LIA ZULAIKHA khusyuk mendirikan solat Dhuha sendirian. Air matanya mengalir ketika dia menyatakan harapannya pada ALLAH tentang PIC. Awal pagi tadi dia dikejutkan dengan kehadiran Puan Zalina. Berdebar dadanya menanti berita apa yang mungkin dibawa. Bercahaya? Atau gelap gelita?

Bulat matanya memerhatikan cek di tangan. Itu lambang komitmen Azamlis Danial. Surat yang dikepil bersama ditelitinya. Segera dia melakukan sujud Syukur. Segera juga dia mengarahkan Pak Samad ke bank untuk memasukkan cek Azamlis Danial.

Sebaik doa selesai di baca, Lia Zulaikha sekali lagi membelek isi surat itu. Perlahan-lahan dan satu-satu. Jangan ada yang tertinggal. Jangan ada yang terlepas dari pandangan mata. Ini ibaratnya pinjaman nyawa. Nyawa buat PIC!

Satu jam lagi, dia akan bermesyuarat dengan semua stafnya. Ada amanat yang perlu disampaikan. Ada sasaran yang perlu dicapai. Mereka perlu bersepakat dan terus berusaha untuk berjaya.

 

PETANG ITU, setelah selesai mesyuarat yang berat, Lia Zulaikha menziarahi pusara arwah abah. Habis dia ceritakan kepada abah satu persatu tentang Azamlis Danial. Dalam tiga minggu ini, wajah lelaki itu semakin ligat bermain di kepala. Lidahnya juga semakin lancar menyebut nama Azamlis Danial. Dia lelaki yang baik, abah. Wajahnya tenang, suaranya lembut, gigi taringnya cantik, manis senyumannya dengan tahi lalat di pipi kirinya. Lia yakin dia memang seorang yang baik hati. Lia bersyukur Lia bertemu dan dapat mengenali lelaki seperti Azamlis Danial. Bisik hatinya sendirian.

Baiknya hati Azamlis Danial tidak dijangka sama sekali. Lia Zulaikha sebenarnya menjangkakan wang pelaburan dari lelaki itu hanya masuk pada bulan Januari. Itu pun setelah semua dokumen perjanjian apa yang patut akan mereka tandatangani bersama. Masih terbayang di mata cek bernilai RM 300 ribu tadi. Di tulis atas namanya, Lia Zulaikha binti Ismail. Terdapat satu tandatangan. Hanya satu tandatangan iaitu Azamlis Danial, hero baru PIC!

 “Abah! Lia akan buat semua yang abah pesan. Lia juga akan buat apa yang Encik Azam suruh. Dia janji nak bayar bonus pada staf, kalau kita berjaya dapat 20 orang pelajar. Macam tak percaya… Staf kita semua gembira. Bersemangat, abah!” Perlahan gadis ini bercerita sambil jari runcingnya mengutip satu-satu dedaun berguguran di atas kuburan abahnya.

“Abah! Encik Azam dah jadi partner kita. Lepas ni, setiap bulan Lia kena jumpa dia. Hantar laporan dan perancangan PIC. Mmm… macam dia pulak yang jadi bos. Padahal saham dia cuma 20% aje! Tak apakan, abah? Janji dia sudi tolong…” Macam mengadu pula nada suaranya.

Entah mengapa, gadis ini tertawa kecil tiba-tiba. Tentu sekali dia mengenangkan betapa manjanya dia bila bersama dengan arwah abah. Mereka berdua bertambah rapat apabila Lia Zulaikha tamat belajar dan membantu membangunkan semula PIC.

Abah Lia Zulaikha, Prof. Dr. Haji Ismail Bin Mokhtar Said sanggup melepaskan jawatan penting di universiti tempatan semata-mata untuk bersama rakannya, Datuk Kamaruzzaman Ali membuka satu kolej baru iaitu PIC. Datuk Kamaruzzaman memegang sebanyak 60% saham dan bakinya dipegang oleh Prof. Dr. Haji Ismail.

Prof. Dr. Haji Ismail yang amat komited dengan hal-hal pentadbiran dan pembangunan pendidikan telah menyerahkan bulat-bulat semua isu kewangan kepada Datuk Kamaruzzaman atas dasar kepercayaan. Namun, kepercayaan itu memakan diri apabila dia menyedari Datuk Kamaruzzaman Ali telah mengeluarkan wang syarikat sebanyak satu juta tanpa pengetahuannya. PIC mula terumbang-ambing.

Sudah jatuh ditimpa tangga. Ketika, PIC sedang dilanda taufan ganas, Prof Dr. Haji Ismail pula disahkan menghidapi kanser hati yang serius. Taufan ganas menjadi puting beliung apabila Datuk Kamaruzzaman pula berdegil tidak mahu melepaskan pegangan sahamnya. Tawaran berat sebelah pula dihulurkan. Dia hanya akan keluar jika PIC membayarnya setengah juta!

Untuk memastikan pentadbiran dan pembangunan kolej stabil, Prof. Dr. Haji Ismail menggadaikan semua aset peribadinya. Sedikit sebanyak PIC terus berkembang. Cemburu melihat kejayaan itu, Datuk Kamaruzzaman mula membuat onar. Apatah lagi, Sutera Ilmu College miliknya 100% telah mula beroperasi.

Hutang setengah juta yang masih tertangguh menjadi penyebab untuk pentadbiran PIC diporakperandakan. Caranya? Mudah! Sebarkan sahaja maklumat mengatakan pemilik PIC banyak hutang. Kolej juga banyak hutang. Mungkin akan ditutup pada bila-bila masa. Ada pula pegawai PIC yang menjadi tali barut. Pelajar yang rata-rata remaja, mudah untuk percaya. Mereka mula berpiket dan membuat perkara di luar dugaan.

Lia Zulaikha yang tadinya tertawa, tiba-tiba mengalirkan air mata. Mana mungkin dia lupa kisah itu semua. Sakitnya menyusuk ke dalam dada. Bertambah pedih apabila abahnya menghembuskan nafas terakhir. Lia Zulaikha kini bersendirian!

“Bah! Lia rindu…” adunya sambil mengelap air mata dengan hujung tudung. “Abah dah tak ada…”

PDAnya berbunyi. Pesanan ringkas dari nombor yang tidak dikenalinya.

Cik Lia Zulaikha,

Please see Ms. Suhaily tomorrow at 9.00 am at S&S Associates, Jalan Ampang.

Regards,

Yvonne.


Berkerut dahi Lia Zulaikha. Nama Suhaily dan S&S Associates memang tercatat di dalam nota Azamlis Danial. Nampaknya nama lelaki ini takkan lekang dari bibirnya. Untuk berapa lama? Lia Zulaikha tidak pasti. Perhubungan mereka kini atas dasar kepercayaan. RM300 ribu adalah nilai ujian. Terkenang dia pada Datuk Kamaruzzaman. Tidak! Dia takkan melakukan perkara yang sama. Mengenakan rakan perniagaan yang membantunya. Dia tidak mahu menjadi ‘anjing’ yang tersepit! Mungkin Azamlis Danial takkan tersungkur dengan hilangnya jumlah itu. Tapi, yang pasti Lia Zulaikha yang hilang kredibilitinya seumur hidup!

Menyebut nama Azamlis Danial, Lia Zulaikha tersenyum sendiri. Siapa sangka, dia kini menjadi salah seorang rakan perniagaan jutawan terkenal, Azamlis Danial!

Jatuh cinta? Mana mungkin. Cinta Lia belum berpunya, abah. Ingin Lia serahkan pada Iman, bila dia balik dari Jerman setelah dia menamatkan pengajiannya di sana. Sendirian dia berbisik lagi.

Iman... lelaki sederhana yang berjaya membuat jiwa Lia Zulaikha kacau. Kacau tapi bahagia. Rindu dalam derita.

Comments (1)

On 14 September 2013 at 08:05 , juridah said...

Pn writer..bila nak sambung ic ni