DUA minggu Lia Zulaikha menunggu. Tiada khabar berita dari
Azamlis Danial. Apa yang patut dia buat? Perlahan dia klik pada Internet Explorer. Dia klik pada ADICap yang
telah diletakkan di senarai favourite.
Terpampang website syarikat itu. Dia
ke paparan profile peribadi Azamlis
Danial. Tak banyak! Dan tak membantu langsung. Tiba-tiba dia terpandang sesuatu...
Di-Atas Brasserie, The Legend, Kuala Lumpur. Kenapa gambar ini yang dipaparkan?
Mesti ada makna. Dia invest hotel
industry juga ke? Tak mungkin! Gadis itu menggeleng sendirian. Setahu dia,
hotel itu dimiliki oleh pemilik asing. Namun, ringan pula tangannya mendail
nombor restoren.
Dengan
sedikit ilmu perisikan, bingo! Azamlis
Danial ada di situ… Kegembiraan merajai hati Lia Zulaikha. Dia mencapai tas
tangan dan diari lantas keluar dari pejabat.
“Pak
Samad, sediakan kereta. Kita ke The Legend!” katanya di telefon. Sambil turun
ke lobi, dia menghantar teks ringkas ke telefon bimbit mama, Puan Rahamah.
Salam Mama, Lia ke The
Legend. Doakan Lia.
DI DALAM perjalanan, Lia Zulaikha gelisah. Dia
cuba memikirkan strategi ketika bertemu dengan Azamlis Danial nanti. RM 2.5
juta itu satu jumlah yang besar! Dia akui itu... Tapi, itu yang dia perlu. Apa
yang harus dia katakan pada lelaki itu? Haruskah dia memaksa? Haruskah dia
merayu? Haruskah dia memujuk? Atau haruskah dia menangis? Tiada jawapan! Kosong! Kontang!
Sampai
di The Legend, Lia Zulaikha terus ke lobi hotel di tingkat 10, mencari lelaki bernama Azamlis
Danial. Di satu sudut, jelas kelihatan susuk tubuhnya yang sederhana. Duduk dan
tunduk. Berseorangan merenung notebook
yang diletakkan di meja kopi di hadapannya. Perlahan Lia Zulaikha merapati lelaki
itu. Khusyuk. Azamlis Danial tidak sedar kehadirannya.
“Assalamualaikum,
Encik Azam!” sapa Lia Zulaikha. Perlahan dan hormat.
“Waalaikumsalam,”
jawab Azamlis Danial lantas mengangkat muka. Tiada reaksi pada wajahnya.
Rambutnya agak pendek berbanding dua minggu yang lalu.
“Boleh
saya duduk?” Gadis itu memohon. Cuba bersopan sebelum membuka bicara lanjut
tentang keberadaannya di situ.
“Silakan.
Tapi tak boleh lama.”
“Encik
Azam, apa khabar?” tanya gadis itu cuba berbaik. Tas tangannya diletakkan di
sebelah peha kanan. Dia cuba untuk rasa selesa.
“Baik!
Kamu?” soalnya. Matanya sahaja yang bergerak memerhatikan gadis di hadapan.
Namun, seluruh bahasa tubuh yang lain, jelas masih fokus pada apa yang berlaku
di monitor notebooknya.
“Biasa.”
Seorang
pelayan datang mengambil pesanan. Lia Zulaikha menggeleng. “Maaf, saya tak lama
di sini.”
“One drink is okay for you,” saran
Azamlis Danial.
“Kopi
‘O’ ais, please!”
Tiba-tiba,
Azamlis Danial ketawa. Posisi duduknya juga berubah. Dia menyandarkan badannya
perlahan. Dengan jeans dan jersi
Barcelona yang dipakainya, dia nampak agak santai. “Minum kopi ‘O’ ais?! Minum
kat hotel pun nak kopi ‘O’ ais! Suka selamba terjah orang... Emotional... Perempuan!”
Entah
mengapa, hati Lia Zulaikha bagai turut digeletek. Dia pun turut ketawa. “Ha’ahlah!
Buat malu company aje kan?”
Tiba-tiba
tawa Azamlis Danial terhenti. Dia menyambung, “So, you nak apa?”
“Saya
nak kepastian! Encik Azam tak bagi jawapan lagi. Berkenaan proposal saya! Err... Saya dah semak kedudukan matawang. GBP dan
USD dah stabil semula. Negara China tetap macam tu. Lionel Messi masih bermain
untuk Barcelona. Tetapi, saya masih tak tahu apa keputusan Encik Azam... err...
berkenaan PIC.” Kata si gadis berbicara. Memang itu sahaja yang dia mahu.
Jawapan!
“Maafkan
saya. Sehari lepas aaaaa...”
“Lia
Zulaikha. Panggil saya Zulaikha. Cik Zulaikha,” sambung si gadis. Lelaki itu
nampaknya telah melupakan nama Lia Zulaikha.
“Ya!
Ya! Cik Zulaikha... err... saya ke Mekah seminggu lebih untuk buat umrah.” Matanya
kembali fokus pada monitor notebooknya.
“Oh!
Maafkan saya. Saya tidak tahu...” Serba salah. “Ah! Patutnya saya telefon PA
Encik Azam terlebih dahulu.” Banyaknya tembakan. Satupun tak mengena.
“Saya
faham kamu desperate. Kamu jumpa Mr.
Ching di Maybank. Rejected! Jumpa
Encik Ali di CIMB. Rejected! Jumpa
MARA. Rejected!”
“Bukan
itu sahaja! Bank Islam, Public Bank dan Bank Muamalat semuanya rejected. Saya tau saya tak ada networking. Saya tahu saya muda. So what?
Umur tak menentukan kebijaksanaan. Umur juga tak menentukan seseorang itu
pandai atau bodoh, berjaya atau gagal dalam menguruskan perniagaan,” sahut Lia
Zulaikha tiba-tiba. Masih dengan gaya emosinya. Puas hatinya dapat meluahkan
pandangan sinis mereka yang pernah ditemui sebelum ini.
“Memang
benar! Umur bukan faktor kejayaan. Malah, pandai atau bodoh, berjaya atau gagal,
semuanya pinjaman ALLAH. Kamu boleh berjaya dengan beberapa sikap yang kamu
ada. Namun, kemudian kamu mungkin boleh gagal disebabkan sikap yang lain. Maaf
jika apa yang saya kata mengecilkan hati kamu. Kamu run kolej tu macam pusat subsidi. No branding or corporate look. Spy saya kata budak-budak bersepah,
kaunter tak efisyen, library tak
teratur dan 1001 masalah lagi,” katanya perlahan tapi yakin.
Oh!
Dia hantar spy. Maksudnya dia
berminat. Gembira sedikit hati gadis ini. Dengan keyakinan yang ada, “We are improving ourself. Of course, check
and balance is something that we need. Especially from somebody expert. Like
you!”
“How?”
“We have the best
assets.”
“What is that?!”
“Our staff. Hired by my
late father. Loyal and willing to help.”
“Workplace is a place to
work, not for welfare. Not at this moment!” Matanya memerhatikan monitor, tangannya pantas menekan
kekunci. Telinganya mendengar dan wajahnya boleh memberi reaksi.
Multitasking orang tua ni, kata hati Lia Zulaikha.
“Saya tahu. Tapi, mereka sudi beri saya tempoh hingga Mac untuk selamatkan
syarikat ini. Sekarang bulan Disember dan saya cuma ada empat bulan. Mereka
setuju tiada bonus untuk tahun ini, gaji dipotong 35% dan terpaksa mengajar lebih
dari biasa.”
PIC
kini hanya ada 10 orang staf yang berkhidmat untuk 75 orang pelajar. Beban
kerja mereka terlalu besar kerana para pelajar itu datang terdiri dari pelbagai
batch dan kursus.
“Ada
masalah dengan training schedule ke?”
Ternyata Azamlis Danial menangkap kemas maklumat baru yang diperkatakan.
“Ya...
Semasa partner kami sabotaj operasi
kolej, pelajar boikot kelas dan berpiket. Saya kena kawal keadaan dan beri
pelajar cuti dua minggu untuk tenangkan fikiran dan buat keputusan untuk terus
bersama kami atau berhenti pengajian.” Mana mungkin dia lupa kecohnya PIC pada
waktu itu. Staf kolej ramai yang berhenti akibat tertekan dan malu diherdik
pelajar. Barang-barang asrama banyak rosak menjadi tempat pelajar melepaskan
kemarahan. Semuanya gara-gara seorang dua stafnya yang merupakan tali barut
Datuk Kamaruzzaman Ali menyebar fitnah untuk buat pelajar marah.
“Good!” jawab Azamlis Danial. “Itu damage control yang terbaik.”
“Masa
tulah saya hilang 200 orang pelajar…”
Azamlis
Danial mengangguk. Namun, tiada wajah simpati ditunjukkan.
“Macam
nilah… Encik Azam datang kolej dan tengok sendiri. Keadaan dah bertambah baik
sekarang. Saya cuma perlukan modal untuk giatkan pemasaran dan mantapkan
operasi.” Memang itu adalah kenyataan. Pelajar dan staf yang tinggal adalah
mereka yang setia untuk bersama PIC.
Azamlis
Danial menggeleng. “Saya sibuk esok dan lusa. Lepas tu saya akan bercuti ke
Jepun. Nak pergi Disney World. Bawa anak cuti sekolah…”
Lia
Zulaikha menarik nafas panjang. Dia tidak boleh menunggu lagi. “Macamana kalau
Encik Azam ke PIC hari ini?” Sengaja dia mengangkat kening ketika memberi
cadangan. “Kemas barang cepat! Driver
saya tunggu di bawah…”
“Please don’t push me,
Zulaikha,” kata
Azamlis Danial sedikit keras. Kurang senang dia didesak anak muda di hadapan
“You ada driver? Kolej miskin tapi you
ada driver?” Marah dia kerana
maklumat itu tidak diletakkan dalam senarai kakitangan kolej.
“Gaji
saya sekarang RM 3 ribu. Itupun selepas dipotong 50%. Seribu saya bayar untuk driver saya. Dia driver arwah abah. Orang susah. Takkan saya nak berhentikan kerja
dia?”
Azamlis
Danial terdiam.
“Jomlah!
Ikut saya…” Sengaja Lia Zulaikha melemparkan
senyuman untuk memujuk.
Azamlis
Danial mengerut dahi. Geram dengan gadis itu yang buat dia merasa terperangkap
dalam perasaan simpati.
Dengan
pantas, Lia Zulaikha berjalan ke kaunter, membayar minuman mereka dan melangkah
laju ke arah Azamlis Danial semula.
Lelaki
itu sudah menutup monitor notebooknya.
Dia mendongak memerhatikan si gadis dan berkata, “I'm riding…”
Lia
Zulaikha mengangguk. Lega dia kerana Azamlis Danial bersetuju.
“Kita
jumpa 30 minit lagi…”
“30
minit? Mana sempat? I naik keretalah. Jalan jem!” jerit Lia Zulaikha sambil
memerhatikan jam di tangan. Jeritan itu lebih untuk dirinya sendiri.
“Then... you have to
make a move first, right? Go! Now!” kata
Azamlis Danial selamba.
15 MINIT kemudian, di dalam kereta, Lia
Zulaikha menepuk dahi. “ALLAH!”
“Kenapa,
Lia?” tanya Pak Samad. Terkejut melihat perilaku spontan gadis yang nampak
gembira sebaik masuk ke dalam kereta tadi. Berbeza keadaannya yang resah
sepanjang perjalanan pergi.
“Ada
kemungkinan tak orang tu menipu Lia?”
“Siapa?”
tanya Pak Samad.
”Encik
Azam. Azamlis Danial.”
“Kenapa
dia nak menipu? Menipu tu berdosakan... ALLAH murka. Rezeki tertangguh
nantikan...” kata Pak Samad lembut. Menenangkan hati Lia Zulaikha yang
berkocak.
Bukannya
apa, gadis ini bimbang juga. Manalah tahu, Azamlis Danial mungkin sekadar
memberi helah untuk melarikan diri darinya…
SEMUA staf di kampus telah dimaklumkan. Dan
Lia Zulaikha mengharapkan kelancaran minda dan lisan. Mengenangkan kata-kata
Azamlis Danial sebentar tadi menunjukkan dia berminat. Ini mungkin satu-satunya
peluang yang PIC ada. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal
lengan, azam Lia Zulaikha di dalam hati.
Awan
yang mendung direnungnya. Terbayang turutan nombor yang dia terima dari bank
pagi tadi. Ia hanya cukup untuk menampung 30% perbelanjaan PIC pada bulan ini.
Gaji staf? Sewa? Bil Utiliti? Makanan anak-anak yatim? Ya ALLAH! Bantulah aku,
pohonnya.
Sudah
tiga bulan, dia hanya membayar keperluan apa yang patut untuk memastikan
operasi kolej berjalan lancar. Syarikat kini menanggung hutang dan ianya sedang
meningkat pada setiap bulan. Dan keadaan pada bulan Januari nanti pasti lebih
menakutkan. Semalam, dia sudah membuka mulut kepada mama untuk meminjam semua wang
arwah abah. Wang itu sepatutnya digunakan untuk memulakan inisiatif yayasan impian
arwah abah nanti dan dia harus membayarnya semula. Itupun masih belum cukup.
Setelah bertahan sekian lama, hanya jumlah itu yang ada di dalam akaun mereka.
Ianya ibarat titisan air yang terakhir di gurun sahara.
Jika
Azamlis Danial tidak bersetuju, dia tiada pilihan lain selain terpaksa meminjam
dari rakan baik abahnya, Dato’ Hafiq. Argh! Janganlah ianya terjadi. Berbulan dia
bermunajat pada waktu dinihari. Sekitar jam 4.00 pagi. Jika dulu kesihatan abah
menjadi keutamaan. Kini, giliran PIC pula. Ya ALLAH! ENGKAU penentu segala.
Izinkan Ya ALLAH, agar lembut hatinya membantu kami, desis hati Lia Zulaikha
perlahan. Tanpa dijemput, air matanya jatuh bertitisan.
4/24/2013 02:19:00 am |
Category:
Novel 1 : IC - Bab 02
|
0
comments
Comments (0)