SUDAH lima minit gadis ini diam menunggu. Azamlis Danial serius meneliti laporan kewangan PIC bagi bulan Disember. Sengaja lelaki itu mahu menyemaknya biarpun sebenarnya peranannya sebagai pelabur PIC bermula pada bulan Januari.

“Mmm… bajet tak capai ni. Kenapa?” soal Azamlis Danial. Kepalanya masih tunduk meneliti satu-satu apa yang tercatat di dalam laporan 14 muka surat. “Saya cuma mahu tahu sebabnya…”

“Ada kursus jangka masa pendek yang terpaksa kita tunda atas permintaan peserta. Ada juga belanja kecemasan sebab ada lawatan dari kementerian dan beberapa belanja lain yang saya catatkan di mukasurat 11…”

“Mmm… Saya nak akaun yang kemas. Pendapatan hanya boleh dikira bila payment sudah kita terima dalam bank. Terutamanya untuk setahun ini. Kita tak boleh silap. Faham?” tanyanya lembut.

Lia Zulaikha mengangguk.

“Jaga akaun kolej ni mudah aje…”

“Mudah?” soal Lia Zulaikha tersedak. Salah dia juga ingin meneguk air sambil berbincang.

“Ya! Sebab, semua pendapatan diterima ikut semesterkan? Tak kiralah pelajar bayar sendiri atau pinjaman dari mana-mana,” serius dia mengatakannya. “Yang payah adalah jaga kerenah pelajar. Betul tak?”

Lia Zulaikha mengangguk. Matanya tajam memerhatikan lelaki itu. Masih menyelak laporan itu satu per satu.

“Saya faham, tiga bulan ini pertambahan bilangan pelajar mungkin perlahan kerana keputusan SPM belum keluar.”

“Betul! Tapi, kami tetap berusaha juga. Kita cuba ambil pelajar tahun lepas yang tertinggal…” beritahu Lia Zulaikha.

“Oh ya! Saya boleh nampak dalam perancangan ni…” kata Azamlis Danial yang membelek perancangan suku tahun pertama. “Tiga bulan ni, saya nak semua perancangan setahun mesti dah siap. Ambil staf marketing sekarang…”

“Dah saya uruskan. Minggu depan kita akan ada staf baru…” Beritahu Lia Zulaikha. Memang itu yang dipentingkannya.

“Cik Zulaikha, saya dah berpengalaman buka dan tutup kolej. Lebih dari satu kali. Ada kolej saya sendiri. Ada yang saya partner dengan orang lain. Ada juga kolej orang. This is not an easy business. Tapi, kita boleh dapat agak ada harapan atau tak untuk PIC terus hidup. Dalam hal awak, 50%-50%, and I am willing to give a shot.” katanya perlahan-lahan.

Lia Zulaikha mengangguk.

“Semua prosedur kewangan mesti jelas dan saya akan hantar pegawai saya untuk untuk audit akaun PIC tiga bulan sekali. Saya percayakan awak. Tapi, saya perlu bukti untuk meneguhkan lagi kepercayaan saya…”

“Insya-ALLAH, Encik Azam. We already developped the system of collecting fees and monitored it closely. Also, the process of payment to suppliers. Admin saya bekerja keras untuk make sure kita tak over budget dan dapatkan barang yang terbaik.”

“Bagus, berapa sumber income you?” tanya Azamlis Danial.

“Enam. Course fees, registration fee, hostel, photocopy, cafe and bookstore. Course fee 78%, registration fee 5%, hostel 10% and balance is others.” Jawab Lia Zulaikha yakin. Tak mungkin dia lupa nombor-nombor yang terdapat di dalam laporan itu.

Ini adalah kali pertama Lia Zulaikha bertemu dengan Azamlis Danial untuk membentangkan laporan dan seperti diduga, he is very sharp!

Akibatnya, Puan Rahamah lah yang menjadi mangsa malam tadi. Sehingga jam 2.00 pagi, Lia Zulaikha berlatih menghafal angka-angka revenue, kos operasi, kos pentadbiran, kerugian... Bulan lepas, PIC rugi RM 270,000.00. Jika ikut aliran tunai yang disediakan, kerugian PIC sepatutnya hanya RM190,000.00. Dan PIC hanya boleh menggunakan duit Azamlis Danial bermula pada bulan Januari.

Perjumpaan ini adalah lebih kepada membentangkan kedudukan kewangan PIC yang lepas-lepas untuk Azamlis Danial lebih memahami sistem pengawalan kewangan syarikat. Ini juga cara yang terbaik untuk Lia Zulaikha memahami style perbincangan yang diamalkan oleh lelaki di hadapannya. Azamlis Danial bukan seorang yang boleh dianggap cincai! Nampak simple tapi bukan cincai!

“Awak jumpa akauntan kanan saya, Puan Zaharah. Dia akan tolong awak untuk susun semula jadual pembayaran hutang. Biar ringan sikit otak awak!” arah Azamlis Danial. Matanya kini memerhati pula laporan status perlaksanaan perancangan yang telah mereka persetujui bersama. Baru tiga minggu dan Azamlis Danial menganggap perubahan mesti sudah berlaku. Fahamlah Lia Zulaikha kini, bekerja dengan Azamlis Danial mesti pantas, tepat namun ringkas!   

“Well, Cik Zulaikha, kenapa ada denda by SSM RM 7,000.00 dalam admin cost?” tanyanya. PIC menerima surat arahan membayar denda daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Lia Zulaikha sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah itu. “Kita tak settlekan akaun last year, tak buat proper closing dan hantar pada our company secretary.”

“Apa masalahnya?” tanyanya kurang senang.

“Ada banyak rekod pada Datuk Kamaruzzaman yang dia tak nak release. We couldn’t close the account,” jawab Lia Zulaikha berterus terang.

“Siapa company secretary you?” tanyanya.

“Suria Business Management.”

“Boss, Ms Yvonne dari S&S Associates dah sampai,” tiba-tiba suara Puan Zalina kedengaran di interkom yang berada di meja kopi sebelah Azamlis Danial. Hari ini dia hanya memakai baju polo bernombor 6 dan berseluar jeans.

            Good! Minta dia masuk, Zalina,” balas Azamlis. Matanya masih fokus pada laporan tadi.

Tak sampai seminit, Yvonne, Pembantu Undang-undang dari S&S Associates muncul di pintu pejabat Azamlis Danial.

“Ms Yvonne, how are you?” sapa Azamlis mesra. Dia bangun dan sambil menunjukkan tempat untuk Yvonne dari S&S Associates.

“You look handsomelah, Encik Azam,” kata Yvonne. Tersenyum meleret wanita berkaca mata itu sambil meletakkan dokumen yang agak tebal di atas meja.

“Terima kasih. Cek bayaran ada atas meja… Macam awak tahu pula!” jawab Azamlis Danial sambil ketawa mesra.

Yvonne adalah wakil peguam peribadi Azamlis. Lia Zulaikha pernah bertemu dengannya dua minggu lepas untuk menguruskan penubuhan syarikat Karisma Kukuh Sdn. Bhd., syarikat baru milik yang bakal mengambil alih PIC.

“Ah! you ni, Encik Azam. Janganlah buat saya segan depan Cik Lia. Dia kan kawan baru kita…”

“Awak usik tadi ingat saya tak segan ke?” soal Azamlis Danial semula.

Tertawa wanita muda itu. “Sebelum lupa, Miss Suhaili kirim salam. Dia ada kes di mahkamah hari ini…”

“Tak apa. Dokumen apa yang awak bawa?” tanya Azamlis.

“Okay, Boss and also Cik Zulaikha. Ini dokumen berkenaan perjanjian pinjaman berjumlah RM 2.5 juta dan dokumen capital injection for 20% in KKSB. Six times of payment. RM 300,000.00 was released, which is shouldn’t be released without this agreement, ya bos! kata Yvonne sambil ketawa menegur Azamlis.

Azamlis hanya ketawa.

Lia Zulaikha hanya tersenyum. Tidak berkelip mata gadis itu memerhatikan Azamlis Danial. Lelaki itu tidak menunjukkan rasa takut bahawa Lia Zulaikha mungkin menipunya. RM 300,000.00 diserahkan tanpa sebarang perjanjian. Wow? Kuasa ALLAH tiada terhingga.

“I know why this happened...” sambung Yvonne yang juga memberi amaran, “Nanti I beritahu isteri you!”

 Muka Lia Zulaikha merah. Dia tahu usikan itu ada kaitan dengannya.

Azamlis Danial pula ketawa. Sambil memerhatikan Lia Zulaikha, dia menjawab, “I am Muslim, I am proud to be one. And I love to help all my brothers and sisters. Cik Lia Zulaikha is one of my sister. 

Lia Zulaikha bangga mendengar jawapan itu. Dia tertawa juga akhirnya tetapi tidak berani untuk bertentangan mata dengan lelaki yang masih tertawa senang.

Ingat Lia Zulaikha, ada tiga prinsip peribadi wanita solehah. Yang pertama, menundukkan pandangan. Kedua, menjaga kemaluan dan yang terakhir adalah menunjukkan perhiasan hanya untuk suami sahaja. Itu pesan Puan Rahamah berulang-ulang kepadanya. Mana mungkin dia lupa!

“Yvonne, kita sambung perbincangan kita ya…” ajak Azamlis. Dia sudah berhenti ketawa tetapi bibirnya tetap mengulum senyuman. Manis!

“Okey… bayaran seterusnya adalah mengikut bilangan pelajar baru yang mendaftar di PIC,” tenang Yvonne menyambung. “Syarat-syarat lain ada di sini…”

Azamlis Danial diam. Begitu juga Lia Zulaikha. Masing-masing membelek perjanjian tersebut yang bukan kali pertama mereka nampak. Beberapa pembetulan telah dibuat sebelum ini. Ini adalah deraf yang terakhir.

“Bayaran balik hutang RM 2.0 juta macam yang you all setuju cuma no interest at all. Balance RM 500K is the equity of ADICap in KKSB,” sambung Yvonne lagi.

Lia Zulaikha diam dan hanya mendengar.

“Okey ke?” sambung Yvonne mungkin melihat Azamlis Danial dan Lia Zulaikha terdiam.

Azamlis mengangguk. “I’m okay,” jawabnya dan kemudian bertanya, “You?” Dia memandang Lia Zulaikha.

Gadis itu pantas mengangguk.

Part two. Ini dokumen KKSB. Paid-up capital RM 2.5 mil. Akaun bank I akan buka. Signatory as per requested. Semua dokumen adalah dalam sampul surat ini,” kata Yvonne lagi.

Azamlis Danial mengangguk.

“Part three. Agreement penukaran pemilikan Kolej Antarabangsa PRIMA dah siap. Tukar dari RSSB ke KKSB. Both of you kena sign. Sign di tempat yang I tanda ‘x’ yea. Then I nak stamping. You nak guna untuk hantar pada kementerian kan?” tanya Yvonne sambil memandang wajah Lia Zulaikha.

“Ya,” jawab gadis itu.

“Then, kita sign sekarang. You dah bacakan? Ada komen tak?” cadang Azamlis namun tidak lupa menanyakan pendapat rakan perniagaannya berkenaan perjanjian tersebut.

“I dah checked two days ago. Yvonne, you ambil draft 5, kan?” tanya Lia Zulaikha.

Yes, I ambil yang you e-melkan dua hari lepas.”

Then, I boleh sign sekarang,” kata Azamlis Danial sambil membelek PDAnya yang berbunyi sesaat tadi. Dia pantas menekan butang interkom di telefon yang terletak di atas meja kopi di sebelah sofanya. “Zalina, masuk sekejap.”

“Ya, Encik Azam,” sapa Zalina sebaik sahaja masuk ke pejabat Azamlis.

“Duduk sini. Jadi saksi saya. Nak sign agreement ni. Yvonne, you jadi saksi Cik Zulaikha!” arah Azamlis.

“Ha!!! You ni suka-suka aje, Encik Azam. Miss Suhaili said only you and Miss Zulaikha will sign the document. Yang lain dia uruskan,” tegur Yvonne sambil ketawa. Mungkin melihat ketergesaan Azamlis.

“Boss, are you okay?” tanya Zalina.

Adalah satu perkara yang pelik untuk mereka melihat tindakan Azamlis  yang nampak tergesa-gesa. Azamlis terdiam dan dalam keadaan termangu sejenak. Sebenarnya dia agak terganggu dengan maklumat yang dia baru terima sebentar tadi.

“Okey, Zalina. Sorrylah. You can go to your place. Before that, ambilkan air suam untuk I,” arahnya lembut.

Semua yang ada diam ketika Zalina menghidangkan air suam untuk Azamlis Danial. Lia Zulaikha sedar suasana yang sudah berubah. Maka, dia mahu mengembalikan keceriaan tadi. Dia tidak mahu sesiapa berburuk sangka pada lelaki yang banyak membantunya. Walaupun terkadang dia sendiri agak keliru dengan sikap Azamlis. Namun, jasa Azamlis mempercayai dirinya pada saat dia amat memerlukan bantuan, wajar untuk dihormati.

“Err… Encik Azam okeykan? Jom, I belanja lunch. Miss Yvonne dan Puan Zalina, jom join sekali,” ajak Lia Zulaikha. Itu sahaja idea yang terpacul dalam kepala gadis itu pada tika dan saat ini.

Puan Zalina menolak dengan sopan. “I dah makan awal.”

 

SELEPAS semua dokumen yang telah sedia ditandatangani, mereka keluar makan tengahari bersama-sama di Restoren Kuda Laut. Yvonne dan Lia Zulaikha duduk bersebelahan. Manakala, Azamlis duduk di hadapan Yvonne.

“Yvonne, Zulaikha akan bagi you maklumat RSSB Sdn. Bhd. kena denda RM7K sebab tak buat closing akaun tahun lepas. You contact Suhaimi untuk settlekan akaun tu. Bayar denda, clearkan dan plankan untuk tutup company itu ASAP,” arah Azamlis. Masih lagi hal PIC.

Yvonne mengangguk.

Kadangkala Lia Zulaikha tertanya di dalam hati, berapa agaknya caj yang dikenakan S&S Associates kepada Azamlis. Dia nampak dengan jelas betapa mudah dan pantas arahan diterima dan dilaksanakan. Agaknya inilah yang dikatakan duit mampu membeli segalanya? Masa dan priority.

“Maaf, Encik Azam. Siapa Encik Suhaimi?” tanya Lia Zulaikha.

“Suhaimi is my personal accountant. Dia jaga semua yang berkaitan dengan kewangan saya,” jawab Azamlis sambil mengacau perlahan sudu di dalam cawan teh O panasnya.

“Alah... bukan sahaja akaun, Zulaikha. If Encik Azam nak beli property, Encik Suhaimilah yang akan arrange general value searching. You bertuah dapat jumpa Encik Azam...”  bebel Yvonne. “Payah tau nak jumpa. Encik Azam ni low profile!”

Lia Zulaikha mengangguk.

“Ada apa-apa yang you nak update lagi?” tanya Azamlis.

“Setakat hari ni, kami dah dapat 17 orang peserta untuk short courses. Kami ada 2 hari lagi untuk sampai deadline.Jika PIC dapat 20 orang, Encil Azam janji untuk bayar bonus,” gadis itu mengingatkan.

Ya. Ya. Kena bayar. Itu hak mereka dan saya dah janji. Terima kasih, Cik Zulaikha.” Katanya. Lembut tona suaranya dilontarkan.

One more, bila dokumen pemilikan KKSB dah settle, kita kira hutang saya dengan Encik Azam tinggal RM 2.0 juta kan?” soal gadis ini ingin kepastian.

“Ya, Cik Zulaikha...” jawabnya pantas sambil tersenyum.

Lega, kata hati Lia Zulaikha perlahan. Tinggal dua juta!

Belum selesai Lia Zulaikha menghabiskan makanan, Yvonne meminta diri. “Banyak urusan lagi dan bos saya pulak boleh panggil bila-bila masa…”

Tinggal berdua bersama Azamlis Danial buat Lia Zulaikha merasa canggung tiba-tiba. Hilang ceria di wajahnya.

“Cik Zulaikha, hutang dengan Datuk Kamaruzzaman, biarkan dulu. Just make sure team dan PIC tak ada pengaruh dia. Kita tunggu dan lihat. Company secretary akan daftarkan KKSB dengan MOF. You pula sediakan dokumen ke MOHE. Jangan tangguh. I risik-risik di MOHE, Datuk Kamaruzzaman tak kacau KAP di sana,” kata Azamlis serius. Untuk membida kontrak kerajaan, KKSB mesti berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF). Lesen instusi pengajian tinggi PIC pula dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (MOHE).

“KAP?” tanya Lia Zulaikha kurang faham. “Siapa KAP?” Tajam matanya memandang Azamlis.

“Kolej you lah! Dah tukar nama ke?” tembaknya.

“Kolej Antarabangsa PRIMA?!!” Lia Zulaikha ketawa.

KAP? PRIMA International College? PIC? KAP? Tak komersial langsung. KAP? Azamlis memandang tajam ke wajah Lia Zulaikha dan akhirnya gadis itu tertunduk malu.

“Kami panggil PIC!” kata Lia Zulaikha perlahan. Jenuh dia menahan tawa. KAP? Azamlis yang stylo panggil kolej tu KAP. Kalau aku share dengan staf, mesti semua tergelak besar. Bisiknya perlahan di dalam hati.

“Ya lah... KAP tu PIC lah...” kata Azamlis ketawa juga. Terserlah gigi taring manisnya.

“Okay, Encik Azam. Saya rasa cukup setakat ini,” kata Lia Zulaikha keras tiba-tiba suaranya. Dia terlebih sudah, hatinya mengingatkan diri sendiri.

“Okey, jom saya bawa awak ke satu tempat.” Ajaknya bersungguh-sungguh.

“Ke mana?” tanya gadis ini cuak di dalam hati.

“Ikut ajelah...” katanya yakin.

“Saya jenis orang yang tak main ikut aje!” tingkah Lia Zulaikha juga yakin. Terkadang kurang selesa dengan cara Azamlis Danial bila memaksa. Hendak dibantah, dia bos! getus hati Lia Zulaikha sendirian.

“Habis, yang you jumpa I, main minta-minta duit tu apa?” tanya Azamlis menidakkan prinsip Lia Zulaikha.

Kecil hati! “Saya pinjam, kan? Kalau Encik Azam di tempat saya, Encik Azam buat apa?” tembak Lia Zulaikha. Biar! Tak sangka pula mulut dia boleh tahan laser.

“Okeylah... Jom ikut saya, nanti lambat. Jalan kaki sahaja. Naik Lif ke tingkat 6,” katanya beria-ia. Buat tidak kisah yang Lia Zulaikha terasa dengan kata-katanya. Memang hati batu!

“Okey. Sekejap sahaja. Saya tak solat lagi,” kata Lia Zulaikha. Solat adalah amanah ALLAH untuk setiap hambaNYA. Di PIC, ustaz menggalakkan mereka bersolat jamaah pada setiap waktu Zuhur.

Azamlis Danial hanya tersenyum. Lia Zulaikha menurutinya. Mereka berjalan beriringan di hadapan Menara AD yang setinggi 15 tingkat di tengah Bandaraya Kuala Lumpur ini. Lif yang mereka naiki berhenti beberapa kali dan setiap yang masuk itu memberi salam kepada Azamlis. Dia menjawab dengan suara yang perlahan dan mendalam. Semua orang kenal dia ke? tanya hati Lia Zulaikha sendirian.

Keluar sahaja dari lif di tingkat 6, dia terkejut melihat signage yang besar dan cantik tertulis. Surau Al-Hidayah. Azamlis Danial memandang ke arah gadis itu.

Sorry, kata Lia Zulaikha perlahan. Dia memang malu. Kali ini dia malu yang benar-benar malu. Pada saat dia bertegas kononnya hanya dia yang mengingati hutang amanahnya kepada ALLAH, rupanya Azamlis Danial juga begitu. Apakah aku telah cuba menghakimi orang lain? Masya-ALLAH, besarnya dosa aku. Sedangkan ALLAH tidak memandang warna kulit atau corak rambut setiap makhluk ciptaanNYA. ALLAH hanya menghakimi makhlukNya melalui ketaqwaan. Ketaqwaan, Lia Zulaikha binti Haji Ismail! Marah Lia Zulaikha sendiri di dalam hati.

“Jom!” ajak Azamlis Danial menutupi rasa kebersalahan Lia Zulaikha.

Lia Zulaikha menuruti Azalis Danial kali ini. Dalam diam dia cuba menduga hati lelaki itu.

Azamlis Danial membawa gadis itu ke satu sudut di luar surau tersebut. Kelihatan ada ruangan pejabat tertulis ‘Pejabat Pengurusan Surau Al-Hidayah’. Dari luar pejabat itu sesiapa sahaja boleh nampak, seorang lelaki bersongkok hitam dan seorang wanita bertudung labuh di dalamnya yang sedang sibuk melakukan sesuatu di meja masing-masing.

Azamlis mengetuk pintu dan membukanya. “Assalamualaikum!”

“Waalaikumsalam,” jawab mereka bersaing. Pegawai lelaki tersenyum sambil bangun bersalam dengan Azamlis dan kemudian berpelukan erat.

Lia Zulaikha hanya memerhatikan.

“Ustaz dan Ustazah, Ini rakan kongsi saya yang baru. Lia Zulaikha. Ustaz Zaidi dan Ustazah Maisarah. Mereka bertugas di sini,” kata Azamlis Danial.

Lia Zulaikha tersenyum menghulurkan tangan kepada Ustazah Maisarah. “Apa khabar?”

“ALHAMDULILLAH! Baik. Jemput duduk,” balas Ustazah Maisarah lembut suaranya.

“Maafkan saya, Ustazah. Saya masih belum solat Zuhur,” kata Lia Zulaikha berterus terang.

“Oh! Mari saya tunjukkan tempat solat Muslimah.”

“Surau baru ke?” tanya Lia Zulaikha. Gembira dia melihat keadaan sekitar yang bersih, berbau wangi dan kemas. Tidak seperti, maaf cakap, kebanyakan surau yang dia pernah singgah.

“Sudah tiga tahun. Encik Azam yang taja penubuhan surau ini. Saya dan suami bekerja di sini sejak mula ditubuhkan. Solat Jumaat boleh didirikan di sini. Kami juga menganjurkan kuliah pada waktu Asar. Kelas mengaji untuk dewasa dan kelas kajian tafsir Al-Quran. Alhamdulillah, bangunan ini ada 15 tingkat dan kesemuanya adalah ruangan pejabat. Begitu juga dengan bangunan di sebelah kiri dan kanan. Memandangkan masjid agak jauh, kami ikhtiarkan untuk mendapatkan kelulusan JAIWP untuk mendirikan solat di sini.”

“Alhamdulillah, jemaah penuh. Dapat pula kutipan derma yang banyak setiap minggu, boleh panggil khatib jemputan dari luar. Bulan Ramadhan lagi meriah. Percaya tak? Solat Maghrib, buka puasa dan Tarawikh hampir penuh saf. Area sini jem, so dari stuck tak tentu hala, kita berbuka puasa di sini sahaja. Okey, ini ruangan untuk ambil wudhu’ dan tempat muslimah solat,”  katanya panjang lebar sambil tersenyum begitu gembira dengan apa yang dilakukan kini.

MASYA-ALLAH! Azamlis Danial... Apa lagi rahsiamu? Patutlah RM 2.5 juta tidak menjadi kudis bagimu! Bagai mencarik rahsia hamba ALLAH, bisik hati Lia Zulaikha. Dia merasa terharu dalam minda yang bercelaru.

Comments (3)

On 14 September 2013 at 08:07 , juridah said...

Next n3? Best citer ni

 
On 28 January 2014 at 21:09 , Unknown said...

Saya sedang usahakan, Juridah. Ruangan ini memang mencabar kebiasaan saya. Saya suka menulis hingga tamat baru publish di mana-mana, atau print lalu failkan untuk simpanan sendiri. Ini on going project, moga tidak terlalu slow untuk tahun 2014 ini...

 
On 15 February 2014 at 03:07 , juridah said...

Oo lega saya. Cerita best..ada kelainan..watak azamlis yg agak misteri dan lia yg matang.