SEORANG gadis berbaju kurung duduk di ruang menunggu
yang sederhana besar. Kepalanya tertunduk merenung hujung kasut tumit tinggi
yang dipakai. Suasana tenang buat dia bagai terkhayal. Sesekali ada pekerja
yang lalu-lalang. Semua tidak menarik perhatiannya. Lima minit pertama sejak
dia sampai, matanya sudah puas memerhati sekeliling. Ruang itu nampak mewah.
Permaidaninya tebal. Perabotnya moden. Bauannya segar. Logo syarikat itu
tertera di mana-mana.
“Cik
Lia Zulaikha!” panggil satu suara.
Pantas
gadis itu memandang keliling. Dia terkejut dari lamunan kerananya. Matanya
tertancap pada seorang wanita berkebaya kuning.
“Encik
Azam dah free sekarang, sila ikut
saya,” jemput Puan Zalina yang berdiri menanti di muka salah satu pintu yang
ada.
Lia
Zulaikha tersenyum. Tawar! Pahit tekaknya tiba-tiba. Dia berdiri. Lututnya
menggeletar. Dada berdebar. Ya ALLAH, bantulah aku, hatinya merintih. Perlahan dia
menuruti Puan Zalina, setiausaha Azamlis Danial. Lelaki yang bakal ditemuinya
buat pertama kali.
MELANGKAH masuk ke bilik yang sangat luas buat hati
gadis itu cuak. Setiausaha si pemilik syarikat, AD Investment Capital yang juga
lebih dikenali dengan singkatan ADICap, memintanya duduk di satu sudut
berdinding kaca. Cantik. Sofa kuning cair yang empuk amat menyelesakan.
Terdapat juga set tv LED 55 inci, nampak mewah. Bauan potpourri, lavender menyegarkan suasana. Pada satu
sudut lain terdapat bar minuman,
sudah tentu bukan untuk minuman keras. Terdapat mesin pembancuh kopi dan peti
sejuk bersaiz mini dengan beberapa gelas dan cawan yang tersusun rapi. Pelik!
Nampaknya lelaki ini gemar menyediakan makan minumnya sendiri, Lia Zulaikha
berfikir sendirian.
Di
sudut bertentangan, terdapat 9 buah monitor dengan pelbagai graf yang terpapar
padanya. Jika diperhatikan dari jauh, seolah-olah itu graf saham atau komoditi
mungkin. Fikir gadis itu lagi.
Inilah
pejabat Azamlis Danial yang terkenal. Seorang pelabur yang bertaraf jutawan dan
turut menulis buku-buku pelaburan. Ini kali pertama Lia Zulaikha bertemu dengannya.
Itupun, setelah temujanji telah ditunda
beberapa kali oleh lelaki ini.
DAUN pintu kayu terbuka tiba-tiba. Seorang lelaki awal 40-an
berjalan masuk sambil memegang kaca mata membacanya. Orangnya sederhana tinggi,
berkemeja lengan pendek dengan jeans
biru. Dia tersenyum memerhatikan tetamunya. “Drink? Tea, coffee or fresh orange?”
Gadis
itu pantas bangun seraya menjawab, “Lia Zulaikha Ismail. I drink warm water.” Memperkenalkan diri sambil meminta minuman?
Bodohnya! Marah dia di dalam hati.
“Okay then, Lia. I am Azamlis Danial. And this
is your warm water,” jawab lelaki itu sambil meletakkan segelas air suam di
atas meja kaca. Dia duduk di sofa kuning. Kaca matanya dilipat dua lantas
dimasukkan ke dalam poket kemejanya.
”Err... panggil saya Zulaikha.” Belum sanggup
untuk gadis ini mendengar mana-mana insan yang belum dia kenal rapat memanggilnya
dengan nama Lia. Lia adalah panggilan manja oleh keluarga sahaja.
“Oh!
Okey, Cik Zulaikha. You can call me
Azam. Saya minta maaf kerana menyebabkan kamu menunggu saya. China mengubah kadar
faedah menyebabkan matawang US naik dan Pound UK turun. Saya kena buat sesuatu
tentang itu.”
Lia
Zulaikha pantas mengangguk walaupun dia tidak tahu hujung pangkal ceritanya.
Yang cuma dia tahu, ekonomi dunia sekarang bukanlah stabil sangat. Hanya
kebanyakan rakyat Malaysia sahaja yang tidak terlalu merasai perubahan itu.
“Apa
yang kamu angguk?” tanya lelaki itu lembut. Tersenyum hingga menyerlahkan gigi
taringnya. Manis!
Si
gadis terpempan. Malunya jadi burung kakak tua! Otaknya berputar ligat. ”Saya
mengaku saya mengangguk saja. Tapi, apa yang saya faham, dagangan China di US,
kalau tak silap saya, beratus billion lah jugak setahun. Perubahan kadar faedah memberi kesan kepada ekonomi US. Jika
matawang US naik, ia menyebabkan pasangan matawang GBP/USD turun. Terutama jika
Pound GBP ketika itu memang lemah atau sederhana sahaja kuatnya dalam pasaran
matawang antarabangsa.” Teragak-agak dalam memperkatakan ilmu kewangan dunia
yang pernah dipelajari ketika di kampus dulu.
“Bijak.
Okay, then... err... Untuk apa kamu
ke sini?” Dia senyum lagi.
Lia
Zulaikha menarik nafas panjang. Inilah detiknya. Detik yang dia tunggu bagai
seribu tahun untuk berlaku. “Firstly,
terima kasih sebab sudi memperuntukkan masa untuk saya.” Dia mendatarkan suara
tanda ingin mendapatkan keyakinan. Sambil itu, dia meletakkan kertas cadangan
di hadapan Azamlis Danial.
Lelaki
itu hanya diam. Tidak berkutik.
“Ini
proposal saya. Saya memiliki dan
menguruskan sebuah kolej swasta di Golden City. PRIMA International College
atau PIC. Saya mewarisinya dari arwah abah saya kira-kira lima bulan lalu. Saya
perlukan investor untuk menyelamatkan
kolej tersebut.” Satu-satu dia menuturkan hasrat hati. Memerhatikan Azamlis
Danial sambil berharap.
“Saya
tak suka operasi menyelamat!”
Tersenyum
tawar gadis ini. Ini sudah dijangkanya. “Saya faham. Tiada siapa yang suka,
Encik Azam. Tapi saya harap Encik Azam teliti dulu proposal saya. Saya ambil masa lebih sebulan untuk menyiapkannya.
Saya sudah masukkan semua data sebenar yang terkini dan apa yang saya fikir
serta rancang untuk selamatkan kolej tu. Saya jemput datang ke kolej sekiranya
Encik Azam dapat visualizekan apa
yang saya cadangkan.”
“Visualizekan?” Nampak terkejut pada
mulanya. “Insya-ALLAH, saya cuba. Tapi, beritahu saya, kenapa ia penting buat
kamu?” Tajam matanya memerhatikan gadis bertudung di hadapannya.
“Ianya
penting sebab semua investors yang
saya jumpa sebelum ini menolak proposal
saya mentah-mentah kerana saya rasa mereka tidak nampak apa yang saya ingin
lakukan.”
Proposal tadi dicapai lelaki itu. “Okey.” Dia
menyelak-nyelak helaian dengan pantas. Tiada reaksi berminat.
Lia
Zulaikha diam menanti.
“Hutang
RM500 ribu?!” Berkerut dahinya apabila meneliti helaian laporan kewangan yang disediakan.
“I have to pay my ex-partner,” balas gadis ini perlahan.
“Siapa?”
“Datuk
Kamaruzzaman Ali,” Pahit rasa apabila terpaksa menyebut nama itu.
Azamlis
Danial diam lagi.
“Datuk
Kamaruzzaman Ali, pemilik Sutera Ilmu College?”
Lia
Zulaikha mengangguk.
“Berapa
jumlah yang kamu perlu?”
“RM
2.5 juta. Secara berperingkat.” Yakin Lia Zulaikha menjawabnya.
“Banyak!
Boleh buka banyak kolej tu... Apa pulangan yang saya dapat?” Matanya bulat bila
Lia Zulaikha menyebut jumlah itu. Sekilas kemudian, dahinya berkerut lagi.
“Saya
bayar Encik Azam semula sebanyak RM 2 juta dalam bentuk tunai dan RM500 ribu
dalam bentuk pegangan saham yang mewakili sebanyak 20%. Pertama, tunai RM 2
juta saya akan mula bayar pada tahun ketiga, dalam tempoh sepuluh tahun,
termasuk interest 18% setahun. Kedua,
Encik Azam akan dapat pulangan tambahan melalui pegangan saham 20% ekuiti saya
akan beri sebaik Encik Azam bersetuju untuk membantu saya,” jawab Lia Zulaikha.
Titik dan senyap.
“Zulaikha...
Pertamanya, saya seorang muslim. And I am
proud to be one. Riba’ adalah haram bagi saya dan seluruh umat Islam.” Perlahan-lahan
perkataan itu dituturkan.
“Oh!
Maafkan saya... Maksud saya pulangan!” Merah mukanya.
“Keduanya,
Zulaikha. Perancangan awak ni terlalu ideal
sampai tak logik. Kenapa ada 75 orang pelajar tapi tak ada kutipan yuran? Belanja
pemasaran rendah sangat. Kenaikan gaji is Z.E.R.O. Impossible! Nisbah students dan
staf akademik macam ada yang tak kena…” bebelnya satu persatu membuatkan otak
gadis itu berputar ligat.
He is so sharp! Kata si gadis dalam hati. “75 orang
tu semua anak yatim. Arwah abah ambil mereka masa dia baru buka kolej ni. Semuanya kami beri percuma. Pasal lecturer, memang hanya itu yang tinggal. Yang lain dah
berhenti. Dan belanja pemasaran pulak, saya gunakan bajet tahun ini.”
“Patutlah akaun you hancur!” Azamlis membalas
dengan tembakan dalam mencari sebab situasi itu berlaku.
Hati Lia Zulaikha menjadi sakit tiba-tiba.
“Encik Azam, buat pengetahuan you,
kami ada 200 orang lagi pelajar diploma tetapi partner kami dah curi pelajar tu masa dia buka kolej baru.” Dapat dia rasakan ketajaman nada
kata-katanya. Itu dilakukan kerana Azamlis Danial seolah-olahnya ingin
menunjukkan bahawa kumpulan kerja PIC tidak cukup komited.
Lelaki
itu kini memandang tajam pada gadis di hadapannya. “Wow, young lady! Don’t get angry. I am just telling you my opinion. Actually
two things that define our success in life. First! The way we manage when we
have nothing. And second! The way we behave when we have everything!”
“Yeah... I know that I
have nothing,” kata
Lia Zulaikha perlahan. Faham dia di mana kedudukannya. Dia bukan sesiapa yang
ada apa-apa pun. Hutang sahaja yang dia ada.
“I
tak maksudkan macam tu... err... well...
kenapa partner curi pelajar you?” tanya
Azamlis Danial sengaja tunjuk minat.
“Personal.”
Lelaki
itu terdiam.
Lia
Zulaikha juga terdiam. Yang ada hanyalah alunan azan Asar yang tiba-tiba
kedengaran melalui PDA kedua-dua mereka. Bersaingan!
Selepas
azan tamat, Lia Zulaikha menyambung bicara. ”Encik Azam, jika you benar-benar
nampak potensinya, apa kata you datang tengok kolej tu sendiri. I really need funding. Seven banks rejected
my proposal. I tak nak jual the
company sebab ini legasi dari abah I. I harap you faham. I dah tak ada
fund lagi. I dah tak ada apa-apa aset
untuk jadi cagaran. I tak ada barang kemas, intan dan berlian untuk digadai
kerana kami dah jual semuanya. I dah buat loan dan cagarkan rumah dan tanah di
mana kami tinggal. Tapi tak cukup… Please...
help me!” kata Lia Zulaika bersungguh dalam rayuan.
“Stop, Cik Zulaikha! ALLAH yang akan dan
sentiasa tolong kamu! Dan perempuan cantik tak perlu emotional…”
Lia
Zulaikha terkasima. Emosi?
“We dismiss now!” kata Azamlis Danial
tiba-tiba.
Itu
tandanya masa Lia Zulaikha sudah tamat. Ya ALLAH, keluh hatinya. Air matanya
bergenang. Dia mengeluarkan business card
dan diletakkan di atas meja seraya berkata, “Terima kasih. Saya memang emotional. Siapa pun yang berada di
tempat saya akan beremosi. Ini soal tanggungjawab. Ini soal maruah. Kolej itu
maruah arwah abah saya…”
Sepi.
Lia
Zulaikha bangun dan bergegas keluar tanpa teragak-agak. Namun, sampai di pintu,
dia berhenti. Dia menoleh sambil berkata, “Saya tetap berharap Encik Azam
pertimbangkan permohonan saya. Terima kasih sekali lagi.” Tajam matanya
memandang Azamlis Danial. Dia lantas membuka pintu dan keluar.
4/24/2013 01:36:00 am |
Category:
Novel 1 : IC - Bab 01
|
0
comments
Comments (0)