JAM berdeting dua kali menunjukkan sudah pukul 2.00 pagi. Lia Zulaikha masih khusyuk bekerja di bilik bacaannya. Udara luar yang sejuk menerkam masuk melalui tingkap yang terbuka. TV yang terpasang tidak menarik perhatian. Hanya sekadar peneman sunyi. Saluran Diva 702 nampaknya tidak menyiarkan cerita yang diminati.

Satu jam lepas dia baru selesai menyediakan proposal untuk projek baru PIC. Sebelum itu, dia merangka aktiviti pemasaran untuk tiga bulan akan datang. Semuanya dilakukan sendiri kerana pengambilan pekerja baru hanya akan bermula pertengahan bulan depan. Kini, dia khusyuk membelek diari kerjanya pula. Esok, dia akan mengadakan mesyuarat pembangunan jabatan kemahiran. Banyak perkara harus dirancangkan secara teliti. Dia tidak mahu tersilap fokus. Sebagaimana yang tercatat di dalam memo, Azamlis Danial akan memantau segala apa yang dibuat gadis ini di PIC.

Bukan niat lelaki itu untuk menjadi ‘king control’. Mungkin dia melihat usia Lia Zulaikha yang masih muda. Sudah jadi CEO? Ya, usianya muda sangat… Mungkin juga dia cuak dengan pengalaman kerja Zulaikha. Sudah jadi CEO? Ya! Tapi, pengalaman kerjanya sedikit sangat… Apa-apa pun, arahan itu cukup untuk buat Lia Zulaikha senang hati. Tidak tahu mengapa. Mungkin dia kini merasakan Azamlis Danial sentiasa ada untuk dia merujuk apa-apa hal pun tentang apa-apa pun.

Tiba-tiba Lia Zulaikha teringatkan surat yang diterima hari ini. Dia membuka laci dan mengeluarkan sepucuk surat dari UM. Dia sebenarnya baru sahaja mendapatkan kelulusan untuk menangguh pengajian di peringkat sarjana. Tujuannya adalah untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada operasi syarikat sehingga situasi berada dalam keadaan lebih stabil.

Sasaran dalam kehidupannya nampaknya terpaksa diubah. Kini, dia menyelak pula diari peribadi dan membeleknya dengan teliti. Dapat diimbas kembali kehidupannya yang penuh duka sepanjang tahun.  Tahun ini, dia kehilangan abah. Tahun ini juga dia menambah hutang sebanyak RM 2.5 juta. Banyaknya!

Namun apabila meneliti nota-nota yang pernah dicatatnya, dia dapat menghidu bau kegembiraan kerana Iman akan pulang ke Malaysia. Mungkin pada tahun hadapan. Iman Hakimi adalah sahabatnya sejak kecil yang sedang menyambung pelajarannya di peringkat ijazah kedoktoran di Technical University of Kaiserslautern. Ah! Mengapa mesti aku terlalu gembira. Sedangkan sudah enam bulan Iman tidak mengutus sebarang berita, bisik hati Lia Zulaikha tiba-tiba.

Lelaki itu seolah-olah menyepikan diri sejak berita kepulangan Prof. Dr. Haji Ismail ke Rahmatullah die-mailkan kepadanya. Balasannya adalah terlalu pendek. Dia simpati atas kehilangan Lia Zulaikha dan berdoa agar  semuanya okey. Okey??! Dia tahu Iman sedang sibuk menyiapkan projek major untuk menyokong tesisnya di dalam bidang kejuruteraan. Lia Zulaikha menghormati jika itu yang Iman pentingkan. Sebagaimana Iman menghormatinya ketika dia menunda cinta. Dua kali! Ya, Lia Zulaikha telah menunda cinta Iman Hakimi sebanyak dua kali.

Kali pertama, kerana gadis itu belum bersedia. Kali kedua adalah kerana dia ingin membantu abahnya. Lia Zulaikha akui sejak itu, terkadang bagai ada sesuatu yang menjadi tembok antara mereka. Ia menjadikan hangatnya kegembiraan persahabatan makin mendingin. Sedingin angin Bandar Kaiserslautern ketika Lia Zulaikha mengunjunginya hampir dua tahun lepas, yang kemudiannya hilang di dalam kehangatan persahabatan mereka.

 

“LIA, Iman happy sangat Lia sudi datang ke sini ikut papa dan mama Iman. Selain rindukan masakan sambal tumis ikan bilis mama, Iman rindukan borak-borak dengan Lia,” kata Iman Hakimi perlahan. Satu-satu dilafazkan ketika mereka sama-sama menelusuri Bandar Kaiserslautern yang juga dikenali sebagai K-City oleh askar Amerika yang berpangkalan di situ.

Lia Zulaikha baru sahaja tamat peperiksaan semesternya ketika papa Iman, Dato’ Hafiq dan mama Iman, Datin Rosmah amat beriya-iya mengajaknya melawat Iman. Tanpa Lia Zulaikha sangka, ibubapa Iman berpakat dengan ibubapanya untuk memastikan Lia Zulaikha ikut serta dalam percutian mereka. Puan Rahamah berkata, tengok negara orang! Asal jangan buat perkara berdosa, mama izinkan.

Akhirnya, di sinilah Lia Zulaikha berada bersama Iman Hakimi. Mereka berdua keluar berjalan kaki untuk pergi membeli sedikit barang dapur di pasar segar di Stiftsplatz. Ada pelbagai makanan segar di situ. Dia turut membeli sekilo anggur merah. Murah! Mama Iman akan memasak rendang ayam malam ini. Ayam halal yang Iman pesan semalam, telah sampai di kedai seorang Muslim dari Pakistan.

Sambil tersenyum, Lia Zulaikha menjawab, “Alhamdulillah. ALLAH yang aturkan pertemuan kita dan ucap terima kasih juga pada mama dan papa Iman. Mereka yang usahakan untuk Lia ikut.”

Iman hanya tersenyum. “Exam okey?”

“Insya-ALLAH. Semoga ALLAH mempermudahkan pemeriksa Lia untuk memahami jawapan Lia dan beri markah seadil-adilnya.”

“Kalau Iman, Iman doa supaya pemeriksa Iman beri markah setinggi mungkin,” kata Iman.

“Lia mengaku, dulu Lia doa macam tu juga. Tapi, sekarang Lia hanya ingin yang terbaik dari ALLAH. ALLAH Maha Adil, Iman. Lia lebih suka mendapat penilaian yang adil supaya Lia tahu kedudukan Lia yang sebenarnya. Namun, jika ALLAH menganugerahkan lebih, Lia tetap terima. Semoga Lia tak lupa diri.”

“Berapa PNGK Lia?” tanya Iman.

Lia Zulaikha ketawa saat itu. “Alhamdulillah! 3.95. Alhamdulillah!”

“Subhanallah! Pandainya anak mama. Minat nak further study tak?”

Pantas dia mengangguk. “Insya-ALLAH. Lia nak belajar setinggi mungkin,” sahut Lia Zulaikha bersemangat.

“Mohonlah Skim Latihan Akademik! Iman ada kenalan di kementerian. Iman arrangekan. Nak tak?” tanya Iman.

No! No! No, Iman! Please. Let me plan my life okay!

“Tak salahkan kalau Iman tolong?” tanya Iman tidak mengerti.

“Tak. Alhamdulillah, syukur ada orang nak tolong,” jawab Lia Zulaikha. Bimbang pula Iman kecil hati.

Iman mengerling pada gadis di sebelahnya. “Atau Lia takut ada orang marah?”

Si manis terkejut. “Siapa? Mama?”

“Mama Lia kan mama Iman juga. Takkan dia nak marah. Orang lain la...” sambungnya.

“Iman, siapalah yang nak marah? Iman kawan baik Lia. Tak salah untuk tolong. Cuma... belum masanya.” Ada banyak perkara yang Lia Zulaikha fikirkan waktu itu. 

“Ah! Kalau macam tu, tak salahkan untuk Iman menyimpan hasrat untuk menjadi pelindung Lia di dunia ini, jika diizinkan ALLAH?” tanya Iman. Perlahan dia cuba memancing perasaan. Memang itulah tujuan dia mahu Lia Zulaikha datang bersama ibubapanya. Dia ingin memulakan langkah pertama untuk memiliki hati gadis pujaannya.

Lia Zulaikha ketawa. Pelik dengan Iman yang entah apa-apa baginya ketika itu. “Iman, masa Lia umur enam tahun, jatuh di jalan raya, lutut luka, siapa yang ALLAH izinkan untuk lap luka Lia dengan saputangan warna biru?” Sengaja dia menyoal.

“Iman!” Pantas juga lelaki ini menjawab.

“Masa Lia darjah tiga, Lia main lari-lari di koridor sekolah then terlanggar fire extinguisher, dahi benjol, menangis sakan, siapa budak darjah enam yang ALLAH izinkan pujuk Lia, sampai mama Lia datang?”

“Iman juga…” Nadanya sudah mula berlagak hero.

“Siapa yang ALLAH izinkan hantar Lia mendaftar di Matrikulasi USM di Bukit Mertajam sebab abah dan mama pergi Haji? Iman. Cukup tak?” soal Lia Zulaikha yang kini tertawa kecil.

“Cukup apa?” tanya Iman. Buat-buat tak fahamlah pulak.

“Bukti! Kalau tak, Lia panggil CSI,” jawab Lia Zulaikha selamba. Geram.   

“Cukup! Cukup!” Wajah Iman tersenyum dan kemudian serius semula. “Jika ALLAH izinkan, sudikah Lia terima Iman sebagai pelindung Lia di dunia ini sampai bila-bila?”

Kali ini Lia Zulaikha terkejut. “Sampai bila-bila? Pelindung apa?” Dia kepelikan. Ditambah pula dengan dadanya yang berdebar-debar tiba-tiba.

“Pelindung Lia dari pandangan dosa. Pelindung Lia dari fitnah. Pelindung Lia dari kesepian. Dan segala-galanya, jika diizinkan ALLAH.”

Langkah laju Lia Zulaikha terhenti. Dia terdiam.

“Lia...” panggil Iman perlahan.

Panggilan itu menyedarkan gadis ini dari diam yang panjang. Otaknya berputar ligat. Lelaki di sisinya rupanya meminta cinta.

“Lia tak perlu jawab sekarang. Fikirkan sebaiknya. Sebagaimana Lia membuat keputusan untuk pergi further study ke USM, rather than UM untuk bersama Iman, mesti ada hikmahNYA,” kata Iman perlahan.

Dan Lia Zulaikha terus terdiam dalam kebanyakan masa sepanjang percutian. Dua minggu itu, dia rasa terlalu lama dan menyeksakan. Samada dia terlalu banyak berfikir atau tidak tahu hendak berfikir apa. Setiap malam dia bersolat istikharah untuk membantunya mendapatkan jawapan. Masih tiada petunjuk.

Di dalam keretapi elektrik dari Bandar Kaiserslautern ke Bandar Frankfurt, di mana Lapangan Terbang Antarabangsa Jerman berada, Lia Zulaikha duduk saling berdepan dengan seorang wanita bertudung sama sepertinya. Sekilas diperhatikan suami wanita itu, lelaki berkulit sederhana cerah dan berjambang nipis. Pasangan muda ini memiliki iras persis orang Melayu. Gerak tangan dan pandangan mata mereka ketika berbicara amat romantis sekali. Sekilas pula Lia Zulaikha mengerling Iman Hakimi yang duduk di sisinya. Lelaki itu khusyuk membaca. Adakah aku dan Iman juga bisa begitu? Tanya hati gadis ini sendirian.

Dan pada detik pertemuan mereka yang terakhir bagi percutian itu, Lia Zulaikha mengambil ruang untuk menitip pesanan, “Iman, Lia amat menghargai Iman dalam hidup Lia. Lia memang sayang pada Iman. Itu rasa yang ALLAH pinjamkan pada Lia. Tapi, izinkan hubungan yang Iman harapkan itu ditundakan sehingga Lia bersedia, supaya pada tika dan detik itu, Lia dapat mendambakan diri Lia kepada ALLAH dan Iman dan Lia mendapat pahala untuknya.” Yakin. Perlahan. Penuh dengan harapan untuk difahami.

Iman tersenyum. Dia mengangguk.

“Kalau begitu, izinkan Iman merinduimu ibarat bakal kekasih?” kata Iman meminta izin. Dia bagai merasakan Lia Zulaikha bersetuju sebenarnya. Hanya memerlukan waktu!

Permintaan apakah itu Iman? desis hati gadis ini. “Hati-hati, Iman. Lia tak rela menjadi sumber dosa buatmu.”

“Iman faham. Selamat bertolak pulang ke tanah air, Lia. Satu sahaja pinta Iman, maklumkan Iman, sekiranya ada hamba ALLAH yang lain, yang tiba-tiba Lia rasa lebih layak untuk Lia berbanding Iman. Supaya Iman tahu mana letaknya diri ini,” sambung Iman Hakimi.

Dan lelaki itu ditinggalkan dalam keadaan yang Lia Zulaikha harap, ALLAH beri dia kekuatan sebagaimana ALLAH suntikan keberanian dalam diri ini untuk menunda cinta.

 

MENUNDA cinta? Bukankah jawapannya hanyalah antara ya atau tidak. Ya, Lia Zulaikha terpaksa menunda cinta itu. Dua kali. Pertama untuk diri sendiri. Kedua untuk abah. Alhamdulillah, kedua-duanya kerana ALLAH.

Masih gadis ini ingat. Semasa abah baru meninggal dunia, terbentuk ruangan kosong yang sukar ditafsir di dalam hidupnya. Pada waktu itu, acapkali wajah Iman Hakimi muncul di benaknya. Gadis ini berfikir-fikir. Bagaimana pula dengan Iman? Adakah ALLAH masih meminjamkan rasa cintaNYA untuk Iman buatnya? Jika ya, adakah ALLAH masih meminjamkan sifat keberaniaanNYA untuk Iman berani mengulangi hasrat hati kepadanya? Untuk kali ketiga pula. Mungkinkah datang peluang itu?

Sebenarnya, Lia Zulaikha amat terkejut dengan permintaan Iman yang satu itu. Ini kerana selama 21 tahun mereka berkawan baik, Iman dianggap seperti abang. Abang yang amat disayangi. Terlalu sayang sehingga jiwa sejuk mengenangnya. Adakah benar, cinta itu benar? Atau, adakah benar itu cinta yang sebenar? Apakah hikmah Lia Zulaikha menolak cinta Iman Hakimi yang pertama dulu? Bagaimana pula untuk kali kedua? Hingga kini soalan itu kerap menerjah ke kepalanya.

 

Notebook Lia Zulaikha berbunyi, Ah! Ada email yang masuk. Siapa ni? Dia tertanya-tanya.

danial@adicap.com? Azamlis Danial? Lia Zulaikha lebih tertanya-tanya. Mahu apakah lelaki itu pada jam 3.00 pagi?

Salam, Cik Lia Zulaikha. You are expected to submit the progress updates by 7th January at 4.00 pm. Thanks. AD.

Masya-ALLAH, masih tak tidur umat Muhammad yang seorang ini.

Comments (0)