Mak tok hanya menggeleng sebaik melihat aku menyarung baju kurung itu lagi. Dia tahu hari ini 10 haribulan untuk bulan yang baru. Tak payah nak belek kelendar. Tengok pada warna bajuku, dia sudah tahu. “Kamu nak ke stesyen bas lagi, Tehah?”
“Ya,
mak tok!” jawabku dalam senyuman. Baju kurung di badan kubelek. Cantik! Macam
dulu. Macam lima tahun dulu.
“Kamu
tak jemu nak tunggu?” soal mak tok lagi. “Kamu sanggup cuti noreh nak tunggu si
Ayun tu. Buat bazir masa kamu aje…”
Aku
senyum. Jam berdenting lapan kali. “Janji kena pegang, mak tok! Biar sampai
hujung nyawa…”
“Dalam
drama tak apalah!” Mak tok mendengus. “Ini dunia betul. Kamu tengok Zizah! Dah
jadi cikgu. Piya yang dulu liat ke sekolah pun dah jadi misi. Zizah dah
beranak. Piya pulak tinggal tunggu hari bahagia. Kamu…”
“Mak
tok!” cantasku. “Tehah pergi dulu. Bas lalu lima minit lagi. Dalam zuhur nanti,
Tehah sampai. Tehah belikan apam balik dan cendol untuk mak tok ya.” Tak tunggu
lama, aku terjun tanah. Tak mahu mak tok sakit hati kerana membebel banyak
sangat. Tak mahu aku juga sakit hati mendengar bebelan mak tok.
TEPAT macam yang aku jangka. Bas putih
dengan garis biru merah muncul. Lega. Dari jauh, aku tengok warnanya macam
MH370 pulak! Apalah khabar beritanya sekarang…
“Hah!
Naik! Naik!” jerit Abang Bidi. Tersengih lebar dia melihat aku. “Nak ke mana?”
Aku
sekadar menghulurkan duit. Duit dari sebahagian kecil gaji yang Hajah Kalsom
bayar semalam. Duit menoreh getah kat kebun dia.
“RM3.30…”
gumam Abang Bidi sebaik membelek duit yang aku beri. “Stesyen?”
Aku
angguk.
Tiket
warna merah bertukar tangan. “Nak dating?”
soal Abang Bidi.
Aku
diam. Malas nak jawab. Bukan urusan dia walau kami saling kenal. Dia anak Haji
Seman, tukang kebun sekolah. Budak kelas sebelah. Senior tua setahun. Tapi, aku
pandai sikit dari dia! Sempat aku perasan. “Jumpa kawan…”
“Eh!
Dah bertahun-tahun… Itu aje alasannya. Kahwin tak jugak!” ejek Abang Bidi.
Aku
tersenyum. Betul! Apa yang Abang Bidi cakap memang betul. Mujur orang tak
ramai. Bunyi enjin bas yang macam nak terbarai pun jadi penyelamat. Bising!
Maka, perbualan aku dan Abang Bidi memang untuk telinga aku dan dia sahaja.
Akhirnya aku menyandar dan pejam mata. Secara kebetulan, bas berhenti untuk
mengambil penumpang, Abang Bidi kenalah buat tanggung jawabnya, kutip duit dan
bagi tiket!
Lima
tahun. Darab 12 bulan, dah jadi 60 bulan. Itu maknanya aku dah ke bandar dengan
baju kurung oren ini 60 kali. Jauh! Tapi berbaloi. Hati aku senang mengenangkan
janji yang aku tepati. Itu buat aku bersemangat nak mengadap pokok getah setiap
pagi. Kerana aku tahu, RM10.00 dari wang gajiku adalah untuk ini. Untuk tunai
janji!
AYUN! Nama sebenarnya Khairul Wafiy.
Ayun adalah gelaran teman-temannya. Yang kemudian gelaran yang aku guna juga
ketika memanggilnya. Dia bangga dengan namanya. Sebaik-baik setia, katanya. Aku
anggukkan sahaja.
Kami
bertemu di TIGS, Temenggung Ibrahim Girls School, Batu Pahat. Aku tidak
bersekolah di situ. Aku bersekolah di kampung. Dia juga bukan pelajar di
sekolah itu. Itu sekolah untuk perempuan sahaja. Tetapi, kami dipertemukan
ketika mewakili sekolah masing-masing dalam sebuah pertandingan Perbahasan dan
Pidato peringkat daerah. Ketika itu, kami di Tingkatan 5. Pasukanku menang perbahasan,
dia pula juara pemidato. Kami sama-sama hebat.
Kami
bertemu lagi ketika mewakili daerah ke peringkat negeri. Pertandingan dibuat di
Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru. Dia menang tetapi pasukanku kalah. Biar pun
begitu, dia kata aku tetap memang. Menang untuk memiliki hatinya. Merah mukaku.
Malu! Dan gayaku buat dia tertawa. Melihatnya ketawa, aku jadi marah. Dia
ketawa lebih kuat lagi. Hidupnya bererti kerana ada perhubungan ini, katanya.
Aku buat dia jadi ceria.
Kami
berhubungan melalui surat. Aku anak kampung. Mak tok yang bela. Mak ayah tiada.
Adik beradik pun juga. Sepupu sepapat tak wujud. Ini keturunan anak tunggal
yang melahirkan anak tunggal. Tinggallah aku dan mak tok! Ayun anak cikgu.
Duduk di bandar. Dia kata mak ayah dia garang. Ada telefon tapi untuk mak atau
ayah aje yang guna. Telefon bimbit? Tiada keperluan untuk memiliki. Untuk
membajai hubungan persahabatan kami, kami tulis surat. Poskan ke rumah
kawannya. Kawannya akan menyerahkan padanya. Setahun lebih kami begitu.
APA yang menyebabkan aku menunggu
Ayun? Kerana janji! Dia berjanji yang kami akan sehidup semati. Dia berjanji
walau apa pun terjadi akulah suri. Dia keluar negara sebaik selepas SPM. Sempat
dia menghadiahkan aku kain pasang berwarna oren. Oren itu ceria. Ceria seperti
aku dan dia. Hadiah itu tanda cinta kami termetri. Pintanya, kain itu dibuat
baju kurung. Aku mesti memakainya ketika kami bertemu kali pertama bila dia
sudah tamat belajar nanti. Dia memilih jurusan kejuruteraan. Nun di Jerman dia
melanjutkan pengajian.
Aku
pula menyambung STPM. Demam denggi ketika minggu peperiksaan buat aku gagal
semua kertas. Mak tok dah tak mampu. Sakit. Aku pula dah mampu menghadap buku.
Akhirnya, aku memilih untuk menoreh getah. Aku perlukan duit. Mak tok perlu
ubat. Kami perlu makan. Aku juga perlu menghantar surat kepada Ayun. Seminggu
sekali paling kurang. Aku guna aerogram. 50 sen aje modalnya. Aku letak bedak
talkum, biar wangi.
Ayun terima aku seadanya. Dia cuma mahu aku
belajar agama, memasak dan menjahit sampai betul-betul pandai. Dia kata, aku
akan jadi suri rumah. Semua pakaian kami dan anak-anak, perhiasan rumah seperti
langsir cadar dan alas meja, harus aku yang membuatnya sendiri. Hidangan kami
sekeluarga juga, aku yang harus sediakan. Setiap lepas solat, aku akan mengajar
anak-anak mengaji dan solat. Itu rancangan rumah tangga kami. Ideal sekali.
Siapa
yang tak teruja mendapat cinta seperti Ayun. Dia bijak tetapi tidak bangga
diri. Dia sanggup bekerja sambilan untuk menghantar surat padaku. Di dalamnya
akan terisi gambar dia di sana. Ada juga daun dan bunga kering untuk buat aku
tahu itu bunga apa. Bunga yang tak ada di Malaysia. Dia kata, dia mengepit
bunga dan daun itu di dalam buku kulit tebal. Khas buat aku!
Dia
juga kerap mengingatkan aku tentang solat dan ibadat. Berpuasa isnin dan
khamis, kami lakukan sama-sama. Biar aku di sini dan dia di sana. Terasa
seperti dia berada di sisi. Cintanya jauh terperosok di hati.
Dan
bila pengajiannya tamat, kami berjanji tempat dan masa untuk bertemu. Dan Ayun menulis
di dalam surat kedua terakhirnya, “Tehah! Ayun janji, bila juga tarikhnya, kita
akan datang ke tempat yang sama setiap bulan semata-mata untuk mengenang cinta.
Enam tahun terpisah jauh itu lama, Tehah! Ayun setia, Tehah juga. Bukan
calang-calang orang mampu melakukannya. Kita akan duduk bersantai di tempat
itu, biar pun ketika itu kita sudah beranak cucu!”
Dan
bila surat terakhir aku terima, tarikh pertemuan yang Ayun pilih adalah 10
April. Tempatnya di stesyen bas Batu Pahat. Tarikh itu cukup seminggu setelah
kepulangannya. Dia meminta masa untuk bersama keluarganya dahulu. Tentu sekali,
aku bersetuju.
“Batu
Pahat! Batu Pahat!” jerit Abang Bidi.
Terkejut
aku dari lamunan. Stesyen bas sudah hampir sampai. Bandar ini tidaklah banyak
beza. Sama sahaja. Tersenyum ketika aku memijakkan kaki di sana. Sengaja aku
mencuci mata melihat sekitar. Bahagia! Biar baru menghirup udara sahaja, aku
sudah rasa bahagia. Bahangnya mentari pagi tidak terasa. Jauh sekali debu dan
tajamnya bauan diesel enjin kenderaan merata-rata.
“Tehah!”
panggil Abang Bidi. “Sarapan dengan abanglah!” ajaknya.
Aku
menggeleng. Ini masa aku menunggu cinta. Dan cintaku bukan dia. “Tehah nak
jumpa kawan, bang! Tehah dah minum di rumah tadi…” dalihku. Sebenarnya aku
membawa bekal. Ada dalam beg kain yang aku sangkut di bahu.
“Alah!
Kat kedai depan tu aje…” pujuk Abang Bidi. “Dia datang nanti, Tehah boleh
nampak. Kat simpang tu kan…” Ditunjukkan kedai yang dia maksudkan.
Aku
geleng lagi. “Terima kasih, Abang Bidi.”
Abang
Bidi buat muka.
“Tehah
tunggu kat kerusi yang hujung sekali ya. Kat situ tak ramai orang. Tapi,
tempatnya masih selamat…” Itu pesanan Ayun dalam surat yang terakhir. “Jangan
lupa pakai baju oren!” Dengan sedikit senyuman, aku meninggalkan Abang Bidi
yang terpinga. Aku segera membeli akhbar dan terus ke tempat yang Ayun
maksudkan. Susunan kerusi sudah berubah. Warnanya juga. Yang sama cuma satu,
penghuninya setiap 10 haribulan adalah aku.
Aku
duduk lalu mengeluarkan botol minuman. Aku teguk perlahan. Tidak mahu habis
sebelum waktu. Tidak juga sampai terpaksa ke tandas awam. Dua jam pertama, aku
habiskan masa dengan membaca akhbar. Dari muka surat depan sampai belakang.
Dari ayat pertama sampai yang terakhir.
Selesai
membaca, aku menikmati bekalanku. Biasanya aku bawa nasi goreng. Ah! Itupun
makanan yang sama setiap kali aku pergi menoreh. Sempat aku melihat diriku pada
cermin di dinding kedai. Sudah banyak berubah! Aku memang sudah nampak dewasa.
Sudah 29 tahun. Sudah layak untuk ke fasa seterusnya. Fasa berkeluarga. Memang
patut mak tok bising. Usia seperti aku, mak tok sudah beranak tiga kali. Cuma
anak sulung dan anak keduanya tak panjang umur. Akhirnya hanya tinggal ibuku.
Itupun, ibu meninggal sebaik melahirkan aku.
“Eh!
Awak?” tegur seseorang yang mengambil tempat di sebelah.
Aku
menoleh sekilas. Dia lagi! Sudah tiga kali kami bertemu di sini. Aku buat pekak
dan bisu. Itulah taktikku. Malas nak bercakap. Bekalan yang masih bersisa aku
simpan semula. Mataku fokus ke kanan kiri. Mencari susuk tubuh Ayun. Harapanku
sentiasa segar mengharapkan kami pasti bertemu.
Kecewa?
Ya, aku pernah kecewa. Pada 10 April kali yang pertama dulu, memang aku kecewa.
Dia sudah berjanji, dia juga yang memungkiri. Aku menangis sepanjang pulang ke
rumah. Malamnya, aku menangis lagi mengenangkan janji yang sudah berubah.
Berbagai kata jahat mula menguasai hati. Ayun mungkin sudah ada yang lain. Ibunya
meminta dia bertunang dengan gadis pilihan keluarga. Ayun mungkin itu. Ayun
mungkin ini. ‘Ayun, JANGAN LUPAKAN AKU!’ Itu jeritan hatiku.
Tetapi,
esoknya ketika aku bangun, aku berasa sungguh luar biasa. Terasa bagai Ayun
menantiku di satu tempat yang aku tak tahu. Segera aku menulis dua pucuk surat.
Dua-dua buat Ayun. Satu sengaja kuhantar ke alamatnya di Jerman. Satu lagi,
sengaja kuhantarkan ke alamat rumah temannya. Seminggu berlalu. Dua minggu
terlepas. Tiga minggu tak berbalas. Hingga tiba 10 Mei, aku datang lagi ke
sini. Menanti Ayun memenuhi janji. Begitu juga dengan 10 haribulan bulan-bulan
yang seterusnya, namun Ayun tetap tiada.
“Stesyen
bas ni tempat orang datang dan pergi…” kata lelaki di sebelah. “Tak mustahil
ada cinta yang berikat mati di sini.”
Aku
diam. Bukankah aku pekak?
“Tapi
kalau jumpa orang yang sama, dengan baju yang sama…” Dia tertawa kecil. “Ada
jodoh kot!”
Aku
membelek kuku. Pendek! Mujur pendek. Kalau panjang, dah aku cakar mamat kat
sebelah ni yang sibuk nak menganggu ketenteraman awam.
“Cantik
baju awak. Oren. Ceria!” pujinya.
Aku
getap gigi. Geram! Biar pun boleh dirasa yang dia seperti seronok mengusikku.
Aku pula terasa nak beri siku! Lebih aku geram bila warna bajuku yang menjadi
perhatiannya. Ceria? Ayun aje yang boleh memujiku begitu. Sebaik itu menjengah
minda, aku terkaku!
Adakah
lelaki di sebelah Ayunku? Ya ALLAH! Nak buat macamana ni? Kalau ya, tak apa.
Aku bahagia. Kalau bukan, rugilah lakonan pekak bisuku sejak tiga bulan lepas.
Aku toleh sekilas. Snap! Aku rakam wajahnya
ke dalam kotak ingatan.
Perlahan-lahan
aku membuka beg kainku. Sebuah kotak kasut BATA berisi surat dan gambar Ayun yang
terkini, aku buka penuh hati-hati tanpa mengeluarkannya dari beg. Kutarik
sekeping foto yang Ayun hantar. Foto terakhirnya. Bukan! Ayun berwajah bersih.
Lelaki di sebelah berwajah serabut. Berjambang bagai. Berkaca mata hitam.
Selekeh!
Sebaik
terkenangkan semua foto yang Ayun pernah hantar, aku tersenyum senang. Bagiku,
Ayun memang lelaki sejati. Tak perlu nak berkaca mata hitam untuk menunjuk
macho.
“Bercakap
tak nak tapi senyum nak…” sakat jiran sebelah.
Tuhan!
Sabarkanlah hatiku. “Fatehah! Fokus benda lain,” gumamku sendirian.
“Alhamdulillah!”
ucap lelaki di sisi. “Adik tak bisu…”
ALLAH!
Salah sendiri. Aku keluarkan jurus kedua. Jurus muka beku. Ah! Ini bukan
cabaran yang paling besar. Cabaran terbesar yang aku lalui adalah ketika aku
memberanikan diri mencari rumah kawan Ayun. Habis RM20 untuk aku bayar duit
teksi. Peliknya, kawasan perumahan itu banyak rumah baru. Besar-besar. Dah
macam tempat orang kaya. Pak cik teksi pun dah tak mahu pusing lebih lama. Pak
guard kawasan rumah tu dah ikut aje kami merata. Sudahnya, aku minta pak cik
teksi hantarkan aku ke stesyen bas semula.
“Dik!”
panggil lelaki di sebelah. “Andai bulan depan, kita jumpa lagi di sini. Abang
janji abang hantar pinangan. Adik jadi isteri abang…”
Belum
jauh dia melangkah, “Gila!” marahku perlahan. Namun, itu buat dia ketawa
setelah menoleh seketika.
TEPAT jam 12.30 tengahari, aku
menghela nafas panjang. Penantianku masih tiada penghasilan. Aku membacakan
Al-Fatihah tiga kali, lalu kusedekahkan pada Ayun. Ayun yang menghuni hatiku
sejak 12 tahun lalu.
“Bulan
depan, Tehah janji, Tehah datang lagi…” ucapku sayu. Air mata menitik juga ke
pipi. Sedih tentunya. Harapanku untuk bertemu dengannya terlalu tinggi.
Perlahan
aku menapak ke gerai kuih untuk membelikan apam balik untuk mak tok. Cendol
pula kubeli dari gerai sebelahnya. Terus sahaja aku berlari mengejar bas untuk
ke Parit Sulung.
“Selamat
tinggal, Batu Pahat!” ucapku. “Bulan depan jumpa lagi…”
“ADA orang datang mintak Tehah tadi…”
beritahu mak tok ketika aku baru menghidangkan juadah yang kubawa balik dari
bandar.
Aku
tersedak. “Mintak Tehah? Mintak apa?”
“Minang
Tehah. Dia hantar cincin belah rotan. Dua minggu lagi …”
“Tehah
tak setuju!” pangkahku selamba.
Mak
tok mendengus. “Habis Tehah nak bujang sampai tua?” sergah mak tok.
Aku
diam. Aku tahu mak tok masih menyimpan sisa keinginan untuk membebel pagi tadi.
“Tehah nak tunggu Ayun…”
“Boleh
tunggu! Minta izin dengan ‘suami’ kamu…” Pantas mak tok menjawab. Sinis
kedengaran di telinga.
Aku
kerut dahi.
“Dah
tiga orang masuk meminang. Mak tok tak tahu nak letak muka kat mana kalau Tehah
menolak. Sudahlah dia wakilkan tok imam untuk datang,” bebel mak tok. Sepotong
apam balik selesai juga dikunyahnya. Memang ini makanan kegemaran dia sejak
muda. Aku tahu, sebab itu aku beli. Buat pujuk hati dia kena tinggal setiap
kali aku ke bandar. “Kamu tengok gambar dia atas gerobok tu. Boleh tahan segak
budaknya.”
“Tehah
tak nak orang segak! Tehah nak tunggu Ayun!”
“Sampai
bila?” soal mak tok. “Sampai kamu dah tak larat yang menyembah pokok getah.
Sampai Hajah Kalsom tebang semua getah, lepas tu gantikan pokok sawit. Ingat Tehah!
Kamu dah nak masuk tiga puluh. Aku ni dah tua, boleh mati bila-bila. Kamu nak
bertapa dalam rumah ni seorang?”
Aku
diam.
“Lelaki
tu duda. Ada anak…”
“Tehah
tak nak!” tolakku lagi. Lebih berani.
“Kamu
dahlah lambat kahwin. Ada anak ekspress seorang bukan ke bagus? Boleh ambil
masa sikit berkenalan hati budi dengan laki, baru tambah anak untuk dia yang
kedua… sampailah berapa pun yang laki kamu mahu. Apa payah benar?” bebel mak
tok.
“Mak
tok tak faham…” Lirihku.
“Apa
yang aku tak faham?” soal mak tok. “Pasal cinta?”
Aku
diam.
“Kalau
nak cakap pasal cinta, mak tok kamu ni yang paling setia. Tok aki kamu mati
masa mak kamu bayi. Mak tok tak kahwin lagi… Bukan tak ada orang nak. Tok imam
yang jadi wakil pihak sana minang kamu pun pernah minang mak tok ni untuk jadi
isteri dia sebelum dia kahwin dengan Nek Jenab kamu. Mak tok faham pasal cinta.
Mak tok juga faham pasal setia. Tapi, itu untuk suami, Tehah…” Panjang lebar
mak tok mengutarakan hujah.
Aku
sudah berhujankan air mata.
“Bukan
kekasih. Ini... kamu dan Ayun, bertunang pun tidak… Kain pasang sehelai… surat
berpucuk-pucuk… tak ada maknanya kalau nak angkat akad kamu pun dia liat…”
sambung mak tok lagi.
“Tehah
percaya Ayun masih setia…”
“Dia
lelaki, Tehah!” sergah mak tok. “Dia belajar sampai nun ha… jauh! Setakat nak
cari kamu kat Kampung Lapis Darat ni, tak susah…”
“Sebab
itu Tehah tunggu!”
“Dan
tak susah juga dia nak cari yang lain…” sambung mak tok pada satu realiti yang
aku pernah fikirkan.
“Dia
mungkin sakit…” Aku masih ada alasan.
“Kamu
nak laki sakit?”
“Mak
tok! Kalau Ayun dah buta sekali pun, Tehah sanggup nak bela dia,” sahutku
lantang.
“Suara
kamu makin tinggi, Tehah!” tegur mak tok.
Aku
menangis makin berat. Sedih di hati semakin sarat. “Maafkan Tehah, mak tok!”
Tak sanggup berlama, aku bingkas bangkit dan berlari masuk ke dalam bilik.
NEK PEAH memandang wajahku. Aku pulak
kerut dahi memandangnya. Dia duduk melunjur kaki di atas bangku di bawah
bangsal. Getah sudah kami toreh. Sekejap lagi getah bekunya pulak kami nak
kumpulkan. Kebun Hajah Kalsom ni luasnya seekar setengah. Aku dan Nek Peah yang
menoreh dan kumpulkan getah beku. Haji Maarof pulak yang hantar getah beku ke
pusat pengumpulan. Petang-petang dia juga meracun rumput biar tak panjang.
Mujur proses tak macam dulu. Hajah Kalsom beli cuka getah jenama moden. Mudah
nak urus, getah dah pandai beku dalam mangkuk. Tak payah tunggu berjam-jam.
‘Kenapa?’
soalku dalam hati. ‘Aku buat kerja ni ada yang tak betul ke?’ Gumpalan getah skrap
aku kumpulkan dalam baldi. Baunya, aduh! Walau tak sebusuk dulu, tapi dah
sebati dalam diri buat aku dan Nek Peah selamba sahaja.
“Kamu
tak beritahu aku pun yang orang KL pinang kamu…” Nada rajuk Nek Peah menyapa
telinga.
Orang
KL? “Err… Tehah tak tahu pun dia orang KL…” Sebenarnya, aku pun pelik, dari
mana Nek Peah tahu hal aku kena pinang.
“Kamu
tak tahu, Tehah?” soal Nek Peah terkejut. “Mak tok kamu tak cakap?”
Aku
menggeleng. Huh! Macamana nak cakap, kalau aku merajuk seharian dalam bilik
semalam. Sanggup aku tahan lapar. Keluar ke bilik air pun bila aku tahu mak tok
dalam bilik dia. Kasihan mak tok. ‘Haih! Cucu derhaka betullah aku ni…’ marah
aku pada diri.
“Kamu
ni peliklah, Tehah!” tegur Nek Peah. “Muka lawa. Orang minang kamu tolak. Ni
dah masuk tiga kali ni… Muncung aje muka kamu…”
“Tehah
tak berkenan…”
“Kenapa?”
soal Nek Peah. “Nek Jenab kamu kata orangnya segak. Berduit. Keluarganya
baik-baik. Itu anak sedara jauh dia tu…”
Ah!
Nek Peah dapat tahu dari Nek Jenablah ni. ‘Haih! Isteri tok imam pun… mulut
boleh tahan…’ marah hatiku lagi. Aku tahu, pinangan ini payah untukku tolak.
Kenapa? Sebab tekanan pihak luar dan dalam. Mak tok dah risau umur aku yang
meningkat. Sekumpulan orang kampung pulak dah mula memerhati kerana yang jadi
wakil pihak lelaki adalah orang penting kampung, Tok Imam! Dulu, yang meminang
aku, orang luar. Tiada siapa tahu, tiada siapa perasan. Sekarang? Aku memang
sudah tersepit.
“Terima
ajelah, Tehah!” ucap Nek Peah. “Kalau lelaki tak baik, tak adanya tok imam nak bagi
kat untuk kamu. Kan dia yang mengajar kamu mengaji. Dia jugak yang ajar kamu
fardhu ain. Dia sayang kat kamu macam cucu sendiri. Takkan dia nak kamu kahwin
dengan lelaki tak senonoh. Mustahil!” Tergaru-garu Nek Peah sambil sesekali
menepuk nyamuk yang datang menghinggap.
Payah nak cakap!
SENYAP. Rumah aku senyap sebaik aku
sampai tengahari tu. Biasanya mak tok suka menghidupkan radio. TV dah rosak.
Sengaja tak ganti. Bukan ada masa nak tengok pun. Petang dan malam, aku sibuk
menjahit.
“Mak
tok!” panggilku setelah salam yang kuberi tak berbalas. Kalut aku memanjat
tangga. Bulat mataku melihat mak tok terbaring di tengah rumah. “Mak tok!!!”
Aku menjerit.
TERGELENG-GELENG kepalaku mengingatkan apa yang terjadi. Aku bersyukur, aku
balik tidak terlampau lewat. Aku bersyukur mak tok masih selamat. Tekanan darah
rendah. Dia pitam kerana tak makan. Dia hilang selera kerana bergaduh dengan
aku semalam. Tuhan! Sungguh aku menyesal.
“Makan,
mak tok…” pujukku dengan semangkuk bubur di tangan. Berlaukkan ikan bilis dan
bawang goreng.
Mak
tok diam sahaja. Dia memang tak cakap apa-apa denganku sejak sedar tadi. Puas
aku meraung dan merayu, mak tok tak ambil peduli.
“Tehah
terima pinangan tu…” ucapku dengan bibir bergetar. “Asalkan mak tok nak kawan
dengan Tehah lagi…” Aku tahu ini tindakan drastik. Masa di klinik, aku sempat
menumpang solat hajat dan istikharah. Solat hajat untuk mak tok. Solat
istikharah untuk pinangan ‘orang tu’. Inilah keputusannya.
Sebaik
suapan pertamaku mak tok sudi menelan, aku ucap lagi, “Tehah minta maaf, mak
tok…” Air mataku mengalir ke pipi. Aku takut. Aku cuma ada mak tok di dunia
ini. Semua hal kami buat sama-sama. Hal Ayun aje yang selalu buat kami macam
nak ‘perang’. Tapi tak pernah seserius semalam.
“Mak tok dah tua, Tehah!” Itu ucapan dia yang
pertama sejak kami sampai ke rumah. Itu pun dengan suara yang lemah. Syukur
tadi Cikgu Leman dah sampai dari sekolah. Dengan sekali jeritan dia muncul dan
sudi membantu. Kami ke klinik dengan kereta PROTON Saganya.
“Tehah
tak nak cakap pasal mak tok dah tua…” rajukku pula. “Kita mati sama-sama!”
Mak
tok ketawa kecil. “Mak tok lagi sayang dengan tok aki kamu. Kami tak mati
bersaing pun…”
“Itu
dengan tok aki!” marahku. Marah-marah manja. “Ini Tehah. Your one and only grand daughter…”
Mak
tok menceber bibir. “Cakap orang putih konon. Belajar tak nak tinggi-tinggi…”
Daguku dicuitnya. “Terima pinangan Haikal ya. Kamu pindah KL…”
Haikal?
Oh! Calon suami… “Kenapa dia pilih Tehah?” Aku dah tak boleh nak U-turn.
“Tok
imam yang pilih Tehah…” jawab mak tok. “Haikal perlu isteri untuk dia dan ibu
untuk anak dia. Tok imam kata Haikal budak baik. Kerja doktor. Ada klinik
sendiri.”
“Hish!”
Aku tergeleng-geleng. Doktor? “Tehah tak nak! Tak nak! Tehah fail STP… Dia pandai…” Tergoyang-goyang
tanganku tanda tak setuju. Nak tarik balik persetujuan tadi. Sengaja nak cari
alasan…
Mak
tok ketawa lagi. Aku tahu dia lega dengan keputusanku.
“Tehah
demam masa STP kan…” sahut mak tok. “Anak dia comel…”
“Comel?”
“Tengok
gambar atas gerobok!” suruh mak tok.
Aku
menggaru-garu tengkuk. Masih tak sanggup untuk memandang foto lelaki lain
selain foto Ayun. Nampak sangat keputusan yang aku buat masih tak bulat. Masih
teragak-agak. Hati pun belum redha sebenarnya. Mataku terpejam ingin menutup
kekalutan perasaan. Tiba-tiba tangan mak tok menyentuh lututku.
“Pergilah
tengok!” suruhnya. “Ada beberapa keping gambar. Yang besar tu gambar anak dia.
Yang lain tu ada gambar dia seorang, ada juga gambar dia dengan anak dia. Tehah
ambil gambar yang besar dulu…”
Aku
tarik nafas panjang-panjang. Mangkuk bubur kuletakkan di atas tikar, tepi tilam
kekabu tempat mak tok berbaring. Aku bangkit lalu menjingkitkan kaki mencapai
kepingan gambar. Memang ada beberapa keping. Aku ambil yang paling besar. Aku
tak terus tengok. Aku duduk dekat dengan mak tok dulu. Bila aku dah selesa,
baru kubelek. “Comel…” pujiku.
“Hmm…”
Angguk mak tok. “Ibu dia meninggal masa bersalinkan dia. Sama macam kamu. Baru
enam bulan umur dia… Dina Zihani namanya. Ayah dia panggil dia Dina…”
“Dina…”
panggilku pada bayi yang ceria tawanya. Putih dan mulus kulitnya. Nampak dia
berjaga rapi. Pakaiannya serba putih ibarat bidadari yang turun dari syurga.
Itu yang aku rasa.
Dan
malam itu, aku menangis sebelum tidur. Kubelek semua surat yang Ayun pernah
hantar. Penuh tiga buah kotak kasut BATA. Aku tak ada komputer. Jauh sekali
internet. Semua suratku kepada Ayun bertulis tangan. Demi cinta, Ayun membalasnya
juga dengan tulisan tangan. Cantik berseni. Tanda tangannya, tanda tangan orang
berjiwa besar dan bercita-cita tinggi.
Peliknya,
aku bermimpi memeluk Dina. Matanya yang bulat bagai melekat padaku. Kami ketawa
bersama bagai saling mengenali. “Sayang!” panggil satu suara yang buat aku
terjaga. Lebih pelik lagi, itu suara Ayun!
YA! Suara Ayunlah yang buat hatiku
bertambah bolak-balik pada hari pertunangan. Aku sudah menyarung kurung biru.
Itu pakaian hari raya yang baru lepas. Aku yang menjahitnya. Selendangnya aku
pinjam selendang Piya. Tak sempat nak beli yang baru. Siapa sangka pihak lelaki
mahu secepat ini. Sebaik mak tok menyatakan persetujuan pada tok imam, dua minggu
selepas cincin belah rotan dihantar mereka terus mahu mengikat tali
pertunangan. Nikah pun dua minggu lepas tu.
Melihat
tujuh buah dulang hantaran di atas tikar, aku hembus nafas berat. Tak sempurna.
Semuanya ala kadar. Nak buat macamana. Simpanan aku pun tak seberapa. Banyak
kuih dan benda makan-makan. Barang keperluan pun aku cuma belikan sepasang kain
pelikat dan lima helai sapu tangan. Kalau bersama Ayun, tentu kuberi lebih
lagi. Sanggup kujahitkan sepasang baju Melayu. Biar bersengkang mata. Warna
oren macam yang dia suka. Ceria, katanya
Kreek!
Terkejut
aku bila pintu bilikku dibuka. Hilang terbang khayalanku tentang Ayun.
Bercantum kening di dahi. Rombongan sana baru naik rumah, mereka dah nak sarung
cincin?
Mak
tok yang masuk dulu. “Tehah! Dina nak tumpang tidur bilik kamu…” kata mak tok.
“Kat luar ramai sangat orang. Panas!”
Seorang
wanita sebaya Hajah Kalsom masuk. Tersenyum dia memandangku. Aku anggukkan
kepala. Tilam kutepuk tanda aku setuju Dina yang lena dibaringkan di situ. Di
sebelah aku!
Tersenyum
aku melihat wajah mulus Dina. Cantik dan comel di dalam gambar, cantik dan
comel lagi di luar. ‘Bidadari!’ panggilku dalam hati. Dahinya yang berpeluh
kulapkan dengan tisu. “Kasihan anak ibu!” Tanpa sedar aku mengucapkannya.
“Mak
Su ni yang jaga Dina masa ayah dia kerja…” Tersenyum lebar mereka berdua.
Mungkin kerana ucapanku yang aku sendiri tak sangka. Terus sahaja aku menghulur
tangan menyalami Mak Su. Sebenarnya untuk menutup riak segan di muka. “Mak tok
dan Mak Su keluar dulu…” ucap mak tok.
JIKA
upacara pertunangan Zizah dan Piya yang dulu berjalan sempurna. Aku punya huru
hara. Dina yang tiba-tiba terjaga, menangis minta perhatian. Kelam kabut Mak Su
berlari ke dalam bilikku untuk memujuknya. Kelam kabut juga aku membantu Mak Su
mengipaskan tubuh si anak yang memang berpeluh sakan. Gaun serba putihnya Mak
Su lucutkan, tinggal pampers dan seluar sahaja. ‘Cute!’ Sempat aku memuji. Kulit putihnya menjadi kemerah-merahan sama
merah dengan mukanya yang menjerit marah.
“Mak
Su kena buat susu. Susu tadi dah habis rupanya…” beritahu Mak Su. Dina yang
masih melalak diserahkan padaku.
“Bismillah!”
ucapku perlahan. Tak tahu nak buat apa selain mendodoikan dalam dokongan sambil
tangan sebelah lagi mengipas si anak. “Dina… anak ibu!” panggilku perlahan.
Malu juga tapi nak buat macam mana. Mujur tak ada orang lain. “Tenang, sayang…”
pujukku perlahan. Aku senyum padanya.
Tangisan
tadi menjadi rengekan manja buat aku makin terpesona.
“Tenang!
Dina ada ibu…” pujukku lagi. “Panas ya… Ibu kipas kuat sikit ya…”
Matanya
yang berair bulat memandang padaku. Gaya meminta belas dan perhatian penuh manja.
Mak
tok muncul lagi. Kali ini bersama seorang wanita yang aku dapat rasakan yang
dia adalah bakal ibu mertuaku kerana pakaiannya pakaian orang ada-ada. Maklum,
ibu kepada seorang doktor. “Dina dah pandai main dengan ibu ya…” ucap wanita
itu dengan senyuman. “Macamana nenek nak sarung cincin ni?”
Aku
hanya tersenyum segan.
AKU berulang-alik ke hulu-hilir dalam
bilik berkali-kali. Telefon bimbit ada dalam genggaman tangan. Hadiah dari
Haikal yang aku terima sebentar tadi melalui tok imam yang datang untuk
menyerahkan wang belanja hangus dan memaklumkan tarikh pernikahan akan
dipercepatkan dua hari dari tarikh asal.
“Saya
tak setuju!” ucapku sebaik aku ditanya tentang hal ini. Dari 11 haribulan jadi
9 haribulan. Tentu aku tak mahu. Jika aku sudah menjadi isterinya, apa alasan
untuk aku menunggu Ayun di stesyen bas? Itulah peluangku yang terakhir. Untuk
menunggu dan mengucapkan salam perpisahan. Atau… Ajak Ayun kahwin lari? Erk!
“Abang
minta maaf. Klinik abang tak boleh tutup. Doktor yang dah setuju nak gantikan
abang tu pada tarikh tu, ada masalah. 10 haribulan malam, abang kena kerja
dah…”
Abang?
Dahiku aku ketuk beberapa kali dengan buku lima. Ini kali pertama aku berbicara
dengan dia. Soalan ketiga yang dia tanya. Soalan pertama, apa khabar? Soalan kedua,
dah makan? Soalan ketiga, tok long dah maklumkan pasal tarikh tu?
Jawapan
pertama aku, sihat. Jawapan kedua, sudah. Jawapan ketiga, err… aku tanya dia
balik, “Siapa tok long?”
Dia
ketawa dan kata, “Tok long tu tok imam Tehah yang akan jadi tok long Tehah bila
kita dah nikah nanti.” Dalam hati aku menjawab, ‘Tak kelakar!’
Kemudian,
dia ulang semula soalan ketiga, dan inilah yang aku lakukan kini. Mengetuk dahi
dengan buku lima sendiri. Mempertimbangkan keperluan dia dan keperluan aku.
Tiba-tiba aku mendengar Dina menangis. “Dina!”
“Hmm…”
jawab si dia di hujung talian. Kedengarannya dia seperti berkata sesuatu pada
anak itu. “Payah nak pujuk bila menangis sekarang.”
“Kenapa?”
Aku kalut. Sebab bila dah kahwin nanti, tentu aku yang kena jaga si kecil tu.
“Sejak
jumpa ibu hari tu…” sahut si ayah. “Meragam aje…” Tertawa kecil dia bila
menyebutnya. Jelas dia suka.
Tangan
kiriku mula mencakar pintu almari pakaian. Geram!
“Boleh
ya?” soalnya. Suara dia lembut. Bersahaja. Matang.
‘Mesti
tak hensem!’ ejekku dalam hati. “Boleh apa?” soalku. Blur sebenarnya.
“Nikah
awal?”
“Mana
sempat nak uruskan macam-macam…” dalihku.
“Tok
long kata sempat. Kawan tok long yang akan nikahkan kita…” sahutnya ceria
seperti orang yang menang.
Aku
tepuk dahi! “Boleh dengan syarat!” sahutku berani.
“Apa?”
Aku
tarik nafas panjang-panjang. “Err… 10 haribulan pagi. Saya nak keluar ke bandar.
Jangan tanya saya nak buat apa. Jangan tanya saya nak jumpa siapa. Saya pergi
awal pagi, saya balik lebih kurang zuhur…”
“Kita
nak bertolak balik KL 10 haribulan pagi. Malam tu, abang dah kena ada kat
klinik, sayang…” beritahu si tuan doktor.
Tegak
telingaku mendengarnya. Sayang? “Kita bertolak awal petang, sebaik saya sampai
dari bandar.” Aku pula mengutarakan cadangan.
“Kalau
Tehah keluar pagi. Siapa nak jaga Dina?” soalnya macam orang lurus.
“Awak!”
jawabku pantas.
“Kasihan,
Dina!” sahutnya perlahan. Suaranya suara orang minta simpati. “Lagi satu, abang
tak suka bertolak lambat. Sampai lambat nanti... Ingat nak rehat sekejap
sebelum ke klinik.”
“Pleaselah! Sekali aje…” pintaku sedikit
merayu.
Dia
diam. “Boleh tapi dengan syarat…”
Mataku
bulat. ‘Mamat ni memang nak kena!’ jerit hatiku marah.
“Abang
nak Tehah berinai cantik-cantik. Berukir-ukir dari hujung kuku tangan sampai
separuh lengan. Inai juga dari hujung kuku kaki sampai buku lali…”
Aku
mengerutkan dahi. Mana dia tahu berinai di jari tak masuk agenda persiapan
pernikahan kami. “Awak jangan melebih!” Sengaja aku tunjuk garang.
“Tak
lebih! Abang dah kurangkan siap-siap apa…” sahutnya selamba. “Kalau boleh,
abang nak Tehah berinai satu badan. Tapi, Tehah tu abang yang punya. Abang rela
tukang inai tu buat sampai separuh lengan aje. Kat kaki pulak sampai buku lali.
Kalau Tehah buat yang macam tu, 10 haribulan, kita bertolak awal petang, lepas
Tehah balik dari bandar…” Klik!
Tuhan!
Telefon bimbit aku baling ke atas tilam. Kembang kempis hidungku menahan
amarah. Ini perbincangan kami yang pertama, tetapi nampak sangat semuanya aku
kena ikut kata dia. Yang aku dapat pun ada syarat. Belum puas membebel sendiri,
telefon berbunyi lagi.
“Satu
abang terlupa nak tanya…” ucapnya riang di hujung talian.
“Apa?”
Aku soal dengan suara malas.
“Tehah
nak muka abang macamana nanti?”
“Macamana
apa?” soalku tidak faham. Aku boleh minta muka dia jadi muka Ayun? Atau muka
Remy Ishak? Atau Aaron Aziz? Paling bagus kalau dapat muka Leonardo Di Caprio.
Baru aku sedar, aku belum sekalipun melihat gambar-gambarnya. Huh! Belum ada
hati!
“Err…
Masa nikah nanti, nak abang berjambang? Atau misai dan janggut sahaja? Misai
sahaja atau janggut sahaja?” soalnya meleret macam lelaki manja.
“Eeee…
Itu bukan urusan kitalah!” marahku lagi buat kali kedua. Apa aku peduli?
Peliknya
dia tertawa besar sebelum talian sempat aku putuskan. Cerianya dia!
MEMAKAI persalinan putih memang aku tak
mimpi. Itu untuk Ayun. Peliknya si dia memilih warna peach. Alasannya ini perkahwinannya kali yang kedua, aku ikut
sahaja. Maka, hari ini, rumahku meriah lagi. Di dapur penuh orang. Di ruang
tamu juga. Di atas tanah pun sama. Hari ini kami bernikah langsung kenduri.
Bersanding? Aku tolak mentah-mentah.
Seperti
hari pertunangan, Dina yang menemaniku. Cutenya
dia! Gaunnya berwarna peach. Sama
seperti warna persalinanku. Pandai si tuan doktor! Dia tahu anak dia comel, dia
hantar dulu untuk bagi tenang hati aku.
Membelek
wajah Dina buat aku tertanya, bagaimana rupa Haikal agaknya. Hish! Rugi pulak
tak tengok gambar yang dia hantar. Tak gamak! Gambar tu ada atas gerobok kat
ruang tamu. Kat luar dah ramai orang. Nak minta tolong siapa? Dari lubang di
dinding bilik, aku perhatikan semua yang ada, aku tak kenal. Rombongan
Haikallah ni… Ah! Nak buat macamana? Memang ini pun yang aku nak.
Kalau
dia gemuk? Nasiblah! Kalau dia kurus cekeding? Padan muka. Kalau dia tak berapa
nak tinggi. Amekkawww!
Sudahnya,
aku belek Dina sambil kipaskan dia. Biar tak panas macam hari tu. Bilik ni dah
sedikit berangin, aku dah beli kipas berdiri dua buah. Nak beli kipas siling,
siling tak cukup tinggi. Borang nikah, aku dah sign. Aku duduk dalam bilik sahaja kerana Naib Kadhi guna mikrofon.
Satu kampung boleh dengar khutbah nikah kami.
Kali
pertama mendengar suara Haikal di luar telefon, aku terdetak hati. Suaranya
meyakinkan bagai tiada keraguan untuk memiliki gadis kampung yang macam aku.
Kenapa? Kami bukannya kenal. Kami juga tak pernah berbual mesra. Panggilan
malam dulu tu, itulah sekali. Pelik!
Berjambang?
Hish! Teringat aku apa yang dia kata. Teringat juga lelaki di stesyen bas tu.
Tak mungkin, Haikal orang KL dan lelaki itu memang selekeh kerana kerjanya macam
orang mengukur jalan.
SEJAK lepas majlis nikah dan kemudian
terus makan berdamai tadi, bilik ni macam bilik aku dan Mak Su yang punya.
Kalut nak berdua dengan Haikal, buat aku memaksa Dina bermain sahaja di dalam
bilik ini. Sanggup semua dulang hantaran Haikal, aku minta diletakkan di bilik
mak tok. Tak sangka, Dina memang buat aku ketawa. Dina juga menghindarkan aku
dari ayahnya. Bila mak tok dah bising sebab aku asyik duduk dalam bilik, nak
tak nak terpaksa juga aku keluar.
“Ingat
nak menyorok sampai malam…” sempat Haikal memerli. Kot? Ke mengusik?
“Suami
didahulukan, anak diutamakan!” Mak tok menyergah sebelum sempat kakiku mencecah
tanah tadi.
Aku
rasa nak tepek aje muka dengan bedak sejuk. Apa bezanya? Macam sama berat aje
tugasnya. Pening! Dahlah aku kalut nak ingatkan Haikal tentang ‘date’ terakhir
aku esok. Mengingatkan Ayun, aku jadi muram. Aku bimbang, saat ini Ayun muncul
merayu aku kembali padanya. Manalah tahu! Ruginya aku… Ayun lelaki yang aku
cinta… Haikal lelaki yang aku baru jumpa… Payah! Aku pusing tubuh. Tak ada mood
nak salam dengan tetamu. Tiba-tiba tanganku diraih…
Bukan
tangan mak tok. Mak tok ada kat atas rumah. Tangan itu aku dah sentuh pagi
tadi. Tangan itu juga yang asyik menggenggam tanganku ketika kami makan
berdamai tadi. Aku tahu. Rasanya sama. Maksud aku, rasa getar di dada ini sama
setiap kali kami bercakap atau bersentuhan. Cuma kami belum pernah bertentangan
mata. Itu sahaja. “Teman abang…” Sah! Memang dia. “Dina dah ada yang teman kat
atas. Abang ni seorang-seorang aje. Tehah tak kesian ke?”
Aku
tarik nafas panjang-panjang. Aku pusing tubuh. Aku pandang pada tetamu yang
sibuk menikmati hidangan. Kendurinya tak lah besar mana. Tapi meriah. Mungkin
sebab mak tok orang lama di Kampung Lapis Darat ni.
“Pandang
abang!” Dia buat permintaan lagi.
Tuhan!
Kenapa dengan Ayun dulu aku tak rasa macam ni? Tak sanggup! Masa sarung cincin
pun aku tunduk aje. Memang belum sanggup. Aku dah tak kisah. Dia lebih tinggi
dari aku yang tak berapa nak tinggi ni. Paras dada dia aje. Maka, anggota lain
tu, aku anggap aje sempurna.
“Tehah!”
panggilnya. “Berat sangat rantai yang abang beri pada Tehah ya… sampai asyik
tunduk aje…” Sempat dia mengusik.
Meremang
bulu roma mendengar ayat itu. Teringat masa dia nak menyarungkan rantai ke
leher aku. Segan tak usah nak cakap. “Awak…” panggilku pula. Mampu juga aku
bersuara akhirnya. “Jangan paksa saya boleh?”
“Abang
tak paksa…”
“Err…
Jangan mintak-mintak boleh?” pintaku lagi.
“Abang
tak perlu mintak dah!” potong dia. “Tehah memang dah abang punya…” Jariku
diraihnya lagi. Diramas perlahan.
Sungguh,
aku rasa nak putus nyawa!
“Amin!”
panggil ibu mertuaku yang muncul dari belakang.
Aku
menoleh padanya. ‘Siapa Amin?’ soalku dalam hati.
“Ya,
mama…” sahut Haikal.
Ketika
itulah aku memandang wajahnya buat kali pertama. Haikal? Amin? Setahu aku
namanya Haikal.
“Nama
abang Haikal. Mama panggil abang Amin…” bisiknya. “Itu nama manja… Tehah nak
panggil Abang Amin pun, abang suka…”
Bulat
mataku memandang dia. Dalam pada masa yang sama aku merah muka.
“Jangan
tenung abang macam tu…” usiknya.
Aku
tundukkan kepala. Malunya!
“Tehah…”
panggil ibu mertuaku pula. “Dengan Amin, kena tahan hati sikit. Dia suka
menyakat orang…”
Haikal
ketawa. Aku pula memandangnya lagi. Terpesona? Ya! Tiada apa yang kurangnya
dia. Wajahnya bersih. Bercermin mata. Berjanggut nipis sejemput. Persis
golongan agamawan. Aku? Aku bukan ‘ustazah pilihan’…
“Mama
nak balik dah…” beritahu ibu mertuaku dalam senyuman.
Aku
kerut dahi. “Sekarang? Baru pukul 4.30… Mama baliklah lambat sikit,” pintaku
manja. Biar Haikal sibuk layan keluarga dia sebenarnya.
“Suami
Sofea yang bawa kereta. Memang dia muda dari Tehah. Tapi, rabun teruk. Bila
malam, susah nak agak kereta lain jauh atau dekat…” beritahu mama.
Sofea
adalah adik Haikal. Mereka hanya berdua beradik. Ayahnya sudah meninggal.
“Mama
tunggu Tehah di KL. Tak sabar nak duduk serumah…” beritahunya.
Entah
mengapa hatiku sebak.
DINA meragam malam itu. Mak Su
tertinggal selimut busuknya. Kalut aku membantu Haikal menidurkan anak. Rumah
kampung seperti ini, dalam keadaan yang sunyi sepi, aku pasti, sampai selang
tiga empat rumah mampu mendengar Dina menangis.
Puas
didokong, dia tak mahu tidur juga.
“Kenapa
tak bawa buai?” soalku hairan. Mak tok sebenarnya dah minta Cikgu Leman ketukkan
paku kat alang siling untuk sangkut tali buai.
“Abang
memang tak guna buai…” beritahu Haikal. “Selalunya abang dukung dan dodoi macam
ni aje. 10 minit dia dah lena…” Memang dia lelaki luar biasa, anak menangis
macam nak rak, dia tenang aje macam tak ada apa-apa.
“Saya
dokong…” pintaku.
“Tak
apa ke?” soal Haikal. Dia mungkin kerisauan. Dia tahu, aku bukannya ada
pengalaman pun.
“Bismillah!”
ucapku sebaik Dina aku dakap. “Anak ibu, tenang ya…” Kutepuk punggung Dina
perlahan. “Ibu adakan…”
Tangisannya
makin menjadi. Aku kerut dahi. Kubelek pehanya. Ada bintat besar. Aku belek
lagi. Terjumpa makhluk ALLAH yang kecil tapi…
“Semut
gigit dia…” kataku kegeraman. “Merah! Halus! Awak kibas katil tu…”
Haikal
terus sahaja mengikut arahanku. Dia juga mencapai tiub krim lalu diserah
padaku.
“Dah,
Dina!” pujukku. “Dah! Sayang jangan nangis. Ayah dan ibu dah letak ubat. Dah
buang semua semut juga…” Kutepuk punggungnya perlahan hingga dia diam dan
selesa. Haikal mendekati lalu memeluk kami berdua. Aku segan namun aku tunduk
sahaja. Sambil itu, dia mendodoi dengan suara rendah yang menenangkan. Ambil
masa tetapi akhirnya anak kami lena.
“INILAH ujian malam pertama,” ucap Haikal
dalam suramnya cahaya malam. Sudah sejam Dina kubaringkan di atas katil dengan
aku-aku sekali terus landing. Terus
juga aku pejamkan mata cuma mataku tak mahu lena. Sekadar pura-pura tidur. Letih
badan! Dua hari rehat tak cukup siapkan itu ini. Bagiku, Haikal patut bersyukur
kerana aku beri kerjasama yang sepatutnya sebagai seorang ibu. Sebagai isteri?
Aku tahu, hatiku berbolak balik lagi.
“Al-Fatihah!”
sebut Haikal tiba-tiba.
Tanpa
sedar dengan mata terpejam, mulutku terkumat kamit membaca ibu Al-Quran. “Amin…”
ucapku perlahan.
“Ya,
sayang!” sahutnya. “Abang Amin di sini…”
Nafasku
terhenti. Lakonanku tak menjadi. Dia mengusik aku sebenarnya. Fatihah adalah
namaku. Amin adalah nama manjanya. Aku buat muka kaku beku. Suasana diam buat
aku lega. Dia mengalihkan pembaringan, tetapi aku tak tahu macamana gayanya.
Aku tak sanggup nak buka mata.
“Comel!”
puji Haikal.
Aku
tetap diam membatu. Dia tentu memuji Dina. Maka, aku buat tak dengar. Tanganku tetap
memeluk Dina yang menjadi sempadan antara kami. Wanginya bau anak ini. Tak mahu
sedetik pun aku berpaling dari dia.
“Manja!”
kata Haikal lagi.
Otakku
mula menerawang ke kanan kiri. Bilalah dia nak tidur? Ikut cara dia hari itu,
memandu dari Parit Sulong ke KL pun terpaksa berehat sebelum ke klinik. Mungkin
memandu itu penat. Tetapi, bukan ke doktor yang duduk klinik tu banyak rileks? Hai…
Entahlah!
“Nakal!”
ucap Haikal lagi.
Hatiku
mula hangat. Sudahlah ini malam pertama dia dan anaknya berkongsi bilik dengan
aku. Takkan tak nak tidur. Aku pulak macam tak boleh lena. Terasa macam ada
CCTV yang tak boleh nak aku padamkan. Sudahlah macam tu, macam ada komentar
sukan pulak! Aku tahu, Dina memang comel. Dina memang manja. Dina juga ada gaya
nakal. Walau kami belum 24 jam bersama, aku kenal Dinaku. Tak perlu sesiapa nak
komen pada jam 1.30 pagi. Esok aku nak bangun awal, ada misi putuskan cinta
untuk aku lebih bahagia. Aku tak mahu ada rasa ralat. Aku tak mahu ada rasa
sesal. 12 tahun sebagai kekasih Ayun, aku mesti ucapkan perpisahan sepenuh hati
sampai aku puas hati.
“Comel!
Manja! Nakal!” puji Haikal berdas-das. “Ibu dengan anak sama aje…”
Mukaku
merah. Dia maksudkan aku ke? Tuhan!
Sesaat
kemudian dia ketawa. “Terima kasih sebab sudi terima abang dan Dina. Kami dapat
rasakan yang Tehah akan membahagiakan hidup kami. Baru hari pertama pun, kami
dah ceria! Tidur ya, sayang. Assalamualaikum!”
Mula-mula
aku terharu mendengar ucapannya. Ceria? Itu pujian Ayun buatku, namun entah
mengapa aku rasa rela mendengarnya dari dia. Kemudian aku terkedu sebaik dia
mengusap lembut tanganku yang sejak tadi memeluk Dina erat sekali.
Bila
aku boleh tidur ni?
PAGI itu aku kalut. Ada saudara jauh
kami, Kak Noi dan keluarganya yang belum bertolak balik. Walhal, sarapan sudah
kuhidang seawal mungkin. Dina juga sudah kumandi dan siapkan. Dia memang anak
yang tak cerewet. Mandi air sejuk pun tak menangis. Bukanlah sejuk sangat pun!
Terpaksa
pula menunggu Kak Noi menggosok baju untuk dia sekeluarga. Aku mula merasa
stress. Menyesal kerana tidak menyiapkan baju orenku lebih awal.
“Mak
tok tinggal seoranglah bila Tehah ikut suami dia balik KL?” soal Kak Noi.
“Ha’ah,
Noi!” jawab mak tok. “Kamu jangan risau. Nek Jenab tu dah jadi sedara. Apa-apa
hal aku panggil dia aje…”
Aku
yang mendengar dari dalam bilik mula panjang muncung. “Kalau kerja dengan
bercakap, bila nak selesai…” bebelku sambil menendang lembut pada pintu almari.
Sekadar mahu melepaskan perasaan. Aku nak sterika baju. Baju oren tu, mesti
disterika. Kalau tak, retak seribu.
“Kenapa
sayang resah? Kenapa sayang tak siap lagi?” soal Haikal yang baru masuk ke
bilik. Dia sudah bersiap. Kemas gayanya. Berslack dan kemeja lengan pendek.
Aku
geleng kepala. Baju kurung dalam tangan aku ramas kuat tanda geram. Segan
menunjukkan perangai yang entah apa-apa, aku duduk di birai katil memerhatikan
Dina yang leka bermain sendirian. Aku tersenyum tawar pada anak itu.
“Up!” ucap Haikal.
Aku
panggung wajah. Tak faham.
“Berdiri!”
suruhnya.
Aku
akur dengan lemah. Terkejut aku sebaik dia memelukku erat. Puas kutolak
tubuhnya tapi tak berdaya.
“Hanya
suami yang mampu hilangkan resah isteri, insya-ALLAH!” ucap Haikal perlahan.
Dia mendodoi seolah-olah aku ini Dina.
Mula-mula
hatiku hendak memberontak, dalam sesaat aku lega. Dia faham keresahan hatiku.
Andai dia tahu apa urusanku ke bandar, apa agaknya yang dia rasa? Adakah dia
pula akan merasa resah sebagaimana yang aku rasa? Aku maklum, aku isteri. Mengucapkan
selamat tinggal kepada kekasih lama? Bagaimana? Hatiku sebak hingga akhirnya
aku menangis teresak-esak. Lebih-lebih lagi bila jam berdenting lapan kali. Aku
tahu aku sudah terlewat.
“Tehah!
Kak Noi dah siap guna sterika!” jerit Kak Noi dari luar.
“Abang
ambilkan bawa masuk dalam bilik…” beritahu Haikal lantas mengucup dahiku.
Sempat jarinya menyentuh air mata di pipi.
“Ya,
ALLAH!” jeritku kuat sebaik sterika kuletakkan. Baju kurung orenku langsung
hangus berlubang. Di bahagian pinggang pula tu. Mungkin Kak Noi menggunakan
tahap kepanasan yang paling tinggi. Aku pula terlalu terburu-buru hendak
mengejar masa.
“Sayang
pilih baju lain. Abang ganti baju sayang nanti…” pujuk Haikal. Wajahnya menunjuk
simpati.
Aku
menggeleng. “Takkan sama…” tangisku. Kenapa ini yang terjadi? Pada pertemuan
yang terakhir pula. Apa maknanya ini semua?
“Bajunya
memang takkan sama,” ucap Haikal tiba-tiba. “Orangnya masih sama. Cintanya
masih sama. Paling penting… setianya masih sama…”
Aku
memandang padanya dengan kerut di dahi. Apa maksud kata-katanya?
“Cepat!
Cari baju lain…” gesanya. Gelagatku tidak diendahkan. “Atau pakai aje baju yang
abang bawa dari KL semalam…”
Lagi
aku kerut dahi. Tak gamak! Itu baju dari dia, takkan aku pakai untuk Ayun?
Haikal
membuka almari. Baju dikeluarkan dari dalam plastik. Dia yang memilihkan yang
mana satu untuk kupakai.
Cantik!
Aku akui. Aku sudah membeleknya semalam. Kain lembut yang aku tak tahu apa.
Tanah putih berbunga halus warna oren.
“Tudungnya
ini!” suruh Haikal lagi. Pandai dia memilih tudung sepadan.
“Awak…”
ucapku serba salah. Apatah lagi sebaik kudengar bunyi bas yang sudah terlepas.
Aku tahu aku perlu tunggu satu jam lagi. “Saya nak ke bandar untuk…”
“Cepat!”
potong Haikal.
Aku
geleng. Aku tak sampai hati. “Saya ke…”
“Abang
tahu…” ucapnya perlahan dalam senyuman. “Abang tahu Tehah dah lambat. Abang
akan hantarkan. Cepat siap! Nanti bertambah lambat…”
Aku
geleng. Aku mahu dia dengar. Kedua lengannya aku genggam. “Saya tak sanggup
pakai baju yang awak bagi sebab…”
“Abang
tahu…” Dia potong lagi. “Abang tahu Tehah nak tunggu Ayun…”
Aku
bulat mata. “Awak tahu pasal err… Ayun?” soalku. “Dari siapa?” Keluar tak
keluar suaraku.
“Dari
Ayun!” jawabnya perlahan.
“Dari
Ayun?!” soalku ingin kepastian. “Awak kenal Ayun? Awak jumpa dia? Di mana?”
“K-City.
Ayun pelajar degree kat sana kan?”
Aku
angguk laju.
“Abang
pelajar master di UK. Abang pernah buat penyelidikan kat sana lebih kurang tiga
bulan. Abang buat medical tetapi abang
perlu bantuan dia. Dia pakar dalam bidang system
engineering. Tak padan dengan budak degree. Abang memang banyak jumpa dia
dalam tempoh tu…”
Aku
ternganga. Sesak dada mendengar berita ini. “Dia ada di mana sekarang?”
“Dia
dah tak ada, Tehah…” beritahu Haikal. Perlahan suaranya. Tenang wajahnya. “Dia
dah meninggal! Membawa bersama cinta Tehah dan kesetiaannya…”
“Meninggal?”
soalku tak percaya. Air mata di pipi jatuh bagai dijemput.
“Kemalangan.
Ada orang mabuk langgar dia…” beritahu Haikal. “Dua hari sebelum dia
dijadualkan balik ke sini…”
“Lima
tahun saya tunggu dia kat tempat yang kami janji…” Tersekat nafasku.
“Abang
tahu!” Haikal memelukku erat. “Anggap ini salah abang. Maafkan abang ya…”
Aku
sudah tak mampu dengar. Tubuhku longlai. Dunia jadi gelap gelita.
AKU mengerling pada lelaki di
sebelah. Dia khusyuk membaca buku. Aku perhatikan pula Dina yang lena di
pangkuan. Polos wajahnya buat aku semakin sayang. Kami di dalam perjalanan
pulang ke KL. Pemandu Haikal bernama Adnan yang memandu. Rupanya dialah mamat
‘ukur jalan’ yang tiga bulan ini memerhatikan aku bagi pihak bosnya.
Masih
kuingat wajah mak tok yang sedih ketika kutinggalkan. Dia tidak mahu
mengikutku. Katanya, jiwanya sudah sebati dengan udara Kampung Lapis Darat. Dia
mahu mati dekat dengan suami, lebih berkat, guraunya. Haikal pula berjanji
padaku yang kami akan memujuk mak tok tinggal bersama kami di KL dari masa ke
semasa. Aku ikutkan sahaja. Lagipun, kami mengejar masa.
Aku
kerling lagi lelaki yang meminta maaf padaku awal pagi tadi. Untuk apa memberi
kemaafan pada lelaki yang tidak bersalah pun sebenarnya. Malah, dialah yang
menemankan aku duduk sebentar di kerusi ‘milikku’ di stesyen bas Batu Pahat
tadi. Tanganku yang berinai hingga separuh lengan dipegang erat tanda dia
memberi kekuatan padaku mengucapkan salam perpisahan. Perpisahan yang terlewat.
Aku dan Khairul Wafiy sudah berpisah lima tahun dulu rupanya. Sungguh Haikal
memang tidak bersalah.
Kenapa
Haikal tidak bersalah? Dia tahu Ayun ada kekasih. Ayun pernah bercerita tentang
janji datingnya denganku kepada
Haikal. 10 haribulan setiap bulan. Cuma Haikal tidak tahu namaku siapa. Jumpa di
mana. Pukul berapa. Entah mengapa, Ayun ada menulis surat buat Haikal. Meminta
dia mencari aku andai apa-apa berlaku padanya kerana cinta kami cinta rahsia.
Keluarga Ayun tidak tahu menahu langsung.
Sayangnya
surat itu lambat sampainya. Empat tahun setengah mengambil masa untuk tiba ke
tangan Haikal. TakdirNYA surat itu terselit di celah meja di pejabat pos kecil
di mana surat itu Ayun poskan. Nampaknya, dalam kemajuan negara Eropah yang
diagung-agungkan, human error tetap
berlaku. Tentu sekali Haikal menerima surat itu dengan ribuan kemaafan dari
ketua pejabat pos di sana.
Aku
kerling lagi pada Haikal. Jika surat itu sampai mengikut tarikh sepatutnya,
kami mungkin tidak akan bersama seperti sekarang. Haikal sudah ada kekasih,
yang kemudian menjadi ibu yang melahirkan Dina. Syafiza namanya. Haikal mungkin
muncul di Kampung Lapis Darat sekadar untuk memaklumkan kepada aku yang Ayun
sudah tiada dan life must go on…
Haikal
beritahu aku ketika surat itu sampai, dia merasa pelik. Permintaan Ayun luar
biasa sifatnya untuk lelaki seperti dia. Mereka tidaklah terlalu rapat. Malah,
mereka tidak saling berhubung sejak penyelidikan Haikal selesai. Kerana surat
itu, Haikal cuba mencari Ayun tetapi gagal. Hingga dia terjumpa salah seorang
rakan sekuliah Ayun. Ketika itu, dia ada seminar perubatan di Singapura. Barulah
dia tahu yang Ayun sudah tiada dan dia harus menjalankan tanggungjawabnya iaitu
mencari aku dan memaklumkan perpisahan ini.
Haikal
juga tidak segan untuk mengakui waktu itu dia juga sedang buntu bersendirian
dan kesepian. Anaknya masih kecil. Ibunya makin tua. Adiknya, Sofea sudah ada
kehidupan sendiri. Dia memang perlukan isteri yang selayaknya untuk membantu
dia menjaga semua tanggungjawab yang ada.
Aku
katakan pada Haikal, pendidikanku setakat STPM sahaja. Aku bukan doktor seperti
Syafiza. Jauh sekali pakar psikologi seperti mamanya. Aku penoreh getah yang
hidupku menyembah pokok pada subuh buta mencari rezeki untuk keluarga.
Haikal
memberitahuku, dalam surat Ayun ada tertulis, aku sudah dipersiapkan untuk
menjadi isteri dan ibu. Ayun yang merencana, aku pula mengikut sahaja. Kerana
itulah, Haikal memilih aku. Gadis biasa-biasa yang tiada apa-apa.
Aku
bimbang Haikal menyesal. Sendirian aku keresahan memikirkan kemampuan diri. Ilmu
agama? Panggil sahaja ustazah. Memasak? Lantik sahaja chef. Menjahit? Fashion designer ada merata-rata. Haikal
mampu menggaji mereka semua.
“Setia!”
ucap Haikal tiba-tiba buat aku mengangkat wajah lalu memandang padanya. “Jika
Tehah mahu tahu nilai apa paling mahal pada Tehah yang buat abang jatuh cinta, Tehah
setia! Abang nikahi Tehah dulu baru beritahu hal ini kerana abang cintakan
Tehah, bukan kerana abang simpati. Abang juga minta tok long mengaku dia yang
pilihkan Tehah untuk abang. Abang nak Tehah terima abang atas apa juga alasan.
Abang kagum kerana Tehah setia tanpa sebarang ganjaran cinta. Dulu mungkin setia
Tehah untuk Ayun. Sekarang dan selamanya, untuk abang… Insya-ALLAH!” Yakin
pengucapannya. Mata kami bertentangan. Redup pandangannya padaku.
“Maafkan
Tehah, abang!” ucapku perlahan. “Tehah mulakan hubungan kita sebegini…”
Haikal
menyentuh jarinya ke bibirku. “Ceria Tehah untuk keluarga kita! Setia Tehah
untuk abang…”
Aku
setakat mampu mengalirkan air mata yang kemudian Haikal lapkan perlahan dengan
saputangan yang aku hadiahkan. Aku meredhakan apa yang terjadi pada diri. Memandang
ke hadapan dengan tenang bersama Haikal a.k.a ‘Amin’ yang mencintaiku dan Dina
Zihani yang mendambakan kasih sayangku. Dan aku? Aku bertekad untuk memberikan
segala yang aku ada pada mereka. Oren itu ceria! Cinta mesti setia!
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
5/24/2014 06:53:00 am |
Category:
Cerpen 3 : Oren Itu Ceria - Cinta Mesti Setia
|
5
comments
Comments (5)
suka...love it...terharu...sedih...nak nangis...(itu yg sy rasa...)
Suba: cerita memang best! ;) suka! :) got value :)
Sesungguhnya kesetiaan itu ada ganjarannya.. tidak semesti dgn apa or sesiapa... kerana kesetiaan... kejujuran itu rakan baik kepada kebahagiaan hakiki...
Hanya Allah pengatur segala... kerana jodoh Fatihah hanya untuk Amin... krn itu surat Ayun untuk Haikal Allah selitkan di sesuatu tempat... krn jodoh itu belum lagi melangkah
Tahniah Iza... good luck for ur new superd idea..
Ikhlas dri kak itasukri
Sedihnyaaaa
Marlina Mukhtar, Amoi, Ita Sukri & Juridah,
Terima kasih sudi komen. Kak Iza pun menangis juga baca cerpen ni. Tapi, terubat dengan kelemahlembutan Dr. Haikal... Hadiah dari ALLAH buat Tehah yang sabra. Dapat Dr, Haikal yang baik dan anak 'ekspress' yang comel.