggu keputusan UPU untuk sambung ijazah. Tahun lepas, UPU dah reject you. Ayah you prefer you kahwin sebab…”

Stop it, Asyraf!!!” jeritku sekuat hati sebelum melangkah keluar sebaik pintu lif terbuka. Pantas aku berlari meninggalkannya. Aku keliru dengan apa yang aku dengar. Aku malu dengan semua pemilik telinga lain yang mendengar. Maklumat peribadiku mungkin Asyraf boleh dapatkan di dalam sistem HR. Dengan ‘kuasa’nya, aku tak hairan. Tapi, kalau sampai dia kenal Uncle Wong dan Cikgu Salbiah, aku mula ragu-ragu. Itu jiran-jiran keluargaku di Kulai sana. Perbualan terakhir aku dan ayah juga dia tahu. Dia nia apa? Spy macam James Bond?

Asyraf mengejarku pantas. Aku dengan kasut tinggi mana mungkin mampu lari jauh dengan dia yang… Tinggi sasa… Hah? Sejak bila aku nampak dia sasa? Bukan dia kurus cekeding ke? Siapa yang makan burger banyak sangat ni? Aku atau dia?

Tangan kiriku diraih lalu ditariknya. Tubuhku terpusing 180 darjah. “Jangan lari!” pintanya.

Pang! Pipinya kutampar. “Kenapa Asyraf buat kakak macam ni?” soalku. Sengaja panggilan kakak aku sebut agar dia hormat padaku semula.

Asyraf tertawa. Gaya hormatnya pada aku yang bertaraf kakak hilang sekelip mata.

Aku angkat tanganku lagi. Mahu beri tamparan kedua. Biar dia rasa!

Asyraf pantas menangkap. Kami saling berdepan. Dia menahan tanganku. Mata saling bertentangan seperti musuh ingin berbunuhan. Mataku panas dengan api kemarahan. Namun, pandangan matanya padaku bukan begitu.

“Lepaskan saya!” marahku.

No!” jawabnya ringkas.

“Ramai orang nampaklah! Tak malu ke? Awak nak apa sebenarnya ni?” semburku lagi.

“Nak Qis!” jawabnya dengan ketawa.

Aku ketap bibir. “Tak hingin!” marahku berani.

Asyraf tetap ketawa. Makin kuat dan bersahaja macam orang bahagia. Asyraf memang gila! 

“Asyraf!” panggil satu suara.

Kami sama-sama menoleh.

Aku bulat mata. Datin Zue?! “Asyraf, mak ikan you!” jeritku panik.

“Oh, dear! You are here!”

Aku pula gelap mata.

 

 

“AYAH bahagia andai Asyraf sudi jaga Qis. Dia anak kesayangan ayah…” Berbalam-balam aku mendengar suara seseorang bercakap. Suaranya seperti aku kenal. Ayah? “Samada Asyraf izin Qis sambung study atau tak, itu terpulang. Dah nikah nanti, dia dah jadi isteri kamu. Kamu yang buat keputusan.”

Nikah? Isteri? Kepalaku terlalu sakit. Berdenyut-denyut. Pandangan mata pun kelabu aje. “Ayah,” Terlepas panggilan itu dari bibir keringku. Tekak pulak terasa pahit.

“Qis!” Aku seakan mendengar suara ayah.

“Ayah! Qis tak nak kahwin! Tak nak kahwin dengan Asyraf!” rayuku. Lengan ayah aku genggam kuat. “Qis tak rela. Dia anak ikan Datin Zue…”

“Qis! Kahwinlah…” Aku dengar ayah memujuk.

“Tak nak! Tak nak!” pintaku bersungguh.

Tak lama kemudian, ada sesuatu yang sejuk dan lembut menyentuh pipiku. Wangi! Aku kenal bau ini. Erk?! Benda lembut itu menyentuh lagi.

“Kahwinlah dengan abang…”

Abang? Abang mana pulak ni? Takkan abang-abangku. Sumbang haram hukumnya berdosa besar.

“Kahwinlah! Kahwinlah!” rayu suara itu lagi.

Aku keliru.

“Mama!” panggil pula satu suara halus. Sesuatu yang lembut menepuk wajahku. “Mama!”

“Sayang! Baby kita dah bangun sejam tadi, sayang masih mimpi.” Suara yang merayu tadi kini bertukar garau.

Baby? Aku buka mata. “Baby? Mimpi?” Kabur pandangan mataku. Terpisat-pisat aku mencari arah punca suara.  

“Abang?” soalku dengan kerut di dahi.

Lelaki berkumis nipis itu tertawa. “Mimpi lagi?” soalnya mesra.

Aku angguk perlahan. “Qis mimpi ngeri lagi. Kenapa abang tak kejut?”

Lelaki berkumis nipis itu ketawa. “Pelik abang dengan mimpi Qis. Setahun sekali aje dia muncul. Hebat betul mastermindnya kan?”

“Benci, abang!” jeritku padanya. Geram pada diri yang rupanya memeluk erat lengan si dia sambil memujuk rayu pulak tu. Segera kutarik comforter untuk menutup muka. Malu!

Makin kuat lelaki itu ketawa. “Firas, tengok mama ni…” ejeknya. “Asyik mimpi ngeri aje masa malam anniversary. Bila agaknya nak mimpi bahagia. Sampai Firas dah nak dapat adik dah…”

“Ni semua abang punya pasal!” marahku lagi. Kali ini dari bawah comforter. Geram mendengar gaya dia ketawa. Bahagia di saat aku derita.

Derita? Tentu sekali setiap kali aku mengingati apa yang terjadi, aku menderita. Menahan malu, menahan geram dan sakit hati. Setahun sekali aku mimpi ngeri dan semuanya kerana gara-gara encik suami.

Bahagia? Ya, itu juga yang kurasa. Lelaki yang kini berkumis nipis penuh gaya dan semakin gagah menunggang motosikal kesayangannya telah menjadi milikku. Asyraf? Ha’ah! Asyraflah… siapa lagi. Asyraf si anak ikan terkenal di EcoPort!

Rupanya Asyraf adalah anak jiran sebelah rumah datukku yang tinggal di Kampung Melayu Kluang. Kami berdua memang rapat waktu kecik-kecik dulu. Asryaf tu lebih tua dariku dua tahun. Kami memang selalu buat kerja nakal di kampung. Kami kebas buah rambutan kat rumah pak imam  dan jamu kawan-kawan makan. Kami jolok manggis Mak Jah, kami jual kat Ah Meng yang tinggal kat kampung sebelah. Kami baling angsa Tok Cik Leman dengan batu sampai kecoh satu kampung. Telurnya kami curi dan kami main masak-masak dengan Rani dan abangnya di tepi sungai. Kami tanam kaca, kononnya biar jadi guli. Kami main kahwin-kahwin. Erk!

“Sayang, sudahlah tu…” pujuk Asyraf. “Jangan kenang lagi cerita tu. Mama okey. Mama tak terasa hati dengan Qis pun. Malah mama marah pada abang sebab tak bawa Qis datang jumpa mama awal-awal. Hal ini terjadi, semuanya sebab salah abang.”

“Abang bolehlah cakap macam tu. Qis yang menjerit perkataan tu. Bukannya abang!” marahku tak puas hati. Walau kami dah tiga tahun kahwin, aku masih keseganan dengan ibu mertuaku hanya kerana jeritan penuh perasaanku pada hari ‘istimewa’ yang berlaku tiga tahun lalu. Hingga sekarang anak dah masuk dua dan bisnes kraftangan origamiku pun makin berkembang, peristiwa itu tak daya aku lupakan. Agaknya nak tunggu pengajian degreeku habis terlebih dahulu, baru aku mampu.

“Abang pun dah lupa apa yang Qis jerit. Mama pun dah lupa…” pujuk si dia lagi.

Aku mendengus tidak percaya. “Bohong!”

“Apa yang Qis jerit?” soal Asyraf lembut. “Cuba ingatkan abang. In case, ada sesiapa yang bring up that subject masa family lunch nanti, abang ketuk kepala orang tu.”

Ha! Ha! Macam aku boleh percaya apa yang dia kata. Aku yakin, dia tak lupa.

“Qis! Qis panggil mama apa dulu tu?” soalnya lagi.

Aku gigit bibir. Tak sanggup nak sebut. Baru aje aku mimpi tadi. Setahun aku cuba lupa, sampai hari anniversary, aku mimpi lagi. Jadi, macamana aku nak lupa? Tiba-tiba, aku terasa ada jari yang masuk mencelah di bawah helaian comforter yang menyelimuti. “Abang!” marahku. Aku tak mahu diganggu. Tangan itu pula tak tahu nak duduk diam. Menguit-nguit-nguit mahu mencari ruang untuk menggeletek.

“Cakap! Kalau tak, abang geletek!” Dia makin giat mengusik.

“Mak ikan you…” jawabku perlahan.

“Apa?” soal Asyraf.

“Mak ikan you!” jeritku kuat. Jarinya terus sahaja kugigit.

Asyraf ketawa besar.

Ya! Hari di mana aku menjerit memanggil ‘mak ikan you!’ pada mama Asyraf adalah hari bersejarah dalam perhubungan kami berdua. Pada hari itu, Asyraf mengaku dan membuka cerita siapa dia sebenarnya. Hubungan polos kami yang terjalin sejak kecil di samping kisah keakraban keluarga kami yang benar-benar telah pudar dari kotak ingatan diri ini disebutnya satu-satu. Malah kisah dirinya, Cik Puan Suhaila dan Encik Aliff juga dijelaskan tanpa kuminta.

Anak ikan EcoPort yang manja denganku itu sebenarnya menanggung beban yang berat dalam memastikan survailability syarikat tempat kami bekerja. Dalam tenang suasana kerja di EcoPort, tidakku sangka ada gunting dalam lipatan. Syarikat telah kehilangan beberapa projek penting sepanjang enam bulan sebelum Asyraf masuk. EcoPort rupanya sedang kerugian. Banyak tender gagal didapatkan kerana harga bidaan yang syarikat tawarkan sentiasa lebih tinggi sedikit berbanding beberapa syarikat pesaing.

Untuk menghadapi situasi sukar, Kak Long Safwana mencadangkan Cik Puan Suhaila melantik Asyraf masuk ‘bekerja’ di EcoPort. Sengaja juga Asyraf mengisi jawatan kosong yang ditinggalkan Ida. Mengapa? Kerana dengan jawatan itu, Cik Puan Suhaila mudah berbincang apa sahaja dengan Asyraf untuk mengatur strategi. Dengan jawatannya juga, Asyraf lebih mudah rapat dengan pekerja pelbagai peringkat bagi mendapatkan maklumat. Tanpa kusedar, aku turut membantunya untuk diterima baik oleh semua orang.

Gunting dalam lipatan itu adalah Mila! Tanpa sesiapa tahu, Mila menggunakan tugasnya sebagai setiausaha kepada Encik Faizul untuk mendapatkan maklumat tender. Maklumat itu disalurkan kepada orang tengah yang menjualnya kepada pihak luar. Apabila Asyraf masuk bekerja, dia telah mengambil alih semua penyediaan dokumen tender dari Encik Faizul, di samping membuat penyiasatan dalaman. Patutlah Mila membenci Asyraf. Dia kehilangan peluang untuk mencari ‘rezeki’ tambahan.

Asyraf juga mempunyai misi untuk membantu Cik Puan Suhaila memenangi hati bekas suaminya semula. Ya! Asyraf sengaja mencipta ‘hubungan’ agar Encik Aliff merasa cemburu. Dia dan Cik Puan Suhaila sengaja berduet lagu-lagu cinta ketika berkaraoke kerana Encik Aliff sendiri sedang meraikan rakan perniagaannya di tempat yang sama. Mereka pergi ke Pulau Pinang untuk menghadiri seminar bersama kerana Encik Aliff juga turut berada di sana. Safwana, kakak Asyraf pula menjadi spy di pihak Encik Aliff yang mula panas punggung. Janda mudanya kini dirapati si anak ikan. Menggeleng aku mengingati kisah itu. Lebih-lebih lagi, ‘keakraban’ ilusi ciptaan mereka cukup buat perasaan cemburuku bertunas tanpa disangka.

Nak tahu bila di dalam hati Asyraf ada taman terhadap aku? Fuh! Ini part yang paling best. Jangan terkejut. Ia berlaku ketika kami bertentangan mata buat kali pertama di dalam bas. Sekilas dia mengecam aku. Ya! Ketika aku memanggilnya ‘senget’. Dia mengecam wajah Balqis binti Haji Baharuddin biarpun kami sudah berpisah berbelas tahun.

Kelakar pula bila mengenangkannya. Lebih kelakar lagi, perkara pertama yang dia pinta sebaik masuk ke pejabat CEO pada hari pertama dia bekerja adalah fail peribadiku. Dia mahu meyakinkan dirinya, akulah Balqis, teman sepermainannya ketika kecil dulu. Dia dan keluarganya juga telah menziarahi keluargaku di Kulai tanpa pengetahuanku. Dia sengaja memanggil aku kakak untuk menutup perasaan yang mula memalu dada. Misi membantu Cik Puan Suhaila lebih penting. Itu amanah kak longnya. Kini, kak longnya juga dah jadi kak longku.

Tiga bulan selepas aku menjerit perkataan azimat ‘mak ikan you!’, kami bernikah. Campur tangan keluarga buat aku pasrah untuk memadam segala perasaan yang tak tentu hala dalam hati. Hanya beberapa perasaan yang aku tak padamkan. Tentu perasaan cinta kasih dan sayangku padanya. Malu juga aku pada Asyraf yang merupakan pelajar bijak di luar negara, sedangkan aku hanya gadis biasa yang pencapaian pendidikanku biasa-biasa sahaja. Restu keluarga penting baginya. Pen pemberianku digunakan Asyraf untuk menandatangani semua dokumen pernikahan kami. Bunga raya pula menjadi bunga rasmi majlis persandingan kami. Cukup 10 bulan selepas pernikahan, Firas Asyraf dilahirkan. Sebaik Firas genap berusia setahun setengah, aku mengandung lagi.  

“Okeylah tu… Ikan yu cantik apa?” pujuk Asyraf dengan ketawa kecil.

“Mama…” panggil anak bujangku yang duduk antara kami.

Alahai, anak! Masa inilah dia nak enterframe. “Hmm…” sahutku dari bawah comforter.

“Nak cucu…” pinta Firas manja. Dia nak susu!

“Abang…” panggilku pula. Manja juga. “Buatkan Firas susu. Boleh tak?” Masih belum ada mood nak keluar dari comforter. Bilik yang sejuk berpenghawa dingin buat aku lebih nak bermalas-malasan di pagi hari.

“Tak naklah! Sayanglah buat,” suruh Asyraf macam lelaki tak sporting.

“Alah! Kan anniversary kita hari ni… Abanglah buat!”

“Sayang buat susu, abang kemas tempat tidur,” balas Asyraf membahagikan kerja.

Aku muncung bibir. Pandai dia. Kerja yang perlu menapak ke tingkat bawah, dia suruh aku yang buat. Dia setakat mahu buat kerja dalam bilik ni aje.

“Mama…” panggil si anak bujang lagi.

Aku tolak comforter ke tepi. Wajah Firas yang setia menanti botol susunya buat aku tersenyum lebar. Giginya sudah tumbuh empat batang. Dua atas dan dua di bawah.

“Yeay! Mama dah keluar dari igloo!” jerit si mamat berkumis nipis.

“Yeay!” jerit Firas meniru gaya papanya.

“Pandai! Suruh anak…” ucapku sengaja menunjuk rajuk. “Dia bukan nak pujuk kita. Dah boyot macam ni pun nak suruh kita turun naik tangga.”

Asyraf gelak. “Boleh, kalau nak abang pujuk. Buat susu anak dulu…” suruhnya. “Exercise sikit turun naik tangga. Senang nak bersalin bulan depan.”

‘Wow! Macam ada hadiah aje.’ Naluriku mula meneka. Segera aku turun dari katil. Botol susu kosong kucapai dan kubawa ke bawah. Baru separuh anak tangga, aku dah bulat mata dengan apa yang aku nampak. Segera aku menapak naik ke atas semula.

“Sayang!” jeritku pada Asyraf. Lebih bulat mataku sebaik melihat Firas sudah berbaring selesa di dalam baby cot dengan sebotol susu yang penuh. “Sayang!” jeritku lagi. Tentunya lebih kuat kerana menahan geram. Asyraf kenakan aku rupanya.

“Kenapa, kak?” Dia buat suara manja dengan gaya selamba. Tangannya pantas mengemas katil.

Panggilan kakak buat aku ketawa. Hidangan sarapan pagi buat aku lega. Hadiah sejambak bunga ros merah di atas meja makan buat aku bahagia. Dan paling menarik, aku baru perasan sehelai dress warna merah darah sudah tersedia untuk kusarung ke majlis makan tengahari bersama keluarga kami hari ini.

“Merah?” soalku tentang pilihannya tahun ini.

Asyraf berjalan mendekatiku dengan wajah kasih sayang. Dia kelihatan matang dengan kumis nipis menghiasi wajah. Sesuai dengan statusnya sebagai seorang suami buatku dan papa buat Firas. Dia juga kini memiliki syarikat konsultansinya sendiri. “Bila sayang pakai baju warna ni, ada bunyi ‘ping’ yang berdengung selalu kat telinga abang. Buat abang tahu, sayang perlukan abang. Sama macam ‘malam pertama’ kita duduk berdua di perhentian bas untuk menunggu hujan berhenti dan banjir surut. Sayang ingat lagi?”

Aku tersipu. “Sayang memang perlukan abang sebagai peneman hidup ini. Dalam terang atau gelap. Ketika cahaya mentari mula bersinar di pagi hari atau ketika cahayanya sirna ketika senja. Ketika jauh atau dekat. Dalam panas atau hujan.” Ucapku malu-malu.

Mengingati detik kebersamaan kami, air mata ini mudah jatuh ke pipi. Pipinya kuusap lembut. Matanya kutatap senang. “Maafkan sayang sebab pernah tampar pipi abang.”

Asyraf tertawa. “Itu semua no hal! Asal ada sayang dalam pelukan abang pada setiap waktu dan segelas neslo pada bila-bila masa abang perlu.”

Menggeleng aku mendengarnya. Asyraf dan Neslo? Tak habis-habis dengan Neslo. Kembar seiras dia kot. Sengaja dia kukerling.

“Jangan jeling abang… Nanti kena minum Darjeeling tea baru tahu!” usik Asyraf senang. Sebuah pelukan erat buatku terus diberikan.

Bahagia, itu yang kurasa. Bersama Asyraf dan anak-anak kami, aku pasti aku lebih bahagia. Hidupku tidak sunyi. Hatiku tidak sepi. Sentiasa ada seseorang yang meneman di sisi.

Rain Itu Hujan – Hidup Harus Berteman. Titik di sini.


Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya