AZAMLIS DANIAL masih terbayang keriuhan jeritan
pengunjung Tokyo Disneyland. Namun
dalam keriuhan tersebut, dia tetap terbayangkan Syafiza. Lega rasanya dapat
duduk meluruskan pinggang di atas kerusi empuk di bilik penginapan. Dia
memandang anaknya Irfan Helmi yang leka membelek permainan yang baru dibeli
sebentar tadi. Isterinya, Mawarni pula sibuk membelek brochure percutian mereka. Dalam percutian seperti ini, Irfan
merupakan insan yang paling gembira. Mana tidaknya. Fokus abah dan mamanya
tertumpu kepada dia seorang. Berusia 8 tahun, Irfan anak yang matang. Mungkin
dia mewarisinya dari mamanya. Apa agaknya yang diwarisi dari aku? Soalan itu
selalu membuatkan Azamlis Danial tersenyum sendiri. Mungkin dia akan menemui
jawapannya suatu hari nanti.
Ini
adalah dunia Azamlis Danial. Setelah bersusah payah memerah otak, mencari
jawapan kepada pelaburan kewangan antarabangsa. ALHAMDULILLAH, akhirnya dia
berjaya mendapat kunci itu. Kunci yang dicari oleh semua orang yang mempunyai
matlamat sepertinya. Apabila melihat baki akaun menokok dari tiga kepada empat
angka. Dari empat kepada lima angka. Dan seterusnya hingga ke tujuh angka. Kemudian
ke lapan angka dan seterusnya, dugaan ALLAH itu adalah lebih halus untuk
difahami. Pengertian kehidupan menjadi lebih kompleks.
Dalam
kegigihan berusaha dalam waspada, Azamlis Danial menghargai setiap detik
pengalaman dalam memahami diri dan alam serta PENCIPTAnya. Rezeki yang melimpah
ruah ini terus disyukuri. Semoga dia juga berpegang pada setiap janji yang
pernah dilafazkan semasa dalam perjalanan sukar.
Sepanjang
tempoh tersebut juga, Azamlis Danial tak mungkin melupakan pengorbanan dan doa
ibunya, isteri-isterinya, Mawarni dan Syafiza, anaknya Irfan Helmi. Maklumlah,
dalam keghairahan itu, dia kadang-kadang menjadi bukan dirinya. Betapa sukarnya
mengekalkan jati diri dalam saat suka dan sukar. Kata-kata Syafiza masih jelas
terngiang-ngiang di telinga.
“Abang,
Iza rasa, setiap kali ALLAH memberikan sesuatu dalam hidup kita, ia akan didatangkan dengan dua perkara.
Sekiranya perkara baik dan menyeronokkan, pertama, kita akan gembira kerana ia adalah
anugerah ALLAH. Dan keduanya ia merupakan ujian ALLAH kepada kita. Adakah kita
bersyukur? Adakah kita menghargainya? Berkongsinya dengan yang hak.
Dan
sekiranya yang datang itu adalah perkara yang tidak baik dan menyusahkan,
pertama, kita akan bersedih kerana ia ibarat hukuman. Dan keduanya ia juga
merupakan ujian ALLAH kepada kita. Adakah kita redha dengan apa yang kita
hadapi? Adakah kita bermohon lebih lagi kepada ALLAH supaya semuanya selesai.
Nampak tak? Kalau seseorang itu lulus ujian, dia akan naik tahap dan Insya-ALLAH,
ALLAH akan beri lagi sesuatu yang lain. What
do you think?”
Ketika
itu, mereka sedang berdiri di bawah pokok ketapang, menunggu enjin kereta
dipanaskan sebelum bertolak ke tempat kerja. Menjadi hobi mereka untuk
mengkagumi Vila Impiana sebagai tanda bahawa mereka amat
disayangi ALLAH.
Dalam
detik ini juga, Azamlis Danial tiba-tiba terkenangkan Lia Zulaikha. Wajah mulus
gadis cekal itu entah bagaimana mencuri benak lamunannya. Adakah gadis itu
sudah memulakan inisiatif terhadap arahan tercatat di dalam memo yang dikirimkan
melalu Zalina?
Ini
kali pertama Azamlis Danial melabur dalam perniagaan tanpa sesiapa untuknya
buat rujukan. Iaitu rujukan tentang kredibiliti Lia Zulaikha. Lia Zulaikha
memang nama baru dalam bidang pendidikan. Dia tidak dikenali oleh mana-mana
rakan Azamlis Danial dalam bidang yang sama. Cuma nama PIC sahaja sedikit
terkenal akibat dari masalah dalaman yang mereka hadapi. Azamlis Danial memohon
petunjuk ALLAH sebelum membantunya.
Sebelum ini, selain memperkembangkan
perniagaan dalam perkhidmatan broker berkaitan pelaburan kewangan antarabangsa,
lelaki ini juga melabur dalam pelbagai perniagaan dalam bidang hartanah,
perladangan dan pelancongan sehingga industri yang kecil dan sederhana, milik
rakan atau keluarga termasuk membela burung walit yang diusahakan oleh abahnya
sebaik sahaja dia bersara. Begitu juga melalui perusahaan homestay yang diusahakan oleh adiknya di Melaka serta bersama-sama
dengan beberapa rakan membina kolam ternakan udang harimau dan ikan hiasan
spesies arowana. Dia juga sedang berusaha untuk membangunkan sebuah kawasan
ladang menternak lembu, kambing dan ayam bagi penghasilan produk yang halal dan
toyyibban.
Meminjamkan
Lia Zulaikha RM 2.5 juta? Terlebih dahulu, Azamlis Danial maklumkan pada
Mawarni hasrat hatinya. Mengapa dan kenapa adalah mudah untuk dijawab. Semuanya
untuk Syafiza, isteri keduanya. Biar diserah jiwa dan raga, semuanya untuk
hajatnya buat Syafiza. Sudah tentunya kerana ALLAH. Tanpa alasan kukuh seperti
itu, mungkin bergegar semua tiang konkrit istana-istananya.
Ah! Tanggungjawabnya memang untuk membantu
sesama Islam. Bukan Lia Zulaikha faktor utama Azamlis Danial membuat keputusan
tersebut. Dia lebih memandang kepada 75 orang anak yatim yang dijaga. Dia
yakin, rezeki bersih di situ. Ya ALLAH, bantulah sahabat baruku, Lia Zulaikha
agar dia dapat menjalankan tugas dengan baik dan keluar dari lingkaran masalah,
bisik hatinya.
Entah
bagaimana, nalurinya kuat mengatakan Lia Zulaikha mampu melakukannya. Ada
sesuatu pada gadis itu, walau Azamlis Danial sendiri tidak pasti apa.
Tanpa
disedari, Mawarni memerhatikannya. “Abang okey?”
Azamlis
Danial tersenyum. Naluri isteri jangan dibuat main walau sekadar berfikir
tentang wanita lain.
“Okey,
Alhamdulillah,” jawab Azamlis Danial pantas. Senyuman Mawarni dibalasnya. “Abang
terkenang, sayang. Kalau dulu, masa awal-awal abang baru lagi terlibat dalam
pelaburan kewangan, mesti abang gila tak dapat tengok monitor komputer kan?”
“Ha’ah!
Masa tu abah selalu hot hot,” sampuk
Irfan Helmi.
“Tapi
sekarang dah tak kan?” kata isteri Mawarni ingin memadam persepsi anak yang
kurang baik.
Irfan
Helmi mengangguk tanda setuju. Tempias hot
hot yang diperkatakan oleh anak itu sudah tentu lebih dirasai oleh Mawarni
dan Syafiza. Duit bukan isunya. Tapi dia dilahirkan sebagai seorang yang sukakan
cabaran baru. Dia akan bersungguh-sungguh dalam sesuatu yang dilakukan.
Terlampau serius dan menekan diri sehingga setiap yang lain ditolak ke tepi.
Sebagai
abah Irfan Helmi, Azamlis Danial seboleh-bolehnya tidak mahu Irfan melihat kelakuan
kurang manis yang dilakukannya. Begitu juga dengan Mawarni. Sebagai mama Irfan
Helmi, dialah yang kerap bekerja keras memberi rasional kepada anak mereka
untuk memastikan tahap hormat anak itu terhadap abahnya terjaga rapi. Mawarni,
semoga Syurga untukmu! Itu doa Azamlis Danial.
“Alhamdulillah,
ALLAH bantu abang,” kata Azamlis Danial sambil memerhatikan wajah lembut licin
isterinya. Itulah hasil tepekan manja SKII dua atau tiga kali sehari sejak lima
tahun yang dulu. Kalaulah aku kaya sejak hari pertama kami berkenalan, iaitu sejak
kami berusia 17 tahun, pasti aku sudah membelikannya produk itu. Mungkin kini
kulitnya sudah selicin putih telur yang direbus, bisik hati Azamlis Danial.
Dan
tiba-tiba dia menjadi the beast besides
the beauty pula. Sekarang pun dah hampir nak jadi macam tu, kata hati
lelakinya lagi. Dan senyumannya semakin panjang.
4/24/2013 07:13:00 am |
Category:
Novel 1 : IC - Bab 05
|
0
comments
Comments (0)