PERCUTIAN INI, adalah perancangan Syafiza untuk mereka.
Dia memiliki bucket list yang
tersendiri. Dan sudah pasti sebagai suami, Azamlis Danial bertanggungjawab
sedaya upaya memenuhinya.
“Yang,
abang rasa kita kena tambah lagi beberapa harilah. Kalau Disneyland pun kena ambil masa 2 hari, itupun dah habis laju. DisneySea dan tempat shopping masih banyak lagi belum pergi.
Teater pun abang teringin nak tengok. Macam best aje!” kata Azamlis Danial.
“Semua
pun memang best, abah,” kata Irfan.
Nampak excited. Namun si bapa tahu,
fokus Irfan bukan pada teater tetapi di DisneySea.
Mereka tinggal di Tokyo Disneyland Hotel,
salah sebuah hotel yang berada di Tokyo Disneyland. Memang agak mahal tetapi
lokasinya strategik. Mereka juga boleh pergi balik antara Disneyland dan hotel
ini pada bila-bila masa dengan bas yang disediakan. Tiket masuk yang dipanggil passport adalah untuk dua hari. Harganya
sekitar Yen 10,000.00 seorang.
“Esok
kita tak boleh lama-lama di Toontown ya, Irfan.” Mawarni mengingatkan Irfan.
Keasyikan Irfan dengan dunia kartunnya menyebabkan mereka terlepas beberapa
acara besar di Disneyland pada hari
ini.
“Okey!
Irfan nak beli hadiah untuk Mummy Iza. Mama temankan Irfan pilih ya esok!”
Mawarni
mengangguk sambil tersenyum.
INI kali kedua mereka ke Jepun. Kali pertama mereka bercuti
semasa musim bunga setahun lepas. Iaitu pada akhir bulan Mac. Percutian itu
adalah hadiah Azamlis Danial buat Mawarni kerana keinginannya yang amat sangat
untuk melihat rimbunan bunga sakura atau cherry
blossom, bunga terkenal di Jepun sehingga berbagai festival besar-besaran
diadakan.
Kenapa?
Kerana bunga sakura hanya kembang mekar cantik selama 10 hari sahaja bergantung
kepada jenis pokok dan cuaca. Takkan mereka
lupa keindahan Ueno Koen dan Sumida Koen pada waktu itu. Di taman-taman
tersebut terdapat lebih 1000 pokok bunga sakura yang memutik, mengeluarkan
bunga, berkembang cantik dan gugur pada waktu yang hampir sama. Terdapat
sekitar 400 spesis sakura di Jepun.
Di
Tokyo, kebanyakan sakura berwarna putih namun ada juga yang berwarna merah
jambu lembut. Warna sakura di Gunung Fuji adalah lebih terang merahnya
berbanding di Tokyo. Faktor cuaca mungkin memainkan peranan. Kuasa ALLAH yang
wajib dikagumi.
Percutian
kali ini, sengaja mereka pilih pada penghujung musim sejuk. Kepingan salji yang
turun adalah amat sedikit. Namun, suhunya sekitar 12 darjah Celsius menyebabkan
mereka anak beranak terpaksa memakai baju sejuk lengkap bertopi. Jika ikut
sejarah, salji yang paling banyak turun adalah pada tahun 1994. Pada waktu itu,
semua sistem pengangkutan tergendala kerananya.
Malam
itu, mereka tidur awal selepas makan beberapa bungkus mee segera yang
disediakan oleh Mawarni. Esok perjalanan adalah lebih mencabar, ada tiga lagi
taman tema di Disneyland untuk diterokai,
Toontown, Fantasyland and Tomorrowland. Laratkah aku? Kerana anak, Insya-ALLAH
aku mampu, berfikir-fikir sendirian Azamlis Danial di dalam diri.
Dan
kemudian lelaki ini bermimpi. Gadis Jepun berfesyen pelik ketawa menggoda di sekelilingnya.
Ada yang berbibir biru. Ada yang bermata hijau. Rambut pelbagai warna. Dan,
wajah Syafiza tiba-tiba muncul tersenyum dan memberi salam. Terkejut Azamlis
Danial. Ah! Dah pukul 5 pagi, isterinya Mawarni sudah bangun bertahajud. Inilah
kelebihan Mawarni. Tak pernah meninggalkan solat kegemaran Rasulullah SAW &
para sahabat. Walau ketika mereka ke Tanah Haram mahupun bumi Jawa. Dan kini ke
padang Samurai, solat Tahajud tetap dilakukan. Azamlis Danial bangun untuk
menurutinya. Ingin merasai kasih sayang ALLAH dengan lebih dekat. Terima kasih,
ALLAH. Terima kasih, Mawarni. Terima kasih, Syafiza.
4/24/2013 07:47:00 am |
Category:
Novel 1 : IC - Bab 06
|
0
comments
Comments (0)