“SALAM, Ara! Apa khabar hari ini?” sapa
Ati sahabat baikku sejak sedekad yang lalu. Ati yang berbau wangi setiap
hari mencipta rasa selesa bila aku bersamanya.
“Ceria,
Ati! Pagi tadi kan hujan turun. Nyaman betul suasana macam ini, Alhamdulillah,” jawabku penuh bahagia.
Mana mungkin aku melupakan rintik hujan yang membasahi tubuhku awal pagi tadi.
Tidak
kusangka rezekiku murah hari ini. Seringku ingatkan pada diriku, jangan buruk
sangka pada Ar-Razak. Aku maklum cuaca
sering tidak menentu kini. Merungut? Tentu tidak, itu bukan tugasku. Matahari
yang baru memancarkan sinar pagi, menandakan hari ini ramai sahabat akan datang
mengunjungi kami berdua, yang memang setia menanti.
SEPERTI
yang dijangka, tidak lama kemudian, dari jauh aku melihat Irfan dan Farisha
berlari perlahan mendekati kami berdua. Joging
adalah amalan harian pasangan suami isteri ini. Memerhatikan gelagat mereka,
memang hobiku. Sampai di spot kegemaran mereka yang berdekatan tempat aku
berada, mereka akan berhenti seketika. Meregang-regangkan otot-otot di seluruh
badan. Dengan pelbagai posisi dan gaya. Sudah tentu itu merupakan salah satu
rahsia kesihatan dan kebahagian mereka.
Melihat
mereka, aku jadi lebih gembira dengan keberadaan aku di situ. Mana tidaknya.
Apabila seorang isteri yang sentiasa tersenyum kepada suaminya dan seorang
suami yang memandang isterinya penuh cinta. Bukankah itu tandanya bahagia?
Fa-biayyi
alaa’i Rabbi kuma tukadzdzi ban.
“Ha!
Ara cuba main mata dengan Irfan ya,” usik Ati.
Aku
faham mengapa itu menjadi usikan Ati kepadaku. Melihat kepada sasanya tubuh
badan Irfan, senyumannya yang manis dan baiknya budi bahasa, aku pasti ramai
hamba ALLAH yang teringin menjadi permaisuri hatinya. “Ati, cuba kamu perhatikan baik-baik gelagat
mereka. Sekejap lagi Irfan akan pumping,
dan isterinya yang cantik comel itu akan duduk di belakang suaminya sambil memberi
kata perangsang. Kadang-kadang Irfan pumping
sampai 50 kali. Farisha akan bertepuk tangan gembira. Happy couple betul. Ara doakan mereka bahagia sampai bila-bila.”
“Ati
doakan mereka dapat anak cepat-cepat. Mesti semua comel dan bijak seperti
mereka berdua,” balas Ati yang turut terleka melihat pasangan suami isteri itu.
SubhanALLAH. SubhanALLAH.
TIDAKKU
lupa apa yang berlaku
dua bulan lepas. Irfan datang dan duduk di taman ini
bersendirian. Wajahnya nampak cukup sayu dan sedih. Dari perbualan Irfan dengan
seseorang di telefon bimbitnya, aku mendapat tahu Farisha terpaksa pergi ke
Moscow untuk menghadiri persidangan selama seminggu bagi mewakili syarikat di
mana dia bekerja. Irfan pula tidak dapat menemaninya kerana kekangan tugas. Dia
sunyi sebenarnya. Irfan rindu pada Farishanya.
Mungkin
dia singgah seketika untuk menikmati pemandangan indah yang sering dikongsi
bersama Farisha setiap kali mereka datang ke sini, sekadar satu cara
menghilangkan kerinduannya.
Terus sahaja aku memanjatkan doa agar
hilang keresahan hati Irfan. Semoga rindu yang dipinjamkan ALLAH, akan
dinikmati Irfan dengan penuh kesyukuran. Terutama apabila Farisha selamat
sampai ke sisinya semula.
Puas membuat senaman ringkas, Irfan dan isterinya terus berlalu pergi.
Siapa
yang tidak terpana dengan segala kejadian ALLAH yang boleh dilihat di sini. Di
hadapanku dan Ati, ada sebuah tasik buatan yang agak luas. Terdapat pelbagai
spesies ikan yang memiliki kehidupan di dalamnya. Tumbuhan rimbun yang
menghijaukan pandangan. Jauh sayup mata memandang, adalah kotaraya Kuala Lumpur
yang cukup indah terutama pada waktu malam. Bunyi unggas di rimba meratibkan
kesyukuran pada Ilahi. SubhanALLAH.
Sejak
20 tahun pembinaannya, pelbagai perubahan yang dilakukan pihak kerajaan
dan dewan bandaraya untuk menambah cantiknya taman ini. Siang bertukar malam dan malam bertukar siang. Takdir
penciptaanku menyebabkan aku memiliki kelebihan sebagai pemerhati di samping
terus berzikir memuji kebesaran ILAHI.
“KALAU awak dah tak suka pada saya, ceraikan
saya!!!” jerit satu suara wanita tidak jauh dari kami.
Ternyata perilakunya menarik perhatian
aku dan Ati. Tersentak ketenangan kami dibuatnya.
“Kenapa
nak bercerai? Abang bukan nak bercerai, Zulaikha. Abang cuma nak Zu ubah
penampilan. Pakai tudung! Pakai baju kurung! Zu kan isteri abang.
Dosa Zu, abang yang tanggung sekarang, sekiranya abang tidak didik Zu dengan
baik,” terdengar pula suara seorang lelaki, berkumis nipis. Pakaiannya kemas
bersopan.
Wanita
yang menjerit tadi pula hanya berbaju ketat berseluar singkat.
Astaghfirullah. Ya! Dia memang cantik dan
putih melepak. Tetapi, bukan untuk dinikmati khalayak. Hanya ALLAH dan suaminya sahaja yang
memiliki hak itu.
Ya
ALLAH, kau permudahkan lelaki ini memberi faham kepada isterinya.
Ya ALLAH, kau permudahkan isterinya memahami apa yang ingin disampaikan
oleh lelaki ini. Semoga mereka dapat berubah dan hidup bahagia, doaku dengan rendah
hati. Perasaan ingin membantu meronta-ronta keluar dari hatiku.
“Sekarang,
pandai pula awak cakap dosa pahala. Dulu, siapa yang pagi petang siang malam
minum arak, main judi dan kejar perempuan? Bukan awak ke, Encik Adham? Setahu saya, saya
kahwin dengan awak sebab nak hidup bebas. Bila saya nak pergi... Bila saya nak
balik... Bila nak pakai baju tutup atas atau tutup bawah, saya punya sukalah!”
jerit wanita muda itu lagi.
"Oh! Adham namanya," bisikku pada Ati. Sebagai
pemerhati, kami sedih dan rimas. Tidakkah wanita itu takut hukuman ALLAH? Pada akhir
zaman, hukuman ALLAH adalah tunai!
“Itu
dulu, Zulaikha... Dulu abang memang tak kenal Allah. Tapi, sekarang lain. Insya-ALLAH, kita dalam pertunjukNYA.
Berubahlah, sayang. Abang sayang pada Zu. Abang nak kita masuk syurga sama-sama,”
balas lelaki berkumis lagi.
“Abang,
duit mak bapak saya dan jika dicampur duit mak bapak abang, tak habis untuk
kita dan anak cucu kita tujuh keturunan, tahu tak? Buat apa nak susah payah?!” herdik Zulaikha tidak mengira keliling.
Lelaki
tadi menggeleng. Dia menggaru belakang kepala melepaskan amarahnya. Terpaksa cuba
untuk mencari sabar.
“Dunia
ini syurga, abang. Nak buat apa berubah? Sekarang pun saya banyak bersedekah.
Takkan tak cukup?!” Sambung Zulaikha.
Pantas
suaminya mengangkat muka memandangnya. Tajam!
Zulaikha selamba melawan pandangan suaminya. Tanpa takut, dia menyambung kata, “saya
tengok abang pun bukannya semakin senang. Mana ada job baru masuk? Abang dah tak nak ambil gambar modelling, fashion show, private party dan entah apa-apa lagi.
Semua job pun abang tolak. Tak nak
bersubahatlah. Tak nak berdosalah.
Belum lagi, suka buang masa di masjid. Kena solat
konon. Menunjuk macam orang alim. Lepas itu, bawa orang gelandangan balik
rumah. Makan sama-samalah. Abang ingat rumah kita rumah apa? Rumah kebajikan?!!” Turun naik suaranya mengikut geramnya perasaan. Akhir sekali, sengaja dia membentak keras. Nampak sangat dia tidak berpuas hati.
Aku
yang berada berdekatan hampir naik angin. Panas berbahang jiwa mendengar kata-kata
wanita tidak beriman.
Adham
menarik nafas panjang. “I am a muslim,
Zu. I am proud to be one. And I love all muslims. Apa salahnya kita tolong
orang susah?" Dia tahu dia harus bertenang.
Zulaikha mencebik.
"Dan memang abang berheret kaki dan badan untuk bangun solat. Oleh
kerana solat abang belum betul, Abang solat di masjid. Belajar dari orang lain.
Memang susah sebab tak biasa. Dalam keadaan abang yang baru belajar ni, memang
tengah payah. Syaitan ada di keliling abang, nak perdaya abang jadi macam dulu semula."
Wajah Zulaikha semakin menunjukkan betapa meluatnya dia. Terasa seperti mendengar ceramah agama pula.
Adham tidak peduli. "Tapi, abang wajib untuk lawan. Abang nak Islam menang. Asalkan ALLAH sayang
pada abang. Dan pada Zu juga…” Lembut tutur katanya. Matanya memandang Zulaikha penuh pengharapan.
Mereka terdiam seketika.
MATAHARI pagi semakin meninggi. Cahaya terik tiba-tiba. Namun, panasnya lebih dari biasa. Tiada pula sang bayu pagi yang datang menyapa.
Tidak tahan dengan rasa bahang di muka, Zulaikha
kini duduk di kerusi panjang berdekatan denganku. Menumpang teduh pada bebayang. Dia bersilang kaki. Kasut bertapak
merah menyala menggambarkan cara hidupnya yang up-to-date dan agresif. Kasar lagaknya, tanda protes. Dikeluarkan
kotak hijau dari tas tangan. Sebatang rokok ditarik keluar dan api dihidupkan. Hembusan asap
yang pertama sengaja dihalakan ke arah suaminya.
Adham pula datang menghampiri dan duduk di sebelah. Nampaknya dia masih kekal dalam
sabar. “Semalam, abang dah tempahkan baju kurung yang cantik untuk Zu. Lima pasang
semuanya. Siap dengan tudung. Abang tempah dengan designer yang Zu suka. Abang beli kain yang paling mahal yang dia
ada. Kain yang paling selesa sekali. Tak panas langsung. Minggu depan, semua
baju itu siap. Kita boleh ambil sama-sama.
Kalau
Zu nak ke mana-mana, Zu boleh pakai baju tu. Abang izinkan. Kalau Zu sanggup ambil cuti, kita
boleh pergi Paris. Cari kain rekaan terkini yang Zu suka. Boleh ya?" lembut suara si suami memujuk.
Si isteri diam. Berkerut wajahnya mendengar permintaan itu. Tidak sangka, suaminya berani memulakan langkah pertama untuk dirinya, namun, tanpa dia.
"Sayang pakai baju
kurung dan pakai tudung ya. Tutup aurat. Kasihanlah pada abang. Habis kulit muka dan
badan abang terbakar kalau abang masuk neraka. Abang tak sampai hati, kalau
muka Zu yang cantik licin pun terbakar sama. Boleh ya, sayang?” pujuk
lelaki ini. Semakin lembut suaranya.
“Abang,
api neraka datang kemudian. Sekarang ini dunia. Enjoylah!” tingkah isterinya.
Adham
tersenyum. Panggilan 'abang' oleh isterinya membuat hatinya sedikit tenang. Sudah berbulan dia memujuk Zulaikha. Berbagai alasan yang Zulaikha berikan untuk kekal dengan cara dan gayanya. Malah, dia pandai mengelak kiri dan kanan. Hanya hari ini, Adham berjaya mengikat Zulaikha. Zulaikha mual sejak petang semalam. Sebagai suami, dia menawarkan diri untuk membawa Zulaikha ke klinik. Doktor memaklumkan yang Zulaikha sudah mengandung.
Itu membuatkan Adham sangat bersyukur. Dia berazam untuk memujuk isterinya lebih lagi. Dia mahu anak yang Zulaikha lahirkan menjadi anak yang soleh. Untuk mendapatkan anak yang soleh, ibu dan bapanya dahulu yang harus menjadi hamba ALLAH yang soleh. Itu fikirnya.
Adham mengeluarkan lighter.
“Ini lighter abang. Dah lapan bulan abang
tak gunakan. Sejak abang berhenti merokok. Ingat lagi tak? Zu yang hadiahkan abang
lighter ini,” katanya perlahan, cuba
mengimbas kenangan itu.
Zulaikha mengerutkan dahi lagi. Cuba mendengar apa lagi yang mahu diperkatakan Adham. Sebaik habis batang rokok pertama Zulaikha menyambung yang kedua. Wajah Adham tidak dipandangnya. Dia tahu, Adham tidak setuju!
Adham terus menyambung bicara. “Abang harap Zu tak lupa ini hadiah sempena hari ulangtahun perkenalan kita yang ke
sepuluh. Lama kita bercinta... Tahun itu juga kita kahwin, kan?"
Entah mengapa muka Zulaikha berubah kendur. Tentu dia terkenang kemeriahan majlis pernikahan dan perkahwinannya.
"Abang gembira, tapi rasa itu terlalu
sementara sehingga bila difikirkan semula, tak ada nilai rasanya. Bukan salah
salah perkahwinan kita. Tapi salah kita, lari dari Allah yang
menciptakan kita. Sombong dengan ALLAH yang beri rasa gembira dan bahagia. Fikir baik-baik. Ingat baik-baik. Abang yakin Zu juga
sebenarnya rasa yang sama. Ianya ada jauh di lubuk hati,” kata lelaki itu
panjang lebar.
Tersentuh
perasaanku dan Ati mendengar luahan hati lelaki ini.
Fa-biayyi alaa’i Rabbi kuma tukadzdzi ban.
Benar, apabila rasa itu
hadir, ianya jauh menusuk kalbu. ALLAH dekat dengan kita. Insya-ALLAH.
Namun,
tiada respon setaraf dari wanita bernama Zulaikha.
Dalam diam, aku dan Ati
memerhati lagi.
Adham memandang pada Zulaikha, "Zu, abang
bawa lighter ini ke mana sahaja abang pergi. Sebab, apinya
menggambarkan neraka ALLAH. Panas, Zu! Tak mungkin boleh kita bayangkan. Jika
kita dimasukkan ke sana, satu hari di dalam neraka ibarat 1000 hari di dunia.
Kulit kita akan dibiar terbakar pada masa yang terlalu lama berulang-ulang kali.
Kita akan rasa kepanasannya yang membahang, menghangus dan menghangit. Tapi, kita tidak mati.
Sanggup ke Zu?
Abang
tak sanggup. Abang takut. Abang nak ubah diri abang... Abang ajak Zu sekali untuk
berkongsi usaha berdua. Sebab kita datang dari jalan cerita yang sama.... Kita
lalai, kita tidak mendidik diri... Tapi masih ada masa, jom baiki diri, Zu.
Selagi ada nafas, maksudnya ALLAH masih beri kita peluang, Zu..."
Zulaikha diam tidak berkutik.
"Please... Esok genap setahun abang mulakan
langkah abang. Abang rayu Zu untuk bersama abang. Abang percaya, jika kita
buat bersama, insya-ALLAH lebih
mudah. Abang yakin ALLAH akan permudahkan, syaitan akan kalah kerana kita dalam
ikatan perkahwinan yang sah. Kita suami isteri, apapun yang kita buat bersama,
pahalanya lebih lagi. Percayalah cakap abang, Zu. Insya-ALLAH, ALLAH tolong kita,” rayu Adham lagi. "Kita bakal ada baby. Abang akan jadi daddy. Zu akan jadi mummy!"
WAJAH
wanita muda itu telah hilang kendurnya. Rokoknya, sudah seketika, terbiar di jari
tanpa dihisap. Akhirnya dibaling ke tanah. Ternyata kali ini, ada sesuatu yang
meresap masuk ke jiwanya. Nafasnya ditarik dalam-dalam. “Tapi, Zu tak pandai solat...”
“Abang
ajar, kita panggil ustazah ke rumah,” suaminya menjawab.
"Ada
banyak minuman keras di rumah kita. Zu yang beli sejak abang dah tak minum...” Mula lirih suaranya.
“Abang
tahu. Kita buang sama-sama nanti. Abang tolong buangkan,” kata si suami, sebak
juga.
“Zu
pernah gugurkan baby kita dulu...” sambung
si isteri, mula menangis kini.
“Itu
kita minta ampun dari ALLAH. Abang pun turut bersubahat. Kita bertaubat
sama-sama,” balas si suami.
“Zu
pernah tidur dengan Jason, dua bulan sebelum kita kahwin. Kami mabuk... Maafkan
Zu...” Tangisnya makin kuat.
Adham terus memeluknya. Ya ALLAH, ampuni kami, bisik hatinya penuh sabar.
Berlinangan jua air matanya.
AKU
dan Ati yang
memerhati hanya berdoa agar ALLAH merahmati Adham dan isterinya. Mereka
berusaha untuk berubah. Apabila pasangan suami isteri berubah kembali ke jalan
benar, kalah teruklah syaitan, kerana jika usaha itu berterusan, insya-ALLAH, syurga untuk mereka.
“Abang
tahu, Zu. Jason dah bagi tahu dua hari sebelum kita bernikah. Abang tetap
teruskan perkahwinan kita sebab cinta abang pada Zu. ALLAH yang izinkan ia
berlaku untuk menduga kita. Kita minta ampun sama-sama. Abang akui abang sangat sedih pada waktu itu. Tapi, lihat hikmahNYA,
dengan perkahwinan ini, abang temui ALLAH,” sambung Adham setelah beberapa ketika. Yakin Allah ada.
Yakin sebagai muslim beriman, Allah akan memakbulkan
doanya.
“Zu
banyak dosa, abang!”
”Zu sayang, peperangan kita
baru bermula. Game melawan syaitan
adalah tugas seumur hidup orang Islam. The
game is simple. The tactical is not.....er actually depends on what our level
is. Dia serang, kita lawan. Kalau dia shoot
gol, kita tingkatkan pertahanan dan bangkit untuk lawan. Bertaubat. Cari ilmu
dan amalkan. Kita buat bersama-sama. Insya-ALLAH,”
kata Adham sambil tersenyum memujuk. Isterinya dipeluk kuat. Bau rambut Zulaikha dicium. Baunya
kini sama seperti yang dia inginkan. Bau perubahan. Alhamdulillah.
“ARA!
Sebegitu mudahkah untuk manusia berubah?” tanya Ati memecah kekhusyukkanku memerhatikan
pasangan itu.
Suasana
bahang panas kini nyaman kembali. Mungkinkah bahang tadi datang dari kehadiran
banyak syaitan yang mahu memastikan manusia yang sesat terus sesat dan manusia
yang berusaha ingin berubah, akan lemah jiwa dan mati akal lantas menjadi sesat
semula.
Syaitan kini mungkin pergi sementara kerana kalah dan menghantar
laporan kepada Iblis. Iblis akan menghantar syaitan yang lebih licik untuk
meneruskan usaha penyesatan. Apa jua kelemahan dan kekuatan pasangan ini akan
dianalisa. Ia akan dijadikan penyebab dan hal agar hati jadi panas. Lantas
syaitan akan masuk meresap dan memberi idea yang boleh menghangatkan keadaan.
Yang boleh menaikkan ego sesiapa. Maka peperangan akan bermula. Pertikaman
lidah yang menyakitkan hati, bertukar kepada serangan fizikal dan seterusnya
penceraian berada di ambang kenyataan. Itu visi utama syaitan kepada semua
pasangan suami isteri beragama Islam.
“Ara
tak pasti, Ati. Nampak macam mudah. Hakikatnya mungkin susah. Tapi tak mustahil.
Yang penting istiqamah. Untuk manusia, berubah itu hak ALLAH. Manusia hanya
perlu berusaha. Jika usahanya diterima, Ara
pasti ALLAH akan izinkan perubahan yang diinginkan itu jadi kenyataan.” jawabku
sambil memerhatikan pasangan tadi berjalan perlahan menuju ke kereta Mazda RX8
yang diletakkan di tepi jalan.
“Nampaknya,
macam ramai yang gagal,” sahut Ati lagi.
"Gagal
ada banyak sebab. Mungkin sebab tidak ikhlas untuk berubah. Niat untuk berubah
bukan kerana ALLAH. Sedangkan manusia mesti kekal dalam niat hingga akhir hayat
dan lulus setiap ujian yang diberi. Itulah yang dikatakan jihad…” sambungku sambil
menghayati cuaca yang semakin ceria.
“Jihad,
Ara?” tanya Ati meminta kepastian.
“Ya, Syurga
itu mahal. Dunia adalah tapak ujian. Contohnya, seorang yang suka berbohong. Dia
akan diuji pelbagai macam situasi yang menyebabkan dia berfikir untuk kekal
berbohong, jika dia berjaya melalui situasi tanpa berbohong, dia lulus ujian.
Dan seterusnya, ujian datang lagi dan lagi.
Malah,
ujian itu datang diasbabkan oleh pelbagai sebab. Dari sebab yang dibenci kepada
sebab yang paling disukai. Katalah seorang ibu, sangat sayang kepada anaknya. Maka,
kadangkala anak itu sendiri dijadikan asbab untuk satu-satu situasi berlaku
sebagai ujian bagi ibu tersebut. Berusaha menghadapi ujian adalah satu jihad. Ara
bukanlah pandai sangat. Itu semua hak ALLAH, tapi itu yang Ara faham melalui
kisah cerita mereka yang selalu berkongsi ilmu dengan kita. Jika benar apa yang
Ara faham ini, Alhamdulillah. Jika
tidak, Ara mohon ampun dari ALLAH. Mohon ALLAH tunjukkan Ara, apa yang benar,”
ceritaku panjang lebar.
Ati
hanya mendengar sambil bergerak kanan dan kiri menghayati bayu lembut yang baru dihantar ALLAH.
“Sukar
sebenarnya untuk rakan-rakan kita hadapi cabaran di muka bumi ini, Ara. Dunia
dah akhir zaman. Bukan calang-calang orang yang boleh lulus semua ujian Allah.,”
kata Ati.
“Sebab
itu mereka diberi akal fikiran dan hati untuk hidup di dunia ini. Mereka
khalifah ALLAH. Cuma kadang-kadang mereka terlupa, mereka didatangkan dalam
kumpulan yang ramai. Ramai orang Islam di dunia ini. Jika semua orang Islam
mendoakan untuk orang Islam yang lain, mereka tak perlu takut kepada sesiapa,
hanya kepada ALLAH. Mereka tak perlu bergantung kepada sesiapa, hanya kepada
ALLAH. Insya-Allah, mereka akan
berjaya,” sahutku yakin, menyetujui kata-kata Ati.
Ati tersenyum sahaja.
"Ah!
Ati, mereka adalah manusia, mereka ada akal. Mereka adalah Homo sapiens. Ara pula Ficus sycomorus. Jika
diizinkan Allah, memang Ara akan hidup lama lebih dari kebanyakan manusia. Tapi, Ara hanya boleh memerhatikan mereka,” kataku, tersenyum memerhatikan
Ati.
“Dan
nama Ati, Wrightia religiosa. Ati faham Ara, tujuan
penciptaan kita tidak sama dengan Homo
sapiens. Kita diperintahkan ALLAH hanya untuk bertasbih kepadaNYA.
Tugas mereka lebih berat sebenarnya. Semoga mereka berjaya.,” kata Ati pula.
Aku tersenyum lagi. Memahami yang kami berbeza dari Irfan, Farisha, Adham mahupun Zulaikha. Kami adalah pokok yang tegak merimbun menghiasi taman yang indah. Kami meneduhkan bumi dari panas mentari. Kami juga memayungkan bumi dari rintiknya air yang jatuh menitis dengan izin ILAHI.
ENTAH dari mana awan mendung datang. Hujan renyai sudah mula turun. Menemani
hari Khamis yang menyambut kehadiran Jumaat yang penuh barakah. Semoga seluruh alam mendapat nikmatNNYA. Fa-biayyi alaa’i Rabbi kuma tukadzdzi ban.
Nota Penulis:
[i]Fa-biayyi alaa’i Rabbi kuma tukadzdzi ban bermaksud Maka nikmat
Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan. Surah Ar-Rahman.
[ii] Ficus sycomorus adalah nama saintifik sejenis spesies
tumbuhan yang juga dikenali sebagai pokok Ara atau pokok Zaiton
[iii] Wrightia religiosa adalah nama saintifik sejenis spesies
tumbuhan yang juga dikenali sebagai pokok Melati.
[iv] Homo Sapiens adalah nama saintifik bagi manusia.
4/20/2013 01:25:00 pm |
Category:
Cerpen 1 : Kisah Aku dan Melati
|
2
comments
Comments (2)
Tahniah! Karya maya pertama anda :)
Menarik dan menyentuh hati....