Bas nombor 11A sudah kunampak dari jauh. Tersenyum aku kerana orang yang menunggu tak ramai awal pagi ini. Pasti aku boleh mendapat tempat duduk dan boleh lena sepanjang perjalanan ke Damansara Astreae. Biasanya, tempat duduk yang ada tidaklah banyak mana. Bekerja di kawasan KL macam inilah. Semuanya berkejaran hingga aku tidak tahu apa yang tak perlu aku kejar. Aku bingkas berdiri untuk menahan bas.

Pemandu yang tak berapa sivik memberhentikan bas jauh ke hadapan. Aku terpaksa berlari pantas untuk mengejar. Belum sempat aku berpaut pada pemegang di pintu, seorang lelaki muda telah mendahuluiku hanya beberapa saat.

“Hello!” Pantas aku menyergah. Sakit hati dengan lelaki yang tiada adab ‘Ladies First’. Dia pula sekadar buat muka selamba.

Hanya satu tempat duduk yang tinggal. Dengan selamba juga dia duduk menyebabkan aku akhirnya terlepas. Bas yang berhenti mengejut setelah bergerak tak jauh mana buat aku terpaksa berpaut pada kerusi yang dia duduk. Nak tak nak aku tiada pilihan selain menghadap dia yang kini sibuk memakai tali leher. Fail berisi sijil dikepit dengan dua kepala lutut buat aku menyimpan senyuman.

‘Kalut nak ke interviewlah ni…’ desis hatiku. Ikut hati yang panas, nak sahaja aku sumpah dia yang mengambil hakku, biar dia gagal dalam interview. ‘Astaghfirullah!’ ucap hatiku yang tiba-tiba disimbahi rasa kasih sayang pada sesama insan.

“Senget!” ucapku sendirian untuk diri sendiri. Tak sangka aku boleh sebaik ini pada awal pagi. Sebenarnya, urusan mendapatkan tempat duduk di dalam bas, bagiku, memang urusan serius.

Lelaki itu angkat muka. “Kenapa, kak? Tie ni senget?” soalnya selamba.

“Hello!” sergahku lagi. “Awak panggil saya kakak?”

Dia tersengih. “Senget ya?” soalnya sambil menuding ke arah ikatan tie di lehernya.

“Otak awak yang senget!” marahku. Perlahan-lahan aku berjalan meninggalkannya lantas berpaut pada tiang yang jauh di hadapan. Sampai ke sudah aku tak mendapat sebarang tempat duduk. “Ya ALLAH! Janganlah aku dipertemukan dengan mamat senget tu lagi…” pintaku jauh di lubuk hati.

 

ALLAH memang memakbulkan permintaanku, tetapi bukan sekarang. Lelaki yang sama muncul di kaunter penyambut tetamu yang aku jaga sejak setahun dulu.

“Eh, kakak!” panggilnya dengan hati senang.

Aku tersenyum. Terpaksa sebenarnya kerana kamera CCTV betul-betul menghala ke arah kaunterku 24 jam sehari buat selama-lamanya. Bos besar aku nampak apa sahaja yang aku buat! “Nama encik? Ada appointment untuk jumpa siapa?”

“Asyraf…” jawabnya dengan senyuman. Matanya tajam memandangku.

“Encik Asyraf nak jumpa siapa?”

“Puan Elly dari HR. Ada interview untuk jawatan secretary…”

Aku menahan senyum. Lelaki kacak macam ni nak mohon jadi sekretari. ‘Pelik!’ Hatiku mula mengata. “Jemput duduk, Encik Asyraf!” Senyuman manis buat CCTV aku hadiahkan.

“Terima kasih,” balasnya. Matanya masih memandang ke kanan kiri. Sofa pelbagai warna yang berderet tidak menjadi perhatian. Dia setia berdiri sambil jari jemarinya bergendang di meja kaunterku. Kemudian, dia pandang padaku semula. “Kakak yang saya jumpa dalam bas kan tadi?” Sengaja dia tanya lagi. Mungkin dia inginkan kepastian.

Aku angguk. Sambil itu, skrin komputer aku sentuh. Kekunci HR aku tekan, mesej kepada Puan Elly, Pengurus kanan jabatan, selamat aku hantar.

“Macam pernah jumpa ya?”

Aku menahan kerut di dahi. “Taktik klise nak mengurat perempuanlah ni!” ejekku di dalam hati.

Puas bergendang, dia berjalan memerhatikan lobi pejabat kami yang dindingnya 100% cermin. Berada di sini, sesiapa pun akan puas membelek diri sendiri.

Aku ke pantri di belakang, minuman panas aku sediakan buat encik bakal sekretari. Bolehlah dia membasahkan tekak sebelum sesi temuduganya nanti. “Encik Asyraf, minuman untuk encik…”

Dia menoleh, lantas memandang pada secawan teh O yang aku sediakan. “Saya tak minum teh. Takut perut kembung. Boleh tolong buat Neslo tak, kak?”

Aku menahan agar dahiku tidak berkerut. “Neslo?” Dia memang banyak cengkadak!

Encik bakal sekretari mengangguk. “Ada biskut sekali tak?”

Kali ini aku memang ternganga!

 

TAJAM mataku memandang betapa mesranya Puan Elly berbual bersama Asyraf sebaik keluar dari bilik perbincangan itu tadi. Melihat betapa manis wajahnya ketika berbicara, aku boleh mengagak, dia tentu sudah lulus temuduga. Tak mustahil dia seorang sweet talker, pandai membodek!

Sambil bercakap, dia gemar menyentuh pin tali lehernya beberapa kali, menarik hujung lengan kemejanya, membetul-betulkan kekemasan pakaian di tubuh dan entah apa-apa lagi buat aku rasa, ‘Ewww!!! Dia memang lelaki pelik!’

Beberapa minit kemudian, mereka berjalan ke arahku. “Balqis!” panggil Puan Elly.

“Ya, puan!”

“Err… Ini Asyraf. Esok dia masuk kerja as a secretary to Cik Puan Suhaila. Awal pagi esok, awak panggil Cik Sally untuk briefing pada dia ya. Sediakan bilik discussion juga,” arah Puan Elly tegas seperti biasa.

“Baik, puan!” balasku dengan senyuman. Pelik! Biasanya Cik Puan Suhaila akan menemuduga calon setiausahanya sendiri. Tetapi, nampaknya tidak untuk kali ini.

Asyraf kulihat hanya mengangguk sebelum keluar melalui pintu utama.

‘Habislah engkau jadi sayur. Cik Puan Suhaila tu janda beranak satu yang garang macam mak singa. Kau pulak budak-budak stok mamat suci yang layak kena buli!’ desis hatiku sendirian.

“Kau rasa, budak tu boleh tahan kerja kat sini berapa lama?” soal Minhat si mat dispatch yang muncul untuk mengisi borang keluar pejabat.

“Seminggu…” balasku selamba. “Kau rasa?”

“Tiga hari! Siapa salah, kena belanja makan…” jawabnya lalu terus berjalan keluar.

Aku sekadar tersenyum. Sudah hampir enam bulan CEO kami, Cik Puan Suhaila tidak bersetiausaha. Setiausaha lamanya, Ida, bersalin anak sulung kembar tiga lantas berhenti kerja untuk menjaga anak-anak sendiri. Sejak itu, Cik Puan Suhaila terpaksa mencari setiausaha pengganti. Dia hanya mahu setiausaha lelaki. Muda dan kacak untuk sepadan dengan gayanya yang ranggi.

Komitmen Cik Puan Suhaila terhadap kerja memang tiada tara. Dia selalu sampai awal di pejabat dan balik lewat malam. Tegas dalam memastikan setiap projek dilaksanakan dengan sempurna. Staf operasi kata, orangnya garang juga.

Cik Puan Suhaila baru bercerai awal tahun ini. Dengar cerita, suaminya jatuh cinta dengan PA sendiri. Sejak bercerai, Cik Puan Suhaila mahu dipanggil cik puan. Mengapa? Faham-faham sahaja… Selain itu, dia semakin ligat bekerja. Tegas dan garangnya naik tahap juga. Orang kata itu tanda dia kurang kasih sayang!     

Sepuluh minit hidupku tenang, Asyraf muncul semula. Berkerut dahiku memikirkan apa lagi yang dia mahukan.

“Kakak, err… boleh tolong saya?” soalnya.

“Panggil saya, Balqis,” jawabku serius. Melihat wajahnya yang semacam, aku menyambung bicara, “Ada masalah apa, Encik Asyraf?”

“Kakak, tolong saya tengok bilik discussion tadi. Wallet saya ada tak? Saya tengah tunggu bas, baru perasan wallet saya tak ada…” pintanya.

Sungguh! Dia panggil aku kakak dengan nada meleret manja macam anak bongsu, dia ingat aku apa... Tetapi, mendengar permintaannya, aku terus anggukkan kepala. Memang sekali sekala, tetamu kami tertinggal barang, tetapi wallet? Belum pernah!

Aku menggamitnya mengikutku ke Bilik Perbincangan 1. “Tengoklah, ada tak wallet encik…” Aku memberi dia peluang mencari walletnya sendiri. Hari ini aku berbaju kurung moden berwarna serba merah. Dengan kasut tinggi sepadan, takkan aku nak cari nahas membuat gaya yang menjatuhkan tahap divaku.

Tertunduk-tunduk dia mencari bawah meja dan di atas kerusi. Melilau matanya buat aku merasakan wallet yang dicari tiada di situ, “Tak adalah, kak…”

Kakak lagi! “Tak ada sesiapa masuk bilik ni selepas sesi Encik Asyraf dan Puan Elly tadi,” beritahuku dengan suara dingin. “Ada duit tak nak balik rumah?”

Dia menggeleng. “Err… Kaaaak… Boleh saya pinjam RM10? Esok saya bayar…”

Aku mengangguk. Panggilan manja sepanjang lima harkat memang buat telingaku berapi. Tetapi, aku tak sampai hati nak menunjuk muka lain selain simpati. Segera aku membuka laci di bawah kaunter, purse serba kuning aku capai. “Nah! RM20 untuk duit tambang dan makan. Saya tak nak Encik Asyraf terpaksa berlapar pulak nanti!”

 

SIAPA sangka hujan lebat turun semasa dalam perjalanan pulang. Maklum, sudah sebulan bumi KL kekeringan. Aku sudah mula kerisauan kerana bimbang banjir kilat. Benar seperti yang aku duga, jalan utama untuk masuk ke taman perumahanku banjir dengan air berkeladak. Tiada pilihan lain, aku harus duduk menunggu di pondok perhentian bas untuk menunggu hingga air surut dan selamat untuk kuredah. Melihat pada kasut tinggi tiga inci yang tersarung di kaki, aku kerut dahi. Ini kasut kesayangan yang aku beli dengan duit gaji pertama. Tak mungkin aku rosakkan dengan air banjir. Aduh!

Rembang bertukar malam. Hujan yang turun pula makin menggila. Angin bertiup kuat buat aku kesejukan. Bersin! Dan bersin lagi! Aku cuak. Ikut petua ayah, jika kita sihat dan terbersin tiga kali, aku mungkin akan kena selsema.

“Kak!” panggil satu suara.

Aku mengerut dahi. Cahaya cukup makan dari lampu jalan buat aku nampak bayangan sesorang. Namun, payung besar menutup mukanya. Dan tiba-tiba… Asyraf?

“Kaaak…” Dia panggil lagi dengan gelaran yang cukup tak sesuai buatku. Meleret dan manja buat telingaku tegak mendengarnya. Tergesa dia menutup payung dan melurut titisan air hujan di rambut.

“Awak?” soalku lagi kerana tidak percaya.

Dia mengangguk. “Nah… Roti dan Air milo panas…” Dua bungkus roti berperisa dengan satu mug termos dihulurkan pada aku.

“Awak datang dari mana?” soalku kepelikan. Pakaiannya cukup santai dengan t-shirt dan seluar trek yang panjang. Tekakku pula sudah mula menelan-nelan air liur melihat apa yang ada di tangannya. Lapar? Tentu. Aku kesejukan dan kelaparan.

“Rumah…” Rumahnya yang terletak di seberang jalan ditunjukkan. Kawasan rumahnya lebih tinggi. Tak mungkin banjir. “Tapi rumah bujang. Saya tak jemput sebab akak tak boleh masuk…” Tersenyum manis dia. “Ambillah! Air milo tu saya buat sendiri…”

Aku menyambut apa yang dia hulur. Kami sama-sama duduk. Tak jauh dan tak dekat. “Macamana boleh nampak saya dalam hujan? Lebat ni…”

“Taklah nampak jelas…” sahutnya. “Baju akak ni merah sangat. Macam kotak hitam yang keluar bunyi ‘ping’ minta diselamatkan…”

Bulat mataku. Aku disamakan dengan kotak hitam pesawat? Gasaklah dia dengan perumpamaan yang macam-macam. Aku dah sibuk mengisi perut yang memang lapar sejak tadi.

“Alamak! Duit RM20 tertinggal pulak atas meja…” katanya tiba-tiba sambil menggaru-garu kepala.

“Esok aje bayar…” jawabku. Tak tersangka pun akan berjumpa dia lewat malam ini.

“Denda bayar hutang lambat… saya temankan kakak sampai hujan berhenti ya…” jawabnya dengan senang hati. Kakinya diayun lembut seolah dingin malam tak menjadi hal.

Aku sekadar mengangguk. Akhirnya, habis roti dua bungkus dan air milo panas satu mug termos. Aku cuci bekas dengan air hujan yang macam tak nak reda. Segera kuunjukkan padanya. “Terima kasih.”

“Tak payah ucap terima kasih. Termos pun tak payah pulang!” katanya. Tersenyum dia memandangku. “Esok kakak bawa aje ke ofis.”

“Hah?!” Pelik dengan arahan encik sekretari Cik Puan Suhaila.

“Setiap pagi, akak buatkan saya air Neslo macam pagi tadi ya… Sedap!” beritahunya dengan senyuman manja bak kanak-kanak ribena.

Mak aiii!!!

 

ESOKNYA, kami menaiki bas nombor 11A bersama-sama lagi. Kali ini, dia sudah lengkap dengan tali lehernya malah memegang vest di tangan. Beg sandang berwarna hijau tentera tersangkut kemas di bahu. Sedikit dewasa dari semalam. Kami sama-sama mendapat tempat duduk. Saling bersebelahan pula.

“Hutang semalam…” Not berwarna oren yang berlipat diserahkan kepadaku.

“Terima kasih.” Duit kuselit di poket tas tangan. “Nervous?” soalku. Faham yang hari ini adalah hari pertamanya bekerja.

Dia menggeleng.

Keyakinannya buat keningku terangkat dalam sesaat. ‘Hebat!’ ucapku di dalam hati. ‘Belum bertemu buku dengan ruas kot!’

“Dah lama kerja di EcoPort?” soalnya.

“Setahun!” jawabku bangga. ‘Aku senior okey…’ Alang-alang dia panggil aku kakak, aku akan gunakan ‘kuasa’ yang ada.

Best?” soalnya.

Aku angguk. “Sejak graduate, saya kerja kat situ…” Bangga!

“Kakak graduate degree dari mana?” soalnya.

Aku mula buat muka. ‘Segan pulak nak cakap aku cuma ada Diploma Pengurusan Pejabat.’ Nak menipu? Nanti susah. “Err… buat apa nak tahu. Saya belajar kat satu kolej di hometown saya…”

“Kat mana hometown kakak?”

‘Polosnya soalan dan suara dia. Macam penting aje hal aku ni untuk dia tahu,’ hatiku mula meradang. “Melaka…” Tipuku.

“Orang Melaka pandai masak asam pedas yang kaw… kaw… kan?” soalnya senang.

Aku angkat kening. ‘Mati aku!’ Mata segera kupejamkan dan kepala kusandarkan. Tak mahu melayan sebarang pertanyaan yang tak mustahil menjerat leher sendiri kemudian hari nanti.

 

SAMPAI di pejabat, aku terus jadi lipas kudung. Keadaan lobi mesti siap untuk menyambut kedatangan staf dan tetamu. Cermin di dinding mesti tiada tanda. Set sofa tersusun rapi. Bunga segar mesti sudah diganti. Semua bilik perbincangan dan mesyuarat mesti tip top. Jadual penempahan penggunaan bilik-bilik tersebut harus di hujung jari.   

“Kakak, air neslo saya…” pinta ‘si adik’.

Aku tersenyum. Segera ke pantri lalu kupenuhkan termos mugnya dengan air campuran Nescafe dan Milo. Sebungkus biskut aku serahkan padanya. “Untuk buatkan air setiap pagi, tak ada masalah. Untuk biskut ni, ini yang last!”

“Kenapa?” soalnya.

“Ini untuk tetamu. Sekejap lagi awak akan sign borang penerimaan perjawatan. Awak sudah dianggap pekerja dan bukan lagi tetamu. So, no more free krakers!” beritahuku dengan nada senior yang tegas.

“Not a problem…” Dia terus menuju ke sofa dan duduk di situ.

Cik Puan Suhaila muncul tepat jam 8.25 pagi macam biasa. Serius wajahnya dengan beg tangan gaya terkini dan kasut tinggi. Keletak keletuk bunyinya.

Morning, cik puan!” ucapku.

Wanita korporat itu sekadar mengangguk lalu berjalan menuju ke dalam.

“Your boss!” beritahuku perlahan pada Asyraf yang duduk tidak jauh dari situ.

“My boss?!” soal Asyraf teruja. “Sexy…”

Aku bulat mata. “Hei!!! Budak-budak mana boleh cakap macam tu!” Ha kan dah! Tinggi suara senior.

Asyraf tertawa senang. Selamba wajahnya.

‘Ketawalah!’ ejekku di dalam hati. ‘Belum bertemu buku dengan ruas!’ Itu yang kusebut buat kali kedua.

 

SELESAI mengisi borang yang macam-macam di bilik perbincangan, Asyraf diperkenalkan dengan semua staf sebelum dibawa oleh pegawai HR untuk masuk mengadap Cik Puan Suhaila buat kali pertama. Entah mengapa, aku berdebar di dada. Bimbang andai dia tidak dapat menyesuaikan diri dengan ibu singa. Dahlah dia muda dan manja. Kasihan pula bila memikir!

Lebih satu jam Asyraf hilang. Aku yakin, dia sudah tahu di mana mejanya. Dia juga mungkin sudah mendapat beribu-ribu arahan dari Cik Puan Suhaila. Itu belum lagi, menerima fail kerja dari beberapa eksekutif yang selama ini berkongsi tugas menjadi sekretari sementara si ibu singa. Tentu dia sibuk. Untuk aku menjengah ke tempat kerjanya, aku tidak boleh meninggalkan kaunter ini sewenang-wenangnya. Jika ada panggilan masuk atau tetamu datang dan tidak dilayan sewajarnya, aku boleh dikenakan tindakan tatatertib. Toilet dan pantri untukku, dekat sahaja. Aku tiada alasan!

Telefon berbunyi. “Kakak…”

Aku mendengar suara Asyraf berbisik di hujung sana. “Asyraf, are you okey?” soalku tergesa. Bimbang pula mendengar suaranya yang macam orang kena dera.

“Kenapa kakak tak cakap, Cik Puan Suhaila tu garang?” soalnya.

Aku garu kepala. “Mengumpat berdosa!” Terpaksa itu yang jadi alasan. “Dia tak pernah marah saya. Macamana saya nak kata dia garang…” sambungku lagi.

Kedengaran seolahnya dia mengeluh.

“Ada masalah?” soalku.

“Cik puan order chicken chop untuk lunch. Dia suruh siapkan tiga surat penting. Tetamu cik puan sampai dalam setengah jam lagi. Dia cuma minum white coffee. Admin kata, white coffee tak ada kat pantri. Tea lady cuti sakit sejak semalam. Maknanya, saya kena beli sendiri… Minit mesyuarat lepas, formatnya salah. So, saya kena betulkan. Meeting nanti saya nak kena buat catatan. Baju bos kat butik, saya kena ambil. Semuanya sebelum tengahari. Macamana ni, kakak? Masa tak cukup…” adunya.

Aku memandang pada jam tangan. Waktu makan tengahariku cepat sejam berbanding orang lain. “Kakak tolong belikan lunch dan ambil baju kat butik. Kakak suruh office boy belikan kopi sekarang. Tapi, lain kali, kena plan betul-betul. Sesetengah orang tak suka dipaksa buat kerja orang lain…”

“Tahu! Tapi ini baru hari pertama. Baru dua jam kerja. Macamana nak plan elok-elok? Nak bernafas untuk hidup pun macam tak mampu, kakak…” Dia mengadu lagi.

Aduhai… “Jangan mengalah! Perlu bantuan, cakap. Kakak tolong uruskan…” Bersemangat pulak tiba-tiba untuk aku membantunya.

Sebaik meletakkan telefon, aku garu kepala. Sejak bila aku bahasakan diriku kakak padanya?

 

MAKA, keadaan di kaunter lobi dan pejabat CEO sama sibuknya hari itu. Ada mesyuarat penyelarasan tender dan macam-macam lagi. Walaupun bukan aku yang bermesyuarat, aku bertugas memastikan tempat mesyuarat telah disediakan, minuman ahli mesyuarat telah terhidang dan apa juga keperluan lain sebagaimana yang diminta oleh pihak jabatan yang terlibat telah tersedia.

Dalam sibuk menjalankan tugas, aku turut membantu Asyraf menyesuaikan diri dengan kerja barunya. Petang itu, aku sengaja pulang lewat untuk menemankannya menyiapkan tugasan. Dokumen penting untuk esok hari telah aku tolong fotokopikan. Malah, aku menawarkan diri untuk membindingkannya. Fail-failnya telah kususunkan. Sambil itu, kukenalkan Asyraf dengan sesiapa sahaja yang boleh membantunya mengikut bidang tugas masing-masing. Kami hanya pulang jam 9.00 malam. Turun dari bas, Asyraf mengheretku ke kedai mamak.

“Terima kasih, kakak!” ucapnya manja. Di hadapan semua rakan sekerja, aku dipanggil Cik Balqis. Bila kami berdua seperti sekarang atau ketika bercakap di telefon, dia memanggil aku kakak. Sebenarnya, aku sudah tak peduli pun.

“Sama-sama…” balasku senang hati. “Mudah aje kerja tu. Kena tahu siapa yang boleh buat atau ada kuasa untuk dapatkan apa yang kita perlukan, then, kita minta tolonglah. Tapi, kena kenal, siapa yang kita minta tolong. Jangan main terjah aje…”

Kepalanya terangguk-angguk. Nasi goreng kampung yang terhidang di depan mata diperhatikan sahaja.

“Makan cepat…” suruhku. “Esok kakak akan bawa kamu round ke butik, kedai kek or what so ever. Senang nak call dia orang kalau cik puan nak apa-apa yang urgent. Ini namanya, bina rapport… Faham?” Serius aku memberi arahan. Untung dulu Ida selalu meminta aku membantunya ketika dia masih bekerja sebagai setiausaha Cik Puan Suhaila. Maka, aku kenal ramai orang yang berkaitan.

“Faham,” jawabnya lagi.

“Cepat makan!” suruhku buat kali kedua.

“Penat,” adunya. “Macam hilang selera pulak!”

“Makan cepat… Nanti balik, boleh terus mandi… solat… rehat…” nasihatku lebih lembut. Menggeleng kepala aku mengenangkan perangainya. Adik-adikku pun tak pernah kulayan begini. Haih!

“Penat…” ucapnya lagi. Guruh berbunyi buat kami sama-sama memandang ke langit. “Alahai… Hujan pulak…”

“Cepat! Nanti banjir. Kalau dah sampai rumah, tak apa…” gesaku.

Dia mengangguk. Sudu dicapai dan nasi goreng kampung disuap perlahan. Siapa sangka, ini hanya hari kedua kami saling kenal. Dah macam-macam yang kami lalui bersama buat aku tersenyum sendiri.

“Kakak bawak payung tak?” soalnya.

Aku mengangguk. “Takut banjir aje…” Air dari langit memang bukan masalah kami. Air yang naik di tapak kaki, itu yang mungkin.

“Kena pindah kot…” ucapnya. “Rumah kakak memanglah tak banjir. Tapi, kalau asyik tak boleh masuk rumah sebab jalan masuk rumah banjir, macamana…”

Aku tersenyum. Dia mencadangkan aku berpindah rupanya. “Tak payah. Sewa bilik tu murah. Kakak mampu bayar.”

“Duduk dengan siapa?”

“Kakak angkat!” jawabku. “Kak Salwa… Dia kerja kat Putrajaya. Pegawai kerajaan. Baik orangnya… Itu rumah dia. Dia sewakan bilik sebab nak teman. Cuma tulah, tak boleh tumpang dia pergi balik kerja... Lain arah!”

“Kakak tak nak beli kereta?”

Aku geleng. Belum sampai masa. Aku nak sambung belajar dulu.

“Kakak suka naik motor?”

Aku tersenyum. “Kakak tak ada lesen.”

“Kalau ada orang lain yang bawak?”

Aku geleng lagi sambil melihat gaya kura-kuranya menghabiskan rezeki di pinggan. Sabar ajelah!

“Kenapa? Takut boyfriend marah?” soalnya.

Aku tertawa. “Kalau kakak ada boyfriend, tak sanggup kakak temankan awak makan tau…”

Tersenyum lebar dia. “Saya pun tak ada girlfriend.”

“Awak muda lagi, Asyraf. Kerja dulu. Kumpul duit. Selagi belum jumpa yang sesuai, jangan nak sibuk try and error…” nasihatku bagai seorang kakak.

Asyraf tertawa. “Hmm… Kerja kumpul duit… nak sambung belajar…”

Aku angguk. Lega bertemankan ‘budak’, tetapi matang pemikirannya walaupun tidak dalam semua hal.

 Jika semalam, dia menemankan aku hingga air banjir surut, malam ini, kami berkongsi payung pula untuk pulang ke rumah. Dia menghantar aku terlebih dahulu sebelum menapak kembali ke rumahnya.

 

“KAKAK, tunggu kat ofis ya. Kita balik sama-sama,” kata Asyraf mengingatkan aku entah berapa kali. Dia terpaksa mengikut Cik Puan Suhaila untuk bermesyuarat di luar. Itu buat kali pertama.

“All the best!” ucapku bersemangat. Aku tahu dia kelam kabut untuk menyusun dan melengkapkan dokumen projek yang bakal dibentangkan oleh Cik Puan Suhaila. Katanya, projek itu bernilai jutaan ringgit. Aku gembira mendengarnya. Lebih-lebih lagi, Asyraf kini sudah semakin selesa dengan tugasnya. Semua pegawai di bawah cik puan juga menerimanya dengan tangan terbuka. Mungkin kerana sifatnya yang ramah mesra buat orang merasa senang hati. Itu menyeimbangkan ‘kegarangan’ si ibu singa.

Siapa sangka cempedak menjadi nangka. Dari jam 5.30 petang aku menantinya. Hanya apabila jam 7.30 malam sahaja baru dia menghubungiku mengatakan yang pemandu Cik Puan Suhaila akan menghantarnya terus pulang ke rumah. Dia harus menemankan cik puan makan malam.

Menggeleng kepalaku. Kelewatan sesaat untuk memulakan perjalanan tak mustahil menyebabkan kelewatan berjam-jam untuk sampai ke destinasi. Nak marah pada Asyraf, macam tak patut. Bukan salah dia pun. Aku bersolat terlebih dahulu sebelum keluar dari pejabat. Hanya pada jam 9.30 malam baru aku terpacak di hadapan pintu rumah.

“Balik lambat lagi?” soal Kak Salwa. Dialah teman serumahku sejak setahun ini.

“Ha’ah!” jawabku keletihan. Terus sahaja aku duduk di sofa.

“Dengan Asyraf?”

Aku geleng. Aku faham, dua minggu ini, aku pulang lambat kerana menemankan Asyraf. Kami juga akan makan bersama di kedai mamak sebelum dia menghantar aku pulang ke rumah.

“Habis tu pergi mana?” soalnya.

“Tunggu dia, dia meeting kat luar. Dia ajak balik saing, last-last, bos ajak dia dinner terus…” beritahuku. Kesal juga dengan apa yang berlaku.

Kak Salwa menggeleng. “Qis, jangan buat macam ni lagi. Kalau nak janji pun, letak cut off time. Contoh, jam 6.30 petang, dia mesti call. Buat decision, nak suruh Qis tunggu untuk balik saing atau balik asing-asing. Qis kan perempuan. Balik rumah lewat malam tak elok. Tak selamat… Asyraf lelaki…” Serius dia menasihati. Aku maklum, dia jauh lebih berusia. Mak ayahku pun dia dah kenal. Tentu dia terasa bertanggungjawab untuk menjagaku di ibu kota ini.

Aku angguk. “Yalah! Salah Qis tak jaga diri…”

“Tiga hari lagi, air paip dah start kena catuan. Kak Wa ada beli tiga bekas air yang besar. Kita guna sorang satu. Satu lagi untuk dapur dan emergency…” beritahu Kak Salwa. Matanya tunak memandang kaca TV.

“Hmm… Itu satu lagi masalah…” sahutku.

“Siapa sampai rumah lebih awal, dia terus on washing machine, clearkan sinki dan penuhkan bekas air.”

Aku angguk. Melihat pada jam di dinding, aku segera meminta diri, “Qis mandi dululah ya… Dah melekit badan ni…”

 

BARU sahaja kuraup kedua tapak tangan ke muka selepas melafaz doa usai solat isyak, telefon bimbitku berbunyi. Nama Asyraf tertera di skrin. Dia menghantar SMS buatku.

 

Ada kat pintu pagar depan rumah.

 

Aku kerut dahi. Jam sudah menunjukkan pukul 11.30 dan Asyraf muncul di pintu pagar? Apa kata Kak Salwa dan jiran-jiran padaku nanti?

 

No! Kakak segan.

 

Telefon berbunyi. Kini, panggilan pula yang dibuatnya. Segera aku menjawab.

“Kakak, cepat! Ambil burger ni… saya belikan untuk kakak…” gesa Asyraf selamba.

Aku terus sahaja keluar bilik dengan bertelekong. Bukan nak menunjuk, tapi nak jimat masa. Kak Salwa pula dah tertidur di sofa. Berjingkit-jingkit aku berjalan, berhati-hati aku membuka pintu dan gril lalu keluar.

“Kenapa sibuk nak beli burger?” marahku tak tunggu lama. Tanpa ucapan salam pembuka bicara pun sebenarnya.

“Saya tak nak kakak merajuk!” maklum Asyraf manja macam biasa. Beg plastik berisi burger diunjukkan padaku.

“Eee… Tak kuasalah nak merajuk dengan awak. Dah malam ni… Balik! Esok kita jumpa kat bus stop…” suruhku. Serius. Manjanya tak kulayan malam ini. Beg plastik segera kucapai.

“Okey, esok macam biasa…” jawabnya lantas melangkah pergi.

Lemah langkahnya buat aku terasa tak sedap hati. Melihat pakaiannya, aku rasa dia masih belum balik ke rumahnya pun mungkin. “Asyraf!” panggilku agak kuat.

Asyraf menoleh.

Aku tersenyum lebar sambil mengucapkan ‘Thank you!’ tanpa suara. Beg plastik burger kuangkat tinggi.

Dia membalas senyumanku dengan manis sekali. Bukan itu sahaja, dia seakan melompat bintang penuh keriangan. Langkah yang longlai menjadi cergas. Saat itu, aku sekadar berkerut dahi. ‘Bersungguhkah dia mahu menjaga hati ‘kakak’nya ini?’

 

AKU banyak tersenyum kini. Jika dahulu, aku mudah sunyi. Kini, tidak lagi. Semuanya gara-gara si Asyraf. Ada sahaja caranya untuk menarik perhatianku. Sekadar untuk berkongsi tawa. Jika tidak menggunakan talian pejabat, kami akan berMMS, atau berYM atau ber’apa-apa’ lagi yang memudahkan komunikasi kami.

 

Orang yang suka minum darjeeling tea adalah orang yang ada darling yang suka menjeling.

 

Tersenyum aku dengan SMS lawaknya. Minhat yang tercongok di hadapan, aku biarkan sahaja.

“Cik Balqis!” panggil Asyraf dengan wajah selamba serius. Itu gayanya bila kami bersama orang lain. “Tetamu bos I, Mr. Franklin akan sampai jam 11. He is a Frenchman. Tolong sediakan Darjeeling Tea untuk dia ya,” pintanya. iPad di tangan disentuh beberapa kali dengan penuh gaya. Semua sekretari di syarikat ini diberi alat itu untuk mudah berkomunikasi dengan bos masing-masing dan dengan sesama sekretari. Maklum, jadual para bos perlu diselaraskan dengan keperluan mesyuarat dalaman dan luaran syarikat.

Aku mengangguk sambil menahan gelak di hati. Lelaki yang sama baru menghantar SMS berkenaan Darjeeling tea rupanya mahu membuat pesanan secawan teh Darjeeling. Untuk tetamu bos Asyraf, aku rela menyediakannya sendiri. Tak perlu tunggu tea lady!  

“Kau dan Asyraf ada skandal ya?” soal Minhat perlahan sebaik Asyraf berlalu.

Aku tersenyum dan kemudian menggeleng. “Kawan biasa aje. Rumah dia dekat dengan rumah aku. Pergi balik kerja selalu bersaing naik bas…”

“Sanggup kau naik bas?”

Aku angguk sahaja. Memang itulah yang paling murah dan mudah. Naik depan taman perumahan, turun depan bangunan pejabat.

“Eleh!” ejeknya. “Aku ajak naik motor, tak nak! Mentang-mentanglah dia sekretari… aku pulak mat despatch…”

Aku menggeleng menahan senyum. Dah berbulan Minhat mengajak aku bertenggek di atas motornya. Aku tak sudi kerana pesanan ayah, aku tak lupa. “Aku naik bas dari sejak sebelum Asyraf ada… Kau pun tahu tu…”

“Dia tu mamat jambu! Kau tengoklah dia dressing macam mana…” ejek Minhat lagi.

Aku mendengus. Cukup benci dengan cemburu Minhat yang bergaya murah. “Dia mamat skema okey. Dress dia tu sesuai untuk sekretari lelaki muda yang ceria…” Aku tak nampak apa yang salah. Biarpun dulu, aku pernah menganggapnya lelaki pelik.

“Dia lelaki lembutlah!” ejek Minhat.

Aku geleng. Manja? Ya! Lembut? Tidak! “Mana lembutnya?” soalku. “Dia cuma buat kerja yang selama ini popular di kalangan perempuan. Itu aje…”

“Kau tengok kuku dia… rambut dia…” suruh Minhat.

“Well-trimmed! Itu kan gaya maskulin masa kini…” balasku. “Islam menekankan kebersihan. So, Asyraf jenis yang macam tu. Kau nak sekretari cik puan pengotor? Kau nak tengok kita ada kawan sekerja yang pakai selekeh? Buat semak mata?” Bersemangat aku mempertahankan Asyraf.

Minhat mendengus.

Aku pula terus koyak senyum sebaik melihat seorang mat salih muncul di pintu kaca lobi pejabat kami. Itu pastinya Mr. Franklin!

 

PEJABAT kecoh kerana gossip terkini. Aku pula antara mereka yang terlewat mengetahuinya. Mengapa? Kerana ia melibatkan Cik Puan Suhaila dan Asyraf. Mila kata mereka tahu Asyraf rapat denganku. Mereka bimbang aku kecil hati.

“Cik Juita pernah dengar lagu romantik dipasang kuat kat pejabat cik puan, Qis!” beritahu Mila. Serius wajahnya membawa berita terkini penuh kontroversi. “Masa tu dah 9.00 malam. Semua dah balik kecuali budak design department. Lepas tu, Cik Juita dengar Asyraf dan Cik Puan Suhaila tergelak-gelak. Entah apa yang Asyraf cakap, Cik Puan Suhaila pulak asyik gelak aje… Manja bunyinya…”

Berderau darahku. “Penat buat kerja… borak-borak kot…” Sengaja kucuba menafikan.

“Tak ada maknanya! Skandallah tu…” tuduh Mila.

“Tak mungkin!” Itu kataku. Aku dan Asyraf rapat. Kami pergi dan pulang kerja bersama-sama kecuali jika dia menemankan bosnya ke luar. Dia tidak lupa, cut off time kami jam 6.30 petang. Dia akan menghubungi aku untuk memaklumkan status terkini. Balik rumah asing-asing atau bersaing.

“Hai… takkan dia tak cerita kat you hal cik puan?” soal Mila.

Aku menggeleng. Aku baru perasan yang kami amat jarang bercakap tentang cik puan. “Tak! Dia memang tak pernah cerita. Asyraf tu professionallah!”

“Alasan… I tahu you tak percaya…” balas Mila. “You kan suka pada dia…”

“Dia tu macam adik I lah…” nafiku.

“Adik?” soal Mila sambil tergelak. “He is a matured man, Qis! Cuma dia tu awet muda dan muka pun boyish cut… Entah-entah, dia dah jadi anak ikan Cik Puan Suhaila…”

Bulat mataku. Anak ikan? Mustahil! “Please, I tak nak dengar sebarang fitnah…” ucapku lalu meninggalkannya.

Sedih? Tentu. Asyraf kawan baikku. Baik? Entahlah! Aku cuma kenal dia. Tak kenal teman serumahnya. Jauh sekali keluarganya. Aku cuma berjumpa dengannya pada hari kerja. Ketika hujung minggu, kami sibuk dengan urusan masing-masing. Tapi, siapa aku untuk menilainya? Siapa aku untuk mengatakan dia ‘anak ikan’? Na’uzubillah!

“Kalau Kak Wa, Kak Wa tanya Asyraf dan minta dia berterus terang…” Itu nasihat Kak Salwa ketika aku menceritakannya tentang apa yang berlaku.

Aku hanya tunduk menekur ke lantai.  
 


DAN beberapa hari lepas itu, aku dan Asyraf bagai terpisah. Cik Puan Suhaila harus ke Pulau Pinang. Asyraf diangkutnya sekali. Sejak itu, duniaku sepi. Tiada SMS, MMS dan segala macam tok nenek dari Asyraf. Dia bagai lenyap dari kamus hidupku seketika. Malah, yang buat akal aku mula pandai menerka-nerka adalah bila Asyraf datang ke pejabat bersaing dengan Cik Puan Suhaila beberapa hari kemudian. Santai sahaja gayanya.

“Awak tidur mana malam tadi?” soalku pada Asyraf sebaik kami ada kesempatan berdua. Setahuku, dia sepatutnya tiba dari Pulau Pinang lewat malam tadi. Dan sepatutnya pagi tadi kami naik bas ke tempat kerja bersama tetapi, dia tiada.

“Rumah cik puan, kakak!” jawabnya polos.

Aku telan air liur. Perhubungan mereka sudah maju setapak nampaknya. “Cik puan ajak?” soalku.

“Hmm…” balasnya mudah. “Dia ada anak yang comel!”

Sudah! “Ada orang lain selain awak, Asyraf?”

Asyraf angguk. “Famili dia…”

Lega sikit! Belum sempatku tanya siapa, Asyraf sudah berlalu kerana cik puan memanggilnya. Aku pula kerut dahi. Bagaimana harus kutanyakan hal ‘anak ikan’ padanya? 

Dan akalku bagai terus diuji sebaik kemunculan seorang wanita bergaya bak datin di lobi pejabat. Pakaiannya yang up to date dengan rambut bersanggul rapi. Sehelai selendang sutera berselimpang kemas di bahunya, rantai emas sebesar jari kelingking bergantungan di leher dan tentu gayanya dilengkapkan dengan jenama beg tangan kegilaan masa kini.

“Selamat tengahari!” ucapnya dengan suara penuh keyakinan. “Nama saya Datin Zue. Saya nak jumpa Asyraf!”

Tentunya aku terkedu sesaat. Setelah ‘melekat’ dengan Cik Puan Suhaila, Asyraf nampaknya sudah menjadi perhatian ‘mak ikan’ yang lain. “Jemput duduk, datin. Saya panggilkan Encik Asyraf…” ucapku dengan senyuman standard. Mesej melalui sistem kuhantar buat Asyraf. Minuman sejuk aku sediakan memandangkan cuaca di luar nampak panas terik.

“Terima kasih,” ucap Datin Zue. Dia kini sibuk membelek majalah fesyen yang dibawa bersamanya.

“Oh, dear. You are here?!” ucap Asyraf sedikit terkejut sebaik muncul di lobi.

Aku dan Mila, yang secara kebetulan berada tidak jauh dari situ sama-sama jatuh rahang.

 
Bakal bersambung. Insya-ALLAH.


Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya

Comments (3)

On 2 June 2014 at 19:55 , juridah said...

Hehehe menarik cerita ni

 
On 2 June 2014 at 23:16 , DAISY PUTIH said...

Seronok baca, santai walaupun starting dia mcm slow skit... dah sampai ending makin terasa excited nak baca sambungan... peace "V"

 
On 6 June 2014 at 12:19 , Unknown said...

Terima kasih, Juridah.
Terima kasih, Daisy Putih.
Terima kasih sebab sudi beri komen. Ia buat Kak Iza bersemangat.